PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Thursday, August 2, 2012

Bab 14


Johan memerhatikan Ilham yang asyik termenung sejak dia tiba di café Helang setengah jam lalu. Sesekali dia melihat Ilham mengeluh dan membuat mimik muka seperti orang yang ada masalah besar.

“Apa kena Ilham tu, bang?” tanya Laila, tunangnya yang sedang menyusun tisu di dalam kotak.

“Entah. Tadi abang tanya dia, dia buat tak tahu aje.”

“Ada masalah dengan Azie lagi agaknya. Entah apa nak jadilah dengan budak tu. Tak habis-habis nak menyakitkan hati kakak dia.” Laila membuat andaian sendiri. Dia memang maklum dengan perangai Azie yang bencikan Ilham. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia membahasakan gadis itu tetapi ditegah oleh Ilham. 

“Dia sakit Kak Laila, biarkanlah.” Alasan Ilham itu langsung tidak dapat diterima. Kalau sakit sekalipun kenapa Ilham harus menjadi mangsa? Bukanlah lebih elok kalau dia melayan Ilham dengan baik? Sekurang-kurangnya tidak terasa sangat beban penyakit yang ditanggungnya.

“Abang cubalah tanya dia. Risaulah saya tengok dia macam tu,” saran Laila. Tubuh Johan ditolak perlahan ke arah Ilham. Dengan hati yang berat Johan menghampiri Ilham.

“llham?” panggilnya perlahan. Tetapi gadis yang sedang mengelamun itu tidak mendengar panggilannya. Beberapa orang pekerjanya sudah mula berhenti menjalankan tugas mereka. Masing-masing berminat untuk mengetahui apa yang menganggu fikiran gadis yang sentiasa ceria itu.

“Ilham!” Kali ini suaranya dikuatkan lagi. Tapi Ilham masih tidak memandangnya. Dengan geram bahu gadis itu dicubitnya perlahan.

“Aduh! Sakitlah!” Ilham menjerit kecil. Bahunya yang terasa perit digosok-gosok perlahan. Mukanya mencuka memandang Johan yang sedang tersengeh.

“Apa Abang Jo ni? Main cubit-cubit pulak. Panggil elok-elok tak boleh?”

“Eh, dari tadi abang dok panggil kau elok-elok, kau yang tak dengar. Jangan nak salahkan abang pulak ye. Yang kau ni abang tengok dari tadi asyik termenung sana, termenung sini. Lepas tu mengeluh. Siap bercakap sorang-sorang lagi tu! Apa masalah kau ni, Ilham? Bergaduh dengan Azie lagi ke?”

“Ilham dengan Azie mana pernah tak bergaduh Abang Jo. Ilham tak larat nak layan lagi dah. Biarlah dia nak buat apa pun dengan Ilham, kalau itu boleh buat dia senang,” balas Ilham perlahan.

“Dah tu, apa pulak masalah kau lagi ni? Tak cukup duit?” soal Johan lagi.

Ilham mengeleng.

“Masalah boyfriend?”

“Isyhhh...Abang Jo ni. Saya mana ada boyfriend!” tukas Ilham.


“Habis tu?”

Ilham mengeluh lagi. Masalah dia sekarang adalah Kyriel Iskandar. Lelaki kacak tapi panas baran yang baru ditinggalkan tadi.  Hati dia menjadi rungsing kerana memikirkan lelaki itu. Pertengkarannya dengan lelaki tadi benar-benar menganggu fikirannya. Besar sangatkah kesalahan yang dibuatnya hinggakan lelaki itu bereaksi seperti itu?

“Jadi dari mula lagi kau dah tipu aku? Aku tak sangka, muka baik tapi perangai buruk macam ni. Apa tujuan kau sebenarnya? Nak tipu duit aku?”

Ilham ingin menerangkan perkara yang sebenarnya tetapi Kyriel langsung tidak memberinya peluang bersuara.


"Diam! Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut kau lagi. Mulai saat ini aku tak nak tengok muka kau depan aku lagi. Untuk kebaikan diri kau sendiri Ilham, jangan muncul depan aku atau Tuhan saja yang tahu apa aku akan buat!” Kyriel memberi amaran.

Dan itulah kata-kata terakhir Kyriel kepadanya sebentar tadi. Seumur hidup Ilham itulah pertama kali dia melihat orang benar-benar marah terhadapnya. Malah arwah ibu dan ayahnya pun tidak pernah marahkan dia seperti itu. Dan dia pasti, sampai bila-bila pun dia tidak akan dapat melupakan wajah bengis Kyriel tadi.

“Hei! Menggelamun pulak budak ni. Kau nak cerita ke tidak pada abang ni, Ilham?”

Dengan hati yang berat, Ilham menceritakan segalanya pada Johan. Dari peristiwa dia di atas feri semalam hinggalah ke saat dia dan Kyriel berpisah di Kampung Ayer Hangat tadi.

“Laa...pasal tu je kau menung sampai macam ni? Abang ingatkan ada benda besar lah tadi,” keluh Johan. Buang karan betul budak ni! Gumamnya dalam hati.

“Apa yang tak besarnya Abang Johan! Benda besarlah ni. Ilham dah buat seseorang kecewa dan bencikan Ilham. Dan nak memburukkan lagi hal, Kak Nora pun terlibat sama dalam hal ni sedangkan Ilham dah janji dengan dia takkan libatkan dia kalau jadi apa-apa.”

“Apa yang susahnya. Kau pergilah minta maaf dengan dia esok. Cakap saja terus terang kenapa kau bohongi dia. Hal ni kecil aje cuma kamu berdua yang besar-besarkan.” Johan memberikan cadangan.

“Susahlah Abang Jo. Dia ni lain macam sikit,” ujar Ilham.

“Lain macam macam mana? Dia tak serupa orang ke? Dia ni alien? Ilham, kalau dah namanya manusia semuanya sama saja. Seteruk mana pun manusia tu, masih ada ruang yang lembut dalam hati dia. Garang-garang lelaki tu, kalau kena gaya kau minta maaf dengan dia, abang yakin dia akan maafkan. Sudahlah. Jangan nak termenung lagi. Ambil kain ni, pergi lap meja kat luar tu. Setengah jam lagi kita nak buka cafe,” ujar Johan sebelum bangun untuk meneruskan kerjanya.

Ilham mengeluh untuk kesekian kalinya. Kata-kata Johan bermain di fikirannya. Meminta maaf memang mudah. Dia hanya perlu membuka mulut dan perkataan yang dirasai dalam hatinya itu akan meluncur keluar dari mulutnya. Tetapi untuk melakukannya dia perlu berhadapan dengan Kyriel Iskandar terlebih dahulu dan demi Tuhan itulah yang amat digeruninya sekarang lebih-lebih lagi bila dia teringatkan amaran Kyriel Iskandar tadi. “Untuk kebaikan diri kau sendiri Ilham, jangan muncul depan aku atau Tuhan saja yang tahu apa aku akan buat!”


 Dah kena warning macam itu, siapa yang berani hendak buat hal? 

***
Kyriel bingkas bangun dari katil. Dia berjalan menuju ke sebuah meja kecil yang terletak di sebelah pintu kaca yang menghadap balkoni biliknya. Cawan berisi air kosong di atas meja dicapai lalu diteguknya rakus dengan harapan air sejuk itu dapat meredakan hatinya yang masih membara. Pintu kaca di hadapannya dibuka. Angin malam menyapa kulitnya sebaik sahaja kakinya melangkah ke arah balkoni. Dia menarik nafas dalam. Pandangannya dihalakan ke arah kapal dan bot yang berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai itu.

Sejak pulang tadi dia cuba untuk tidak memikirkan hal yang terjadi antara dirinya dan Ilham. Tetapi kini, fikirannya mula menerawang memikirkan gadis itu. Dia mengetap bibir menahan geram. Rasa marah itu masih belum mahu hilang. Bukan marah pada Ilham  sahaja tetapi juga pada dirinya. Bagaimana dia boleh membiarkan dirinya ditipu gadis itu? Selama ini dia begitu berhati-hati dalam pergaulannya. Bukan mudah bagi Kyriel untuk mempercayai orang lain. Dia tidak pernah mempercayai orang-orang yang berada d isekelilingnya. Bagi Kyriel, mereka yang cuba untuk dekat dengannya pasti mempunyai motif tertentu. Bukan dia sengaja berfikiran begitu tetapi pengalaman lalu mengajarnya jangan mudah mempercayai orang.

Dia ingat lagi ketika dia berusia sepuluh tahun, rakan-rakan di sekolahnya begitu baik dengannya. Pada mulanya Kyriel menyangkakan mereka benar-benar mahu berkawan dengannya. Dia hampir sahaja menganggap mereka kawan baiknya sehinggalah suatu hari dia mendapat tahu mereka dipaksa berkawan dengan Kyriel hanya kerana ibu bapa mereka mahu cuba mendapatkan peluang perniagaan dari datuknya. Dan itu bukanlah kali terkahir peristiwa seperti itu terjadi padanya. Oleh kerana selalu terkenalah, Kyriel menjadi seperti ini. Terlalu mudah berprasangka pada orang. Dalam hidup Kyriel hanya tiga orang sahaja yang dipercayai dengan sepenuh hati. Papa, arwah Nazary dan Eddy. Kini setelah dia kelihangan Adam dan Nazary, hanya pada Eddy diletakkan sepenuh kepercayaannya.

Bunyi deringan telefon bimbitnya menyentak Kyriel dari lamunannya. Dia mengeluh kuat dan membiarkan panggilan tidak bersambut. Beberapa ketika kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dan seperti tadi Kyriel hanya membiarkan telefon itu terus berdering. Masuk kali yang kelima, Kyriel mula hilang sabar. Dia masuk ke dalam bilik dan mencapai telefon di kaki katil.

“Hello?” Jawabnya kasar.

“Kyriel?” Suara lembut seorang perempuan menyapa telinganya.

Dahi Kyriel berkerut bila terdengar suara yang tidak pernah didengarnya itu. Dia memandang sekilas ke arah nombor yang tertera di skrin telefon. Panggilan dari UK?

“Yes, this is Kyriel. Who is this?”

“Kyriel, ini aku. Katrina.”

“Kat?” Kyriel meminta kepastian. Dia agak terkejut menerima panggilan telefon dari Katrina, teman wanita terbaru Eddy.

“Iya. Ini aku, Kat,” jawab suara di hujung talian.

“Apahal kau telefon aku ni? Dari mana kau dapat nombor ni?” soal Kyriel sedikit keras. Hatinya mula rasa tidak senang. Kenapa Katrina menghubunginya?

“Pasal Eddy...”

Hati Kyriel berdebar kencang bila mendengar nama Eddy disebut. “Kenapa dengan Eddy?”

“Dia kena pukul. Sekarang ni dia ada di hospital universiti.”

Kyriel tersentak.  “Macamana keadaan Eddy?”

“Teruk juga. Dia dah keluar dari surgery room. Tulang rusuk dia retak. Dia tengah tidur,” jawab Katrina dalam esak tangisnya.

“Apa yang jadi sebenarnya, Kat?”

Katrina tidak segera menjawab. Yang kedengaran hanya tangisan gadis itu.

“Kat? Talk to me. Apa sebenarnya yang terjadi? Siapa yang pukul Eddy?”

Suara tanggisan Katrina makin kuat bila mendengar soalan Kyriel. Hati Kyriel makin tidak keruan. Jantungnya berdegup kencang. Entah kenapa dia dapat merasakan dia tidak akan suka dengan jawapan yang bakal didengarnya.

“Kat! Stop crying and tell me the truth! Siapa pukul Eddy!”

“Your mother’s men!”

Kyriel terjelepuk ke atas lantai. Mama? Mama yang pukul Eddy? Tidak mungkin. Kyriel tahu mamanya sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dia inginkan tapi sehingga ke tahap ini?

“Kau jangan main-main Kat! Mana kau tahu mereka orang mama aku?”

“Kyriel, aku ada dekat situ masa mereka pukul Eddy. Kami tengah dalam perjalanan nak balik ke apartment bila ada sekumpulan lelaki halang perjalanan kami. Mereka paksa Eddy beritahu mana kau berada sekarang. Bila Eddy tak mahu beritahu mereka terus pukul dia. Sampai lembik dia orang kerjakan Eddy. Nasib baik ada beberapa orang lalu dekat situ waktu tu. Dia orang yang tolong Eddy. Kalau tidak aku pun tak tahu apa nasib Eddy.”

“Ada lelaki-lelaki tu cakap apa-apa lagi?” soal Kyriel perlahan.

“Tak. Cuma aku terdengar salah seorang mereka ada sebut, apa pun yang terjadi mereka kena cari kau,” balas Katrina.

“Aku takut, Kyriel. Macamana kalau mereka datang semula?”

Kyriel menarik nafas dalam-dalam. Tangan kirinya dikepal-kepal.

“Mereka tak akan datang semula. Tolong jagakan Eddy untuk aku. Aku akan hubungi dia nanti,” ujar Kyriel. Dia mematikan talian sebelum sempat Katrina berkata apa-apa. Jarinya ligat memicit nombor telefon insan yang amat dibencinya ketika ini.

“Hello?” Suara seorang perempuan kedengaran di talian.

“Panggil mama aku.”

“Encik Kyriel? Encik di mana sekarang. Puas Puan Zarith cari encik,” tanya Hana.

“Panggil mama aku!” jerit Kyriel tanpa mengendahkan soalan Hana. Melalui telefonnya Kyriel mendengar suara Hana sedang bercakap dengan sesorang. Beberapa saat kemudian kedengaran suara Zarith Sofea di hujung talian.

“Kyriel? Mana kamu? Mama risau tahu tak?”

“Kenapa mama suruh orang pukul Eddy?” Jerkah Kyriel.

“Mama buat itu semua sebab nak cari kamu. Kamu hilangkan diri secara tiba-tiba, dan hanya Eddy yang tahu mