Ilham menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg galasnya. Senyuman terukir di wajahnya selepas menjawab panggilan telefon Kak Noni, pegawai khidmat pelanggan di Awana Porto Malai.
“Dia request hendakkan anak jati pulau ini untuk bawa dia pusing-pusing sekitar Langkawi. Akak tahu kau nak pakai duit sangat, jadi akak cadangkan kau aje tadi. Dia sanggup nak bayar lebih dari harga biasa asalkan kau sanggup bawa dia tour satu pulau ni. Boleh kau datang sekarang? Akak beritahu dia tadi yang kau akan datang dalam pukul 8.30.”
Tanpa teraga-agak, Ilham terus sahaja bersetuju dengan permintaan Noni tadi.
Dia memang amat memerlukan duit ketika ini. Kalender yang tergantung di belakang pintu biliknya di belek. Tarikh yang dibulatkan dengan marker merah diperhatikannya. Ilham mengira di dalam hati. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan...Ada lapan hari lagi sebelum dia harus ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan untuk Azieqah.
Sebolehnya Ilham tidak mahu mengusik wang simpanan di dalam banknya. Duit itu dikumpul khas untuk membiayai pembedahan Azieqah kelak. Walaupun masih banyak lagi yang diperlukan, tetapi Ilham yakin jika dia berusaha lebih kuat lagi, dia akan mampu mendapatkannya.
Ilham berpusing menghadap cermin. Hari ini dia mengenakan pakaian yang biasa dipakainya apabila dia bertugas menjadi pemandu pelancong. Sehelai jeans lusuh biru, dipadankan pula dengan kemeja-T berwarna hijau muda. Rambut pendek paras bahunya di sisir rapi. Nampak macam budak-budak sangat pulak. Gumam Ilham seorang diri sambil tangannya menanggalkan klip rambut berwarna hijau yang disisip ke rambutnya.
Kemudian dia mencapai cekak rambut berwarna putih di atas meja lalu dipakainya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, barulah Ilham melangkah ke luar dari biliknya. Aroma bau kopi dan nasi lemak menyapa hidung Ilham sebaik sahaja dia keluar dari bilik. Serta merta perutnya yang tidak berisi apa-apa sejak malam tadi terasa lapar. Ilham memasang langkah menuju ke dapur.
Ketika sampai di dapur dia melihat Mak Lang Sakinah dan adiknya Azieqah sudah berada di meja. Sepingan nasi lemak yang belum terusik berada di hadapan Azie. Ilham dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku antara kedua-dua mereka. Wajah kedua-duanya muram dan sebaik sahaja ternampak Ilham turun dari tangga yang memisahkan ruang depan dan dapur, wajah Azieqah bertukar marah. Apa pula yang aku dah buat kali ni? Keluh Ilham dalam hati. Kerana dia tidak mahu paginya dirosakkan dengan pertengkaran dengan Azieqah, Ilham berpura-pura tidak menyedari suasana tegang yang sedang dirasai.
“Selamat pagi Mak Lang, Azie!” Ilham bersuara ceria. Dia mengambil tempat di hadapan Azieqah.
“Hmmm...Mak Lang buat nasi lemak pagi ni ya? Bestnya!” Ilham mencapai pinggan lalu diceduk nasi lemak itu ke dalam pinggannya. Kemudian dia mengambil pula sambal tumis sotong kering, telur rebus, kacang tanah goreng dan timun lalu diletaknya ke dalam pinggan berisi nasi tadi.
“Mak Lang tak makan ke?” soal Ilham.
“Sekejap lagi Mak Lang makan. Ilham makan lah dulu.” Ujar Sakinah. Dia menuangkan air kopi ke dalam sebiji cawan lalu diletakkan di hadapan Ilham. Matanya merenung sayu ke arah Ilham yang sedang asyik bersarapan.
Kemudian pandangannya jatuh pada wajah Aziqah yang sedang merenung Ilham dengan pandangan tajam. Bila pandangan Azieqah bertaut dengannya, Sakinah segera mengelengkan kepalanya sebagai isyarat melarang Azieqah dari berkata apa-apa. Jangan Azie. Jangan rosakkan hari kakak kau. Jangan kau nak sakitkan hati dia pagi-pagi ni!
Tetapi seperti biasa, Azieqah tidak pernah mahu mengendahkan kata-katanya. “Kau masih berselera makan lagi, ya? Kau tak malu ke pada Mak Lang?” Azieqah menyoal Ilham kasar. Dia naik berang bila melihat Ilham tidak mengendahkan soalannya.
“Sudahlah kita ni menumpang aje di rumah ni, kau sanggup nak bagi Mak Lang jual rumah ni? Apa jenis manusia kau ni? Kau tak ada perasaankah?”
“Azieqah!” marah Sakinah. “Hormat sikit pada kakak tu. Kenapa cakap macam tu pada dia?”
“Ah...buat apa Azie nak hormat pada orang macam ni? Tak guna Azie hormat pada orang yang tak berhati perut macam dia ni!” balas Azieqah. Hatinya mendidih marah bila melihat Ilham masih tidak mengendahkannya dan terus menyuap nasi ke dalam mulut.
“Hoi! Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Azieqah menghentak meja, cuba menarik perhatian Ilham tetapi kakaknya itu hanya berdiam diri. Memang tak ada hati perut betul perempuan ni!
“Mak Lang tengok lah dia ni! Orang macam ni yang Mak Lang suruh saya hormat?”
“Sudahlah tu Azie. Jangan buat perangai macam ni depan rezeki. Tak baik.” Sakinah cuba menenangkan Azieqah. Matanya jatuh ke wajah Ilham yang kelihatan bersahaja. Namun Sakinah tahu, di dalam hati anak saudaranya itu sebenarnya sedang menahan rasa dengan kata-kata kasar Azieqah.
“Kau dengar sini Ilham. Kalau kau setuju Mak Lang nak jual rumah pusaka arwah Pak Lang ni untuk dapatkan duit bagi pembedahan aku, aku tak akan terima. Aku tak akan jalani pembedahan tu. Aku lebih rela mati, kau tahu tak ? Aku lebih rela mati!”
“Azieqah! Astafirullahalazim...mengucap Azie. Kenapa cakap sampai macam tu sekali? Kakak kamu tak salah dalam hal ni. Mak Lang yang buat keputusan ini sendiri. Ilham tak tahu apa-apa pun.” Sakinah menerangkan keadaan sebenarnya. Dia tidak mahu Ilham terus dipersalahkan sedangkan gadis itu tidak tahu menahu pun tentang hasratnya menjual rumah peninggalan arwah suaminya ini.
“Kak Ilham kamu tak setuju pun dengan tindakan Mak Lang ni. Dia dah suruh Mak Lang pergi bank...”
Ilham memotong kata-kata Sakinah. “Azie, dah pukul 7.15 dah ni. Sekejap lagi Pak Leh nak datang ambil Azie ke sekolah kan? Cepat makan. Tak baik biarkan nasi tu macam itu.”
Sakinah merenung Ilham, hairan. Kenapa Ilham menghalangnya memberitahu hal itu kepada Azieqah? Sekurang-kurangnya jika Azieqah tahu hal sebenarnya, dia tidak akan marah-marah lagi pada Ilham.
“Ilham?”
“Cepat makan Azie. Tak elok pergi sekolah dengan perut kosong.” Ujar Ilham. Dia tidak mengendahkan Sakinah yang memandangnya. Dia tahu Mak Langnya mahu memberitahu Azieqah tentang keputusannya malam tadi. Tapi untuk apa? Ilham tahu, apa pun tindakannya hanya akan mendatangkan kemarahan pada Azieqah. Tidak ada satu pun tindakan Ilham yang disenangi adiknya itu.
Entah kenapa, semenjak ibu dan ayah mereka meninggal Azieqah seolah-olah membenci dirinya. Puas dia cuba mencari di mana salahnya tetapi dia sendiri tidak tahu. Bila dia bertanyakan hal itu pada Azie, adiknya itu hanya akan mendiamkan diri. Sudahnya, Ilham hanya membiarkan sahaja sikap adiknya itu. Dia menganggap tindakan Azieqah itu hanya kerana dia mahu melepaskan geram. Mungkin kerana penyakit jantung yang dihidapinya membuatkan Azieqah menjadi begitu.
Azieqah mendengus marah. Tanpa menjamah nasi lemak di dalam pinggan, dia mencapai beg sekolahnya dan meluru keluar. Beberapa ketika kemudian, mereka terdengar bunyi pintu ditutup kasar. Sakinah hanya mampu mengeluh.
“Ilham, kenapa kamu selalu biarkan adik kamu buat macam tu?” ujar Sakinah lemah. Ilham hanya tersenyum hambar sebelum menjawab.
“Biarlah Mak Lang. Dia kan tengah sakit. Orang sakit memang selalu macam tu. Dia cuma nak lepaskan geram aje.” Ilham bangun dan membawa pinggannya ke sinki.
Tidak mahu hal itu dipanjangkan lagi, Ilham segera mengubah topik. “Ilham nak ke Awana sekejap lagi. Ada tourist nak pusing-pusing kat pulau. Kalau sempat Ilham balik petang nanti. Kalau tak, Ilham terus pergi cafe Abang Jo ya, Mak Lang?”
“Tak penat kah kamu nanti? Apa kata kamu ambil cuti aje dari Jo tu?” saran Sakinah.
Dia faham benar dengan tugas Ilham. Walaupun Ilham sudah menetapkan waktu dia bertugas hanya dari pukul 8.30 pagi hingga ke 5.30 petang tetapi adakalanya ia akan berlanjutan hingga ke malam. Ada sesetengan pelancong yang di bawa Ilham mahu menikmati suasana malam di Langkawi dan mereka sanggup membayar lebih. Dan Ilham pula tidak pernah menolak rezeki. Selesai tugasnya sebagai pemandu pelancong, dia akan ke cafe Helang untuk memulakan tugasnya sebagai pembantu di situ.
“Tak bolehlah Mak Lang. Semalam Ilham dah cuti, tak kan hari ni nak cuti lagi. Nanti apa pula kata Abang Jo.” Ujar Ilham. Bila melihat Mak Langnya mahu berkata sesuatu, Ilham segera mencapai tangan ibu saudaranya itu. Tangan wanita itu dicium.
“Ilham pergi dulu ya, Mak Lang.” Dia mengambil begnya dan segera meninggalkan dapur. Namun bila sampai di tangga, langkahnya terhenti.
“Mak Lang,” panggil Ilham. “Jangan lupa pergi bank nanti untuk batalkan urusan jualan rumah ni.” pesan Ilham. Tanpa menunggu balasan dari Sakinah, dia segera berjalan keluar.
****
Ilham tercungap-cungap berlari ke arah pintu masuk Hotel Awana Porto Malai. Jam ditangan dilihatnya sekali lagi. 8.50 pagi. Aduh! Dah lambat ni! Sampai di dalam hotel, dia segera menuju ke front desk mendapatkan Noni.
“Apasal kau lambat ni? Dia dah banya kali tanya. Kalau nak ikutkan dia, dia dah nak tukar guide lain tau! Nasib baik akak pujuk dia.” marah Noni.
“Sorry Kak Noni. Kereta buat hal tadi. Ilham terpaksa tukar kereta lain dengan Abang Jamal tadi.” terang Ilham. Entah kenapa kereta kancil lama milik arwah Pak Langnya buat hal di Pekan Kuah tadi. Mujur dia terserempak dengan Jamal, pengusaha kereta sewa di Langkawi. Dan lelaki yang yang tinggal berjiran dengan keluarganya itu sudi meminjamkan salah sebuah keretanya pada Ilham.
“Dah...dah...jom cepat. Dia tunggu kau kat luar.” Noni menarik tangan Ilham menuju ke pintu. Sambil berjalan, Noni sempat berpesan pada Ilham.
“Kau ingat tau Ilham. Kalau dia tanya, kau cakap kau tu memang orang Langkawi. Jangan cakap kau baru tiga tahun kat sini. Akak beritahu dia tadi kau tu memang anak jati Langkawi. Kau arif dengan selok belok tempat ni. Kalau dia tahu kau tu pun baru aje kat sini, naya akak!”
“Ala, akak jangan risaulah. Pandailah saya nanti. Lagipun, dia mesti nak berjalan-jalan di tempat biasa kan? Kalau setakat nak ke Makam Mahsuri, Telaga Tujuh, Gunung Raya, dan Padang Mat Sirat tu saya dah hafal sangat.” balas Ilham. Memang itu je tempat tourist nak pergi. Bukan susah sangat pun, bisiknya dalam hati.
“Akak harap macam tu lah. Dia pun cakap dengan akak tadi dia nak pergi tempat yang banyak pelancong luar negara ni. Sebab itu akak berani panggil kau. Lagipun akak tahu, kau tu nak pakai duit sangat dan lelaki tu sanggup nak bayar lebih dari harga biasa.”
“Terima kasih Kak Noni. Tu yang buat Ilham sayang sangat pada akak ni!”
Noni hanya tersenyum senang mendengar kata-kata Ilham. Sampai di luar matanya mencari-cari kelibat pelanggannya. Dia tersenyum lega bila ternampak kelibat lelaki itu yang sedang duduk di salah sebuah kerusi sambil kapal-kapal layar yang berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai. Dia menarik tangan Ilham menuju ke arah lelaki itu.
“Sir, she’s here.” ujar Noni. Lelaki itu menoleh dan bangun dari kerusinya.
“This is Ilham Insyirah, you guide for today. Ilham, ini Mr Kyriel Iskandar, pelancong tu…” Terang Noni. Berkerut dahinya bila kedua-dua mereka memandang anatara satu sama lain dengan mata yang membulat.
“Kau?!” jerit mereka serentak!!!
1 comment:
farah nilah buat kak marah..seronok baca bab 9,mana gi bab seterusnya farah? dah seronok dapat anugerah dari farah ni..bila dah nak baca sal boyfren aka c kyrie tahu dah hilang seronok sal tak ada sambungannya...eeeee garamnya aku..
Post a Comment