PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Saturday, September 5, 2009

Bab 15



Macam lipas kudung dia bergerak pagi itu. Sekejap dia ke sana. Sekejap dia ke sini. Semuanya untuk meredakan rasa gemuruh yang sedang bertamu dalam hatinya. Ilham berdiri mengadap cermin di dalam biliknya. Wajahnya nampak tidak bermaya. Ada gelung hitam berlingkar di bawah matanya. Dia mencapai bedak dan menyapunya ke bawah mata. Aduh! Tak mahu kurang pula tu. Dah macam mata panda rupanya! Ngomel Ilham seorang diri.

Dia memerhatikan penampilannya hari ini. Sama seperti hari sebelumnya. Hari ini dia juga mengenakan seluar jeans lusuh yang dipadankan dengan sehelai blaus berwarna merah jambu. Sengaja dia memilih warna yang lembut dengan harapan hati Kyriel akan menjadi lembut bila melihatnya nanti.

Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya, Ilham segera keluar dari bilik. Kebiasaanya Ilham akan menuju ke dapur untuk bersaparan dahulu sebelum keluar tetapi tidak seperti pagi-pagi yang lain, hari ini Ilham segera menuju ke arah pintu keluar. Dia mencapai kasutnya. Dia sedang menyarung kasut ke kaki bila mendengar namanya dipanggil Sakinah.

“Eh, Ilham tak sarapan dulu ke?”

“Taklah, Mak Lang. Ilham dah lambat ni.”

“Kalau iya pun, minumlah sikit.”

“Tak apalah Mak Lang. Nanti Ilham beli aje Milo dekat kedai nanti, ya? Ilham pergi dulu ya Mak Lang,” ujar Ilham sambil mencapai tangan kanan Sakinah lalu disalam dan dikucup.

“Membazir aje mee goreng yang Mak Lang buat tu. Kamu tak sarapan, Azie pun tak nak sarapan. Nampak gayanya kenyang lagilah jiran sebelah rumah kita tu hari ni,” keluh Sakinah. Memang menjadi kelazimannya jika ada makanan yang berlebihan, dia akan sedekahkan pada jiran-jirannya.

“Azie tak sarapan? Dia pergi sekolah perut kosong aje?”

“Iya. Puas Mak Lang pujuk suruh makan tadi tapi dia tak nak. Katanya tak lalu makan. Malam tadi pun dia tak makan malam. Mak Lang buatkan dia susu panas dan bagi dia roti aje malam tadi. Itu pun sekeping aja dia makan.”

Ilham mula rasa tidak sedap hati. Selalunya Azie cuma berperangai seperti itu jika badannya kurang sihat.

“Dia tak sihat ke Mak Lang?” tanya Ilham.

“Tengok dari gaya macam tak berapa sihat. Muka dia pucat sikit pagi tadi. Tapi bila Mak Lang tanya dia kata dia sihat. Dia cakap dia tak cukup tidur aje malam tadi sebab mengulangkaji. Mak Lang nak tanya lebih-lebih pun takut dia melenting pulak. Kau tahu ajelah perangai adik kau yang satu tu,” balas Sakina.

“Tak apalah Mak Lang. Nanti masa dia rehat nanti saya pergi jenguk dia sekejap,” ujar Ilham.

“Dah...dah...tak payah kamu pergi. Nanti naik pulak angin dia. Dia dengan kamu tu bukan boleh bertemu muka. Nanti tak fasal-fasal dia marah kamu pula. Biar Mak Lang aje yang pergi nanti. Kalau ada apa-apa nanti Mak Lang telefon kamu.”

Ilham mengangguk perlahan. Walaupun hatinya rasa kurang senang kerana tidak dapat melihat sendiri keadaan adiknya, tetapi kata-kata Sakina ada benarnya. Aziqah memang tidak suka jika Ilham datang menemuinya di sekolah. Pernah sekali dulu ketika Azie baru sahaja keluar dari hospital, Ilham ke sekolah dengan niat mahu menemani adiknya tetapi akhirnya dia dimarah dan diherdik Azie di depan rakan-rakanya. Lebih baik dia biarkan Mak Langnya saja yang menjenguk Azie. Lagipun dia punya tugas lain ketika ini. Memujuk Kyriel Iskandar dan berharap lelaki itu sudi memaafkan dirinya!
***
“Saya nak sewa bilik itu. Nama saya Nazary Ikhwan. Tengahari nanti saya akan check-in,” ujar Kyriel Iskandar melalui telefon. Sambil menunggu jawapan dari hujung talian, tangannya ligat memasukkan pakaianya ke dalam beg. Dia mesti keluar dari hotel yang didudukinya hari ini. Walaupun dia tidak tahu samada mamanya dapat mengesannya di sini, tetapi dia tidak mahu mengambil sebarang risiko dijumpai mamanya. Kyriel cukup kenal Zarith Sofea. Bukan perkara yang sukar bagi mamanya untuk menjejaki dirinya. Wanita itu punya 1000 macam cara untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya termasuklah menggunakan cara yang kotor.

Semalam dalam amarahnya dia telah memberitahu Zarith Sofea apa yang sebenarnya sedang dia lakukan. Kyriel tidak tahu samada wanita itu tahu dia sebenarnya berada di Langkawi. Dia cuma memberitahu mamanya yang dia sedang mencari papanya. Andai kata Zarith Sofea tahu selama ini di mana papanya berada, pasti dia akan datang mencari Kyriel dan jika Zarith Sofea tidak tahu sekalipun di mana Adam Abdullah berada Kyriel yakin tidak susah bagi mamanya mendapatkan maklumat itu. Sebab itu dia harus keluar dari hotel ini dan duduk menetap di motel bertaraf 2 bintang sahaja. Sengaja dia menempah bilik di bawah nama arwah abangnya Nazary Ikhwan. Dia tahu mamanya amat pentingkan status dan pangkat. Tidak mungkin dia akan ’mencemar duli’ mencarinya di motel murahan.

Setelah mendapat jawapan yang diinginkan, Kyriel memutuskan panggilan. Dia mencapai beg yang telah siap dikemas lalu keluar dari bilik. Di kaunter receptionist Kyriel segera menguruskan urusan check-out. Usai segala urusan, Kyriel berjalan pantas menuju ke pintu keluar namun langkahnya terhenti bila mendengar namanya dipanggil. Kyriel menoleh ke arah suara yang menyeru namanya itu.

“Awak nak ke mana?”

Tanpa mengendahkan soalan itu, dia meneruskan langkahnya. Panggilan gadis di belakangnya tidak dihiraukan.

“Encik Kyriel, please. Dengarlah penjelasan saya dulu...” rayu Ilham. Dia cuba mengejar Kyriel yang makin cepat langkahnya.

“Encik Kyriel....” panggil Ilham lagi.

“Not now Ilham. Aku nak cepat!”

“Please...saya tak bemaksud pun nak tipu awak.” Ilham cuba merayu. Dia cuba menyaingi langkah Kyriel yang semakin hampir dengan tempat letak kereta.

“Aku cakap bukan sekarang!” Tengking Kyriel. Matanya meliar memandang kawasan sekeliling memerhatikan mana-mana teksi atau kerata sewa yang ada di kawasan itu.

Ilham yang terkejut kerana ditengking terdiam kaku. Dia meneguk air liur yang terasa kesat ditekak. Dia sangkakan dia boleh menerima kemarahan lelaki itu tetapi saat Kyriel mula meninggikan suara kepadanya hilang segala keberanian yang dikumpul tadi. Ilham tidak tahu kenapa bila berhadapan dengan lelaki itu dia seolah-olah menjadi seorang penakut sedangkan selama ini dia berani menghadapi apa sahaja. Ada apa dengan lelaki itu sehingga dia menjadi begini?

Tiba-tiba wajah Kyriel berubah menjadi panik. Sepantas kilat dia merenggut tangan Ilham dan menarik gadis itu ke belakang sebuah van yang ada disebelah mereka. Disebalik van itu, Kyriel cuba mencuri pandang ke arah sebuah kereta berwarna hitam yang berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk hotel. Kelihatan beberapa orang lelaki keluar dari kereta Toyota hitam itu. Kyriel kenal salah seorang daripada mereka berempat. “Damn it! Selama ini memang dia tahu! Dia memang tahu!”

Disebelahnya, Ilham dapat mendengar Kyriel menyumpah seranah seseorang. Ilham memandang Kyriel hairan. Siapa yang memang tahu selama ni? Tahu apa?

“Mana kereta kau?” soal Kyriel tiba-tiba.

“Hah?”

“Kereta kau kat mana?” ulangnya lagi. Ilham menunjukkan dengan jari tempat keretanya di parkir. Tanpa berkata apa-apa, Kyriel menarik tangannya menuju ke arah yang ditunjukkan.

“Kunci kereta?”

Ilham menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan kunci lalu diserahkan pada Kyriel.

“Masuk.” Perintah Kyriel.

“Apa?”

“Aku kata masuk!” Ulang Kyriel keras. Ilham mula rasa kurang sabar dengan sikap Kyriel. Siapa dia nak mengarahkan aku ni?

“Saya tak nak!”

Kyriel melepaskan keluhan berat. Dia tidak ada masa dengan semua ini. Yang penting sekarang adalah menjauhkan diri dari tempat itu sebelum orang-orang suruhan mamanya dapat melihatnya di situ.

“Masuk ke dalam Ilham!” Arahnya sekali lagi.

“Tak nak. Saya tak akan masuk selagi awak tak beritahu saya kenapa dan ke mana awak nak pergi!”

Kyriel tidak menjawab soalan-soalan Ilham sebaliknya dia mencengkam kuat lengan gadis itu dan diheret tubuh kecil Ilham ke tempat duduk dibelah kerusi pemandu. Ilham mula berang bila diperlakukan begitu. Dengan segala kekuatan yang dia ada, dia merengut lengannya dari cengkaman Kyriel. Kunci kereta di tangan Kyriel dirampas. Tubuh lelaki itu ditolak kasar. Kyriel yang terkejut dengan tindakan Ilham hilang pertimbangan hingga membuatkan dia terdorong ke belakang.

Kedua-dua mereka saling berpandangan. Wajah Ilham yang merah menahan marah ditenung Kyriel dalam. Wajah itu nampak comel dimatanya ketika itu. Tiba-tiba ada getaran hebat dirasakan dalam hatinya. Getaran yang sama dirasainya Kyriel setiap kali matanya bertaut dengan pandangan Ilham. Tuhan, kenapa dengan aku ni?

“Hanya sebab saya ada buat sesuatu yang awak tak suka, tak bermakna awak ada hak nak layan saya ikut suka hati awak aje. Saya bukannya anak patung atau robot yang awak boleh heret dan perintah macam itu aje. Saya ni manusia. Ada hati dan perasaan!” ujar Ilham.

Mendengar ucapan yang keluar dari mulut Ilham, timbul rasa bersalah dalam dirinya kerana bertindak kasar pada Ilham tadi.

“Ilham, aku....” kata-kata Kyriel mati di situ bila matanya ternampak orang-orang suruhan mamanya keluar dari lobi hotel. Dia mengetap bibir menahan rasa geram dan panik yang sedang dirasainya. Dia perlu pergi segera dari kawasan ini sebelum mereka dapat melihatnya. Bahu Ilham dipegang. Kali ini pegangannya tidak sekasar tadi.

“Dengar sini Ilham. Kita kena pergi dari sini sekarang. Jauh dari sini. Aku janji, sebaik sahaja kita jauh dari tempat ni, aku akan jawab semua soalan kau,” ujar Kyriel lembut. Sesekali mata Kyriel akan memandang ke arah lelaki-lelaki yang sedang berkumpul di depan hotel itu.

Ilham tersentak. Ini baru pertama kali lelaki itu becakap dengan nada suara yang begitu dengannya. Wajah lelaki itu nampak jelas seperti orang yang sedang kerisauan.

“Please Ilham, kita kena pergi sekarang!” Dari ekor matanya Ilham nampak kumpulan lelaki-lelaki itu sudah mula berpecah dan salah seorang dari mereka berjalan menuju ke arah mereka. Walaupun banyak perkara yang ingin ditanya Ilham, tapi bila melihat riak muka Kyriel yang tidak menentu itu, dia mengunci bibirnya. Kunci kereta di tangannya diserahkan semula pada Kyriel. Ilham kemudian segera masuk ke dalam kereta.

Tanpa membuang masa, Kyriel bergegas masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan dan tanpa menoleh ke belakang dia menekan minyak dan selaju yang mungkin dia memandu jauh meninggalkan Awana Porto Malai.

“Ke mana?” soal Kyriel selepas beberapa ketika. Matanya sekali sekala memandang ke belakang melalui cermin kereta, takut-takut orang-orang suruhan mamanya ada mengekori mereka.

“Saya tak tahu,” balas Ilham.

“Awak nak ke tempat yang macam mana?” Soal Ilham pula.

“Aku tak kisah asalkan lelaki-lelaki tadi tu tak jumpa kita.”

“Siapa mereka tu?” tanya Ilham ingin tahu. Kyriel memegang kuat stereng kereta sambil mengeluh.

“Orang-orang yang patut kita elakkan.”

“Saya tak faham. Apa maksud awak?”

Belum sempat Kyriel menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nombor yang tertera diskrin, wajah Kyriel bertukar garang. Tanpa apa-apa amaran, dia memberhentikan kereta secara mengejut di tepi jalan.

“Macam mana mama tahu saya di Langkawi?” soal Kyriel pada si pemanggil.

“Kamu di mana sekarang Kyriel?” soal Zarith Sofea pula.

“Saya tanya macamana mama tahu saya di Langkawi?” jerit Kyriel. Ilham di sebelahnya mula merasa takut. Apa halnya ni? Soalnya dalam hati.

“Itu semua tak penting. Yang penting sekarang mama nak kamu balik ke KL sekarang!”

“Tak penting kata mama? Semalam saya cuma beritahu saya nak cari papa dan hari ni tiba-tiba aje orang-orang mama muncul di sini. Maknanya selama ini mama memang tahu papa ada di sinikan? Kenapa setiap kali saya tanya mama, mama beritahu saya papa dah balik ke UK? Bila saya macam orang bodoh cuba cari papa di UK, tak pernah sekali pun mama beritahu saya hal yang sebenarnya? Kenapa mama? Kenapa?!” bentak Kyriel.

“Mama buat semua ni untuk kebaikan kamu,Kyriel. Tak ada gunanya kamu jumpa lelaki tak guna tu!” balas Zarith Sofea.

“Mama tak ada hak nak rahsiakan semua ni dari saya. Itu papa saya. Biar saya yang putuskan samada berguna atau tidak untuk saya berjumpa dengan papa!” tukas Kyriel.

“Selepas apa yang dia dah buat pada kita sekeluarga, dia tak layak lagi jadi papa kamu!”

“Apa? Apa yang papa dah buat pada kita semua mama? Mama tak pernah nak beritahu Kyriel. Setiap kali saya tanya, mama hanya diam...”

“Mama diam sebab mama tak mahu kamu terluka macam mama...”celah Zarith Sofea perlahan.

Kyriel melepaskan keluhan panjang. “Please mama, tell me everything,” pinta Kyriel separuh merayu.

“Not now. Sekarang mama mahu Kyriel balik ke sini. Jangan jumpa lelaki itu Kyriel,” lembut wanita itu merayu.

Kyriel mendengus geram. Apa yang papa dah lakukan sampai begitu sekali mamanya mahu berahsia?

“No. Kalau mama tak mahu cerita pada saya hal yang sebenarnya, saya akan tanya sendiri pada papa!”

***
Zarith Sofea menghempaskan telefon ke atas meja. Dia benar-benar berang dengan kedegilan Kyriel. Anak yang satu itu tidak sudah-sudah menyakitkan hatinya. Kenapalah kau degil begini Kyriel? Tak nampakkah kau mama lakukan semua ini sebab mama mahu melindungi kamu? Kebenaran yang kau cari itu akan menyakitkan hati kau Kyriel. Cukuplah mama saja yang terluka, mama tak mahu kamu juga begitu. Rintih Zarith Sofea dalam hati. Matanya mula berkaca bila terkenangkan semua yang berlaku antara dia dan bekas suaminya Adam Abdullah.

“Za...” suara Mustakim mengejutkannya dari lamunannya. Segera dia menyeka air mata yang mula bergenang ditubir matanya.

“You dah jumpa mana lelaki tu tinggal?” tanya Zarith Sofea. Dia telah meminta bantuan Mustakim mencari tempat tinggal Adam Abdullah di Langkawi. Zarith Sofea ada alamat terakhir bekas suaminya itu tetapi menurut maklumat orang-orangnya di Langkawi, Adam Abdullah sudah tidak menetap di situ lagi. Lelaki itu sudah berpindah lama dulu.

Wajah Mustakim nampak sugul. Menyangkakan Mustakim masih belum mendapat maklumat yang dikehendaki, Zarith Sofea segera mencapai telefon di atas meja. Dia mahu menghubungi orang-orangnya di Langkawi dan mengarahkan mereka menggandakan usaha menjejaki Adam dan Kyriel.

“Za, I rasa baik you biarkan Kyriel di sana.”

“Apa?! Tidak Mus. Apa pun yang terjadi, I tak akan biarkan anak I jumpa lelaki tu!” tempelak Zarith Sofea. Mustakim berjalan menghampiri meja Zarith Soefa. Tangannya menekan butang merah di atas telefon. Zarith Sofea memandangnya marah bila Mustakim mematikan panggilan telefonnya.

“Mus, you...” apa pun yang ingin dikatakan Zarith Sofia mati begitu sahaja bila jari telunjuk Mustakim melekap ke bibirnya.

“Jangan risau, Za. Kyriel tak akan jumpa Adam. You atau orang-orang you pun tak akan dapat jumpa dia. No one will find him, Zarith,” ujar Mustakim perlahan. Kertas yang dipegang ditangannya sedari tadi diberikan kepada Zarith Sofea.

“Rahsia yang you nak rahsiakan dari Adam tu akan terus tersimpan jadi rahsia, Za. Tiada siapa yang akan tahu selain you dan....” Mustakim tidak jadi menghabiskan kata-katanya. Zarith Sofea dipandangnya dengan perasaan simpati. Wajah wanita itu yang selama ini nampak tegas nampak begitu rapuh sekali waktu ini.

Tangan Zarith Sofea menggeletar menahan rasa. Perkataan-perkataan yang tertulis di atas kertas ditangannya itu dibaca berulang kali. Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya gugur juga membasahi pipinya. “Adam...” hanya itu yang mampu terbit di bibirnya sebelum tubuhnya terkulai jatuh dalam pelukan Mustakim.

Sunday, June 7, 2009

Bab 7

Kyriel Iskandar mencampakkan begnya ke atas katil di bilik hotel yang disewanya. Dia mendengus kasar apabila terhidu bau kuah laksa yang tumpah di atas kakinya tadi. Walaupun sudah dibersihkan di jeti tadi, tapi bau itu masih boleh dihidu. Apalah resepi yang diaorang pakai sampai boleh melekat bau macam ni? Kyriel mencapai tuala yang tersimpan di dalam almari. T-Shirt di badannya dibuka lalu dicampakkan ke atas katil bersama begnya tadi. Dia berjalan menuju ke bilik air dengan hati yang panas. Tombol shower dipulas. Air sejuk dari pancuran shower yang kini membasahi tubuhnya sedikit sebanyak melegakan hatinya yang panas.


Setelah membersihkan diri, Kyriel mencapai bathrobe yang sedia tergantung dibelakang pintu bilik air. Dia keluar menuju semula ke katil. Zip beg Polo hitamnya dibuka. Sehelai T-Shirt berwarna hitam dan seluar pendek separas lutut dikeluarkannya. Baru sahaja dia ingin menyarung T-Shirt ke badan, telefon bimbitnya berbunyi. Matanya memandang sekilas ke arah skrin telefon. Kyriel tersenyum bila melihat nama yang tertera di atas skrin. Telefon jenama Nokia itu dicapainya lalu dia menekan butang answer.

“Bro, where are you?” soal si pemanggil. Kyriel mengeleng-gelengkan kepalanya bila mendengar suara sahabatnya itu. Tak reti bagi salam ke dia ni?

“Waalaikumsalam to you too, Mr Eddy.” Perli Kyriel. “Tak reti nak bagi salam dulu ke?” tambah Kyriel lagi. Eddy hanya ketawa dihujung talian apabila mendengar kata-kata Kyriel.

“Okay...okay...sorry. Assalamualaikum Mr Kyriel Iskandar?” ujar Eddy.

“Waalaikumsalam. So, apa yang kau nak?” Kyriel terus bertanyakan soalan yang sedang bermain difikirannya kini. Sebenarnya tanpa jawapan dari Eddy sekalipun, Kyriel sudah dapat mengagak apa tujuan sahabatnya itu menelefonya. Bila mendengar Eddy ketawa dihujung talian, cukup untuk mengesahkan andaiannya.

“Kau bagitahu aje dia kau tak tahu aku di mana...”. Terus Kyriel memberi jawapan untuk soalan yang belum sempat ditanya Eddy.

“Bro, sampai bila kau nak rahsiakan dari mama kau ni? Kau sepatutnya lebih tahu mama kau tu macamana. Selagi dia tak dapat apa yang dia nak, dia tak akan berhenti. Masuk hari ni dah berpuluh kali dia suruh seceretary dia call aku tau tak. Lama-lama macam ini aku boleh jatuh cinta dengan Kak Hana tu.” Kata Eddy.

Dia sudah betul-betul tidak larat mahu menjawab panggilan telefon dari setiausaha mama Kyriel, Datuk Zarith Sofea. Tidak cukup dengan panggilan ke rumah sewa dia dan Kyriel, telefon bimbitnya juga tidak berhenti berbunyi sampaikan Professor Watson, pensyarah subjek ekonominya mengarahkan dia keluar kelas sebentar tadi.

“Kau siwtch-off lah telefon kau tu. Habis cerita!” Kyriel memberi cadangan. Dia hanya tersengeh bila mendengar keluhan Eddy dihujung talian.

“Susahlah macam tu, Bro. Kalau dah off, macamana pula awek-awek aku tu nak cari aku?”. Kyriel ketawa besar mendengar alasan yang diberi Eddy. Bilalah kau ni berubah Eddy, Dia memang cukup maklum dengan perangai playboy kawan baiknya sejak kecil itu.

“Kalau sehari kau tak jumpa perempuan, tak sempurna hidup kau, kan?”.

“Memang dah tertulis lelaki itu pasangannya perempuan. Jadi, kalau kita tak jumpa pasangan kita tu, maknanya tak sempurnalah hidup ni.” Ujar Eddy selamba. “Speaking of perempuan, apa cadangan kau kalau Kak Hana call lagi? Apa yang harus aku beritahu kalau mereka bertanyakan kau?” dia bertanya semula, mengharapkan jawapan yang sewajarnya dari Kyriel.

“Sorry lah Edd, aku tak boleh beritahu kau aku di mana sekarang ni.” Jelas Kyriel.

Walaupun mereka sering berkongsi segalanya bersama, tetapi kali ini Kyriel terpaksa merahsiakan kedudukkannya. Dia perlukan masa untuk menenangkan fikirannya yang bercelaru sebelum dia berhadapan dengan mamanya. Tambahan pula, tujuan utamanya kembali ke Malaysia masih belum dilaksanakan.

Eddy melepaskan keluhan yang panjang bila mendengar jawapan Kyriel. “Riel, aku faham apa yang kau rasa sekarang. Kalau kau tak mahu beritahu aku kau di mana pun aku hormati keputusan kau tu. Cuma satu je aku nak ingatkan. Kau tak boleh terus lari dari mama kau macam ni. Tak kan kau nak korbankan masa depan kau hanya sebab kau marahkan mama kau? Dah seminggu kau tinggalkan kelas tanpa sebab. Setakat ni aku boleh tolong bagi alasan pada fakulti tapi berapa lama diaorang nak percaya? Semalam kau dah dapat surat dari fakulti. Kalau kau gagal hadirkan diri dalam masa dua minggu lagi, they’ll kick you out, bro!”. Ada nada kerisauan dalam suaranya.

“Elok juga. Lagipun aku bukan minat pun dengan kursus tu. Aku belajar tu pun sebab mama yang paksa. Kalau tak aku pun tak ingin!” tempelak Kyriel.

Kyriel memang tidak berminat dengan kursus pengurusan perniagaan dan ekonomi yang sedang diikutinya di Universiti of Manchester di United Kingdom. Kalau diikutkan minatnya lebih cenderung dalam bidang architectur. Darah seni yang diwarisi dari papanya lebih kuat mengalir dalam tubuhnya berbanding dengan mamanya. Tetapi siapa yang berani membantah kata-kata Datuk Zarith Sofea? Walaupun mulanya dia memberontak, tapi akhirnya dia terpaksa mengalah lebih-lebih lagi bila mamanya menggunakan ugutan dan paksaan.

“Come on, Riel. Kau boleh bertahan selama 4 semester kat sini. Tinggal lagi dua semester saja lagi. Takkan kau nak sia-siakan apa yang kau dah dapat selama ni sebab geramkan mama kau?’ marah Eddy. “Aku yakin, arwah abang Naz pun takkan setuju dengan tindakan kau ni.” sambung Eddy.

“Jangan libatkan abang Naz dalam hal ni, Eddy!”

“Kenapa tidak? Bukan sebab dia ke kau tinggalkan UK? Hanya kerana surat yang kau sendiri belum tahu kesahihannya tu, kau terus tinggalkan study dan kami di sini!” tukas Eddy.

“Kau tak faham Edd. Kau tak...”

“Ya, memang aku tak faham. Professor lulusan universiti ternama dunia ni pun tak akan faham kalau kau tak ceritakan apa sebenarnya yang menganggu fikiran kau tu, Riel! Tak kan sebab surat abang Naz mengenai papa kau tu kau bertindak bodoh macam ni? Lagipun kau sendiri tak tahu samada apa yang arwah Nazary tulis tu betul atau tidak!” Marah Eddy lagi. Dia benar-benar berang dengan sikap Kyriel Iskandar yang suka membuat sesuatu tanpa berfikir panjang.

“Sebab itulah aku balik ke Malaysia ni! Aku nak pastikan betul atau tidak papa masih berada di sini seperti yang tertulis dalam surat tu atau betul dia dah tinggalkan kami dan balik ke US macam yang mama selalu ceritakan!” balas Kyriel Iskandar.

“Dan kalau kau jumpa papa kau? Apa yang kau nak buat?” Eddy bertanya. Suaranya yang kuat tadi mula kendur.

“Aku nak tanya dia kenapa dia tinggalkan aku dan abang Naz.” ujar Kyriel Iskandar perlahan.

Dihujung talian, Eddy hanya mampu mengeluh simpati. Dia memang kasihan melihat nasib sahabat baiknya itu. Walaupun Kyriel Iskandar datang dari keluarga yang berada, tapi sayangnya dia miskin dengan kasih sayang. Mamanya hanya pentingkan urusan perniagaan dan papanya pula entah hilang ke mana. Hanya pada abangnya Nazary Iqram tempat Kyriel bermanja dan mengadu nasib. Tapi sayang hayat saudara kandungnya itu tidak panjang. Baru tiga bulan lepas Nazary meninggal dalam kemalangan jalanraya. Dan kini, Kyriel Iskandar hanya punya dia, tempat untuk dia meluahkan segalanya.

“I’m sorry I lost my temper just now”. Eddy meminta maaf dari Kyriel. “Kau tahukan, aku cuma tak nak kau tersalah langkah? Aku dah anggap kau macam adik aku sendiri Riel. Aku tak nak kau sia-siakan semua yang kau ada hanya disebabkan perasaan marah kau tu.”

Kyriel memejamkan matanya. Jauh di sudut hati dia juga menganggap Eddy seperti saudara kandungnya sendiri. Dia faham dengan kemarahan Eddy.

“Kau tak ubah macam abang Naz, Edd. Selalu hendak menjaga aku. Tapi kali ni aku terpaksa buat macam ni. Aku harus cari kebenaran. Aku perlu tahu kenapa papa tinggalkan aku dan abang Naz secara tiba-tiba. Kalau tidak, sampai bila-bila pun hati aku tak akan tenteram.” Jelas Kyriel Iskandar. Dia berharap agar Eddy memahami tindakannya meninggalkan United Kingdom.

“Baiklah. Buat masa ini aku terima alasan kau tu. Tapi ingat Riel, whatever happens kau kena tahu I’m here for you if you need anything. Kau tak berseorangan dalam dunia ini.”

“Thanks, Bro. I really appreciate it.” Kyriel menamatkan perbualan mereka.

Telefon bimbitnya itu diletakkan di atas meja. Dia mencapai beg galasnya tadi lalu membuka zip kecil disebelah depan beg. Sekeping kertas yang berlipat kecil dikeluarkan. Perlahan Kyriel membuka lipatan kertas itu. Ayat-ayat yang tertulis di atas kertas yang hanya ditulis dua perenggan itu dibacanya sekali lagi.

‘To my son, Naz. Papa harap anak papa sihat selalu. Alahamdulillah, papa masih diizinnan Allah untuk bernafas di dunia ini. Semuanya baik di sini. Orang-orang di sini sudi terima papa walaupun kami berlainan bangsa. Ada sebuah keluarga di sini yang sering mengajar papa bahasa melayu. Kata mereka, senang kalau papa mahu berbicara dengan anak-anak papa nanti. Suasana di pulau ini memang mendamaikan. Setiap hari papa akan ke tepi pantai melihat laut dan burung-burung yang berterbangan di langit. Bila terpandangkan burung helang yang banyak berterbangan di sini, papa pasti akan teringatkan adik kamu, Iskandar. Isk memang gemar mengumpul koleksi gambar-gambat helang bukan? Rindu betul papa dengan kamu semua. Walaupun Papa bahagia di sini tapi kebahagian itu tiada maknanya kerana kamu semua tiada disamping papa…
Naz, please take care of your brother. Tell him I love him but I had to do this. I want you both to know this; I will always think of you two eventhough we’re worlds apart. One day, you’ll know the truth about my dissapearance and when that day comes, I hope we’ll be together again. I love you. Till my next letter… Send my love to your brother. Papa, Adam Abdullah.

Seperti biasa, setiap kali dia selesai membaca surat papanya itu, perasaannya menjadi sayu. Dia dapat membayangkan kesedihan dihati papanya. Wajah Adam Abdullah muncul di matanya. Hanya lapan tahun dia sempat bermesra dengan lelaki itu. Merasai kasih seorang lelaki bergelar ayah. Kenapa seorang lelaki yang baik dan penyayang seperti papa sanggup meniggalkan mereka adik-beradik? Kyriel sendiri tidak tahu kenapa dan di mana papanya menghilang. Apa yang dia tahu, sehari sebelum papanya menghilangkan diri, Adam Abdullah telah membawanya dan Nazary Iqbal keluar berjalan-jalan. Sepanjang hari mereka bertiga bermain dengan gembira di taman tema.

Apabila Kyriel merengek lapar, papa telah membawa mereka ke sebuah restoren. Sementara menunggu pesanan, papa meminta diri ke tandas tapi pandangan papa ketika itu berlainan benar dari selalu. Pandangan itu seolah-olah menyatakan yang mereka tidak akan bertemu lagi. Kyriel ingat lagi betapa eratnya Adam Abdullah memeluk dirinya sebelum papanya keluar menuju ke tandas.

Dan itulah kali terakhir Kyriel melihat wajah papanya. Apabila Siva, pemandu keluarga mereka datang mengambil dia dan Nazary di restoren, Kyriel menjerit-jerit tidak mahu pulang. Dia hanya mahukan papanya tetapi jeritan itu hanya sia-sia. Siva tidak mengendahkan langsung tanggisannya. Sampai di rumah dia dan Nazary hanya mampu menanggis. Bila dia bertanya pada mamanya, hanya jelingan tajam yang dperolehinya. Oleh kerana dia amat rapat dengan papanya dia tidak pernah berputus asa bertanya. Genap tujuh hari selepas Adam Abdullah menghilang barulah mamanya bercerita kepada mereka.

“Papa dah pergi tinggalkan kita. Dia dah kembali ke US. He doesn’t love us anymore." Dan sejak dari itu Kyriel mula membenci papanya.

Lima belas tahun dia hidup dengan cerita mamanya. Dia tidak pernah bertanya tentang Adam Abdullah pada sesiapa pun. Abangnya, Nazary juga tidak pernah menyebut nama papa mereka lagi. Kyriel menyangka Nazary juga seperti dirinya, membenci lelaki yang bernama Adam Abdullah itu tapi surat yang dipegang ditangannya kini menyatakan sebaliknya.

Kyriel tidak pernah menyangka yang selama ini Nazary dan Adam Abdullah ada berhubungan. Dan kalau tidak kerana surat yang dia temui secara tidak sengaja di dalam buku yang diambil dari bilik Nazary seminggu selepas majlis pengkebumian Nazary, mungkin sampai kini pun dia tidak akan tahu hal itu. Kalau Edd tak pinjam buku tu dari aku, mungkin sampai sekarang aku tak tahu papa dan Abang Naz pernah berhubung!

Kenapa abang Naz rahsiakan semua ini dari aku? Dan kenapa papa tak pernah mahu mencari aku? Sejak bila mereka berhubungan? Kerana soalan-soalan itulah dia meninggalkan pengajiannya di United Kingdom. Dia perlu mendapatkan jawapan untuk ketenangan dirinya. Dan dia perlu bertindak segera sebelum mamanya tahu di mana dia berada.

Kyriel bangun dari katil dan berjalan menuju ke sliding door. Pandangannya dilontarkan ke luar, memandang langit yang mula gelap. Surat di tangan digenggam erat. Suasana di pulau ini memang mendamaikan. Setiap hari papa akan ke tepi pantai melihat laut dan burung-burung yang berterbangan di langit. Bila terpandangkan burung helang yang banyak berterbangan di sini, papa pasti akan teringatkan adik kamu, Iskandar. Bait-bait ayat itu menjadi petunjuk untuk dia mencari Adam Abdullah. Helang dan pulau. Dua nama itulah yang membawa dia ke pulau Langkawi, pulau yang begitu sinonim dengan burung helang. Dia yakin papanya berada di sini. Apa yang dia perlukan kini hanyalah seseorang yang dapat membantunya mengelilingi pulau ini untuk menjejaki papanya.

Papa, tunggu Isk. Tunggu Isk....

Monday, May 25, 2009

Bab 6


Tujuh Tahun Sebelumnya…

Ilham menghirup kuah laksa pekat di dalam pinggan di depannya dengan penuh nikmat. Ini sudah pinggan kedua laksa yang menjadi habuan tekaknya. Memang sejak dia dikenalkan dengan Laksa Kak Su di Pekan Kuala Perlis ini, dia sudah menjadikan makanan ini salah satu makanan wajib baginya bila sahaja dia turun ke pekan ini.

Ilham menyudu lagi kuah yang sudah tinggal separuh itu. Sebelah tangannya memegang sehelai tisu untuk mengesat bibirnya yang terkena lebihan kuah. Laksa Kak Su ini memang sedap. Kuahnya yang pekat memang enak dan dipadankan pula dengan laksa yang dibuat sendiri dari tepung beras, pasti akan membuatkan sesiapa yang pertama kali merasai akan berhajat untuk merasainya sekali lagi.

“Kak, bungkus dua” jerit Ilham pada pelayan kedai. Kak Ina mengangkat ibu jari tangan kanannya menunjukkan tanda okay pada Ilham. Ilham tersengih. Dia meneruskan kembali menjamu selera tanpa memperdulikan keadaan sekelilingnya.

“Hoi! Kau ni, kalau dah jumpa laksa tu, dunia ni pun kau boleh lupa,kan?” jerkah Mazni di hadapannya. Ilham tersedak bila disergah begitu. Dia mencapai gelas teh ‘o’ ais limau di depannya. Dia menyedut rakus air yang tinggal separuh itu.

“Kau jangan buat macam tu boleh tak? Terkejut aku tau!” ujar Ilham separuh marah. Dia mengosok-gosok dadanya yang sedikit sakit kerana tersedak tadi. Mazni yang sedar keterlanjurannya mengangkat kedua belah tapak tangannya lalu dicantumkan gaya orang zaman purbakala datang mengadap sultan.

“Minta ampun la Cik Ilham Insyirah oii. Hamba janji tak buat lagi.”
Ilham mencebik mendengar kata-kata Mazni. Hari ni memang lah kau tak buat lagi,esok lusa? Mesti kau ulang balik!



Tapi sejurus kemudian dia tersenyum. Walaupun geram disergah Mazni tapi apa yang dikatakan temannya itu ada kebenarannya. Dia, kalau sudah mengadap laksa Kak Su, memang akan lupa segalanya. Tapi siapa yang harus dipersalahkan? Kalau bukan Mazni yang memperkenalkan hidangan istimewa itu, mana mungkin dia boleh jadi ketagih begini?

“Ala, aku jadi lagu ni pun sebab hang juga. Kalau bukan hang yang introduced aku kat kedai ni, mana aku nak kenai kan?” tukas Ilham dalam loghat utaranya yang kedengaran pelik di telinga anak jati utara seperti Mazni. Orang KL baru belajaq cakap utara, pelik sungguh bunyi!

“Amboi, sedap rasa nak salahkan orang ya. Kau tu yang memang hantu laksa, nak salahkan orang pulak!” Mazni yang geram menghadiahkan cubitan berapinya ke lengan Ilham.

“Auuww...sakitlah!” Ilham merengek. Dia mengosok-gosok lengannya sekejap sahaja sudah merah bertanda denga kesan cubitan Mazni tadi.

“Eleh, sikit aja pun dah sakit. Aku punya cubitan tak power manapun kalau nak banding dengan cubitan ala scorpion Mak Lang kau!” Balas Mazni.

Ilham tersengeh mengiyakan kata-kata Mazni. Cubitan anak Pak Idris itu sebenarnya biasa-biasa sahaja jika hendak dibandingkan dengan cubitan ala-ala kala jengking Mak Lang Sakinah. Ilham berniat untuk menyambung makan tapi bila terkenangkan adik arwah ayahnya itu, selera makannya mati. Dia bangun serta merta. Wajahnya yang ceria tadi bertukar panik. Mampus aku! Mesti Mak Lang bising! Dia memandang sekilas jam ditangan. 4.20 petang. Aduh! Macamana aku boleh tak sedar ni?!

“Kak Ina, kira cepat!” jerit Ilham. Kak Ina terkocoh-kocoh datang dengan dua laksa bungkus yang dipesannya tadi dan diletakkannya di atas meja.

“Awatnya hang ni Ilham? Kalut semacam je akak tengok?”

“Haah. Kau ni kenapa? Tiba-tiba pulak kalut macam ni?” tegur Mazni pula.

“Aku dah lambat ni. Engkau orang dua orang janganlah banyak soal!” Balas Ilham. Dia mengeluarkan not 10 ringgit dua keping dan diletakkan di atas meja. Helmet yang diletakkan di kerusi segera dicapainya.

“Cepatlah Maz. Hantar aku ke jeti cepat!” gesa Ilham. Dia berlari menuju ke motosikal Mazni di luar kedai. Mazni dan Kak Ina hanya bertukar pandang. Hairan dengan sikap Ilham.

“Baik hang cepat Maz. Kalut betui dia tu. Memang nak cepat sangat lah tu sampai laksa ni pun dia boleh lupa.” Kak Ina menghulurkan bungkusan di atas meja ke tangan Mazni. Tanpa berlengah Mazni segera mendapatkan Ilham.
***
Ilham cepat-cepat menanggalkan helmet di kepala dan dihulurkan pada Mazni. Laksa di dalam bakul motor segera dicapainya. Belum sempat Mazni berkata apa-apa, dia sudah berlari menuju ke kaunter tiket.

“Oii…Ilham, kau jadi tak turun sini Khamis depan?” jerit Mazni, mengingatkan Ilham janji mereka untuk bertemu minggu hadapan. Ilham yang sudah sampai di kaunter dua terpaksa menoleh untuk menjawab pertanyaan Mazni.

“Nanti aku call hang!” Jawab Ilham ringkas. Dia berpusing semula mengadap kaunter. Kertas yang tertera jadual perjalanan feri di bacanya.

“Uncle Cheng, bagi saya tiket pukul 4.30.” Ilham menghulurkan duit kepada lelaki berbangsa Cina di kaunter. Jarum jam sudah menunjukkan jam 4.35 petang tapi Ilham tahu feri itu belum berlepas lagi.

“Tak boleh la Ilham. Dah lambat dah ni. Feri nak jalan. Hang ambil tiket pukul 5.30 lah na?” Ujar Uncle Cheng.

“Ala... Uncle. Tolonglah, Ilham dah lambat ni…”

“Tak boleh. Tak sempat dah ni…” balas Cheng. Feri sudah bersedia untuk berlepas. Memang Ilham tidak sempat mengejarnya.

“Ala… tolonglah Uncle. Ilham betul-betul dah terdesak ni. Nanti kalau Ilham ambil feri pukui 5.30, lagi lambat sampai Langkawi. Mak Lang bising nanti!” Rayu Ilham. Dia menunjukkan muka kasihannya pada Uncle Cheng. Melihat wajah putih mulus itu begitu, Uncle Cheng menjadi kasihan. Dengan hati yang bercampur baur, Cheng menghulurkan tiket kepada Ilham.

“Terima kasih Uncle Cheng! I love youuu!!!!” jerit Ilham kegirangan. Dia berlari menuju ke pintu yang menghala ke ruangan menunggu feri.

“Ilham, kalau Pak Mud hang dah jalan, hang tunggu feri pukul 5.30 nanti. Hang jangan nak buat kerja gila lompat naik atas feri macam dulu lagi!” pesan Cheng. Namun dia tidak pasti samada gadis itu mendengarnya atau tidak.

“Janganlah hang buat kerja gila tu lagi Ilham. Kalau tak naya aku!” Doa Cheng dalam hati.
Dari jauh Ilham dapat melihat Mat Din, pembantu Pak Mud sudah pun menarik tali pengikat feri menandakan feri akan mula bergerak. Alamak dah nak jalan! Ilham segera berlari. Dia menjerit meminta Mat Din menunggunya.

“Abang Mat! Abang Mat! Tunggu sat.” Tapi Mat Din yang kini membelakangkan Ilham tidak mendengar jeritan gadis itu. Ilham berlari lebih laju lagi sambil tangannya melambai-lambai ke arah feri itu.

Sebaik sahaja Ilham sampai di depan feri, feri itu mula bergerak meninggalkan jeti. Ilham mula cemas. Dia tidak boleh menunggu untuk satu jam lagi. Apa pun yang terjadi feri yang tertera nama Ekspress Labuan itu perlu dinaikinya.

“Sorry, Uncle Cheng. Ilham terpaksa.’ Dia terpaksa mengingkari pesanan Cheng tadi. Ilham berundur sedikit ke belakang. Dia sudah nekad. Dalam hati dia berdoa agar dia selamat mendarat di atas feri dan bukannya ke dalam laut. Dia menarik nafas dalam dan mengira di dalam hati. Satu...dua...tiga...lompat! Dengan mata terpejam rapat, Ilham melompat ke atas feri. Merasakan benda pejal di bawahnya, Ilham yakin dia selamat mendarat di atas dek feri dan bukannya ke dalam laut. Tetapi ada sesuatu yang ganjil di situ.

“Kenapa pula deck feri ni lembut semacam?”. Deck yang sepatutnya keras dan sejuk itu kini terasa lembut dan sedikit hangat. Dengan perlahan Ilham membuka matanya. Dia tersentak. Di hadapannya kini ada sepasang mata berwarna coklat millik seorang lelaki sedang merenungnya tajam. Pandangan keduanya bertaut. Dada Ilham berdegup kencang. Entah kenapa mata yang tajam merenungnya itu kelihatan sangat indah dan menawan di mata Ilham.



Tanpa disedari pandangannya kini beralih ke hidung lelaki itu. Hidung mancung itu terletak sempurna diwajah yang cerah kemerahan itu. Pandangannya kini jatuh ke bibir merah lelaki itu yang kelihatan terkumat-kamit menyatakan sesuatu. Tetapi Ilham tidak mendengar sepatah pun kata-kata lelaki itu. Dia benar-benar terpesona dengan kekacakan lelaki itu. Siapakah dia? Pelancongkah? Mungkin juga kerana wajah lelaki itu tidak kelihatan seperti orang tempatan.

“Ilham!” Ilham tersentak bila mendengar namanya dipanggil Mat Din dan tubuhnya ditarik bangun. Baru Ilham perasan yang dia terjatuh di atas lelaki yang asyik direnungnya tadi. Mukanya kini panas menahan malu yang teramat.

“Awat la hang buat kerja gila ni lagi?” Marah Mat Din. Ilham hanya menundukkan kepalanya. Dia betul-betul merasa malu. Sudahlah dia jatuh di atas lelaki itu, kini dia dimarahi pula oleh Mat Din. Nasib baiklah kau orang putih, tak faham apa kami cakap. Kalau tak, isyhh..malu aku! 

“Dulu hang buat lagu ni, tak pasai-pasai Uncle Cheng kena marah dengan tokei. La ni hang buat lagi. Hang memang saja nak susahkan kami semua, kah?” tempelak Mat Din lagi. Dia benar-benar geram dengan perbuatan Ilham.

“Maaf Abang Mat, Ilham terdesak sangat ni.” Ujar Ilham perlahan. Dia mencuri memandang ke arah lelaki disebelahnya. Tatkala pandangan mereka bertaut, Ilham cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Renungan tajam lelaki itu membuatkan dia lemas.

“Sorry Abang Mat. Ilham janji tak akan buat lagi.” Ilham berjanji pada Mat Din yang belum berhenti memarahinya. Tiba-tiba hidung Ilham menangkap bau yang baru dihidunya beberapa ketika yang lalu di Kedai Laksa Kak Su. Matanya membulat apabila terpandangkan plastik kuah laksa yang dibawanya tadi sudah pecah dan kuahnya telah melimpah keluar ke atas dek feri. Ilham menekup mulutnya bila melihat kaki lelaki disebelahnya itu turut menjadi mangsa kuah laksa itu. Aduh! Kenapalah aku asyik memalukan diri depan mat salih ni?!

“I’m so sorry, sir. I didn’t mean to land on you and I’m sorry about this mess too...’

“Kau ni ada otak ke tidak?” soal lelaki itu tiba-tiba. Ilham terpempam. Alamak, boleh cakap Melayu lah pula.

“Kau tahu tak apa yang buat tadi merbahaya? Bukan hanya pada diri kau tapi semua orang atas feri ni.” Mata lelaki itu mencerun memandangnya. Ilham tunduk, gerun dengan pandangan tajam lelaki itu.

“Engkau tahu tak kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita buat sebenarnya boleh menyusahkan orang lain. Tindakan bodoh kau tadi boleh susahkan banyak pihak, tahu?!” Ilham yang sedar dia dia pihak yang salah hanya diam membatukan diri. 

“Mak dengan ayah kau tak pernah ajar kau ke?” sindir lelaki itu. Darah Ilham menyirap. 

Memang pantang dirinya kalau nama ibu dan ayahnya disebut-sebut. Main kasar pula Mat Saleh celup ni!

“Saya tahu saya salah dan saya mengaku apa yang saya buat tadi bodoh tapi yang encik nak libatkan ibu dan ayah saya apahal pulak?” marah Ilham.

“Kalau betul didikan ibu dan ayah kau tu, kau tak akan jadi macam ni, kan?”

“Kurang ajar!” Pang! Pantas tangan Ilham hinggap ke muka lelaki itu. Harapkan muka aja handsome, tapi mulut jahat! 

Melihatkan muka lelaki itu mula menyinga, Mat Din cepat-cepat masuk campur.

“Encik, saya minta maaf bagi pihak cik ni. Saya minta maaf sangat-sangat, ya encik?” Pinta Mat Din. Kalau boleh, dia tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan. Cukuplah dengan aksi gila Ilham tadi, dia tidak mahu perbuatan Ilham menampar penumpang ferinya itu pula mendatangkan masalah.

“Engkau pun sama! Macamana kau jaga keselamatan penumpang ni? Kalau terjadi apa-apa tadi macamana?” Geramnya pada Ilham dilempiaskan kepada Mat Din.

“Eh, saudara. Yang salah saya, bukan abang Mat. Yang awak nak marah dia tu kenapa?” Ujar Ilham yang tidak berpuas hati dengan lelaki itu.

“Dahlah tu Ilham. Memang salah abang Mat pun. Maaf ya, encik. Saya jamin hal ni tak akan berlaku lagi. Nanti saya ambilkan kain untuk bersihkan kaki encik ni, ya.” Mat Din menarik tangan Ilham masuk ke dalam feri. Dia tahu, kalau ditinggalkan Ilham bersama lelaki itu, anak jirannya itu akan mula mencari pasal. Dia tidak mahu hal ini berlarutan lebih lama.

“Next time use that brain of yours in the right way. Sia-sia saja Tuhan kurniakan otak kalau tak pandai nak guna.” Sempat lagi lelaki itu menyindir Ilham.

Ilham berniat membalas tapi Mat Din segera menariknya ke dalam. 
“Eeee...janganlah bagi aku jumpa kau lagi. Kalau aku jumpa, siaplah mulut kau tu aku ganyang-ganyang dengan cabai!” sumpah Ilham.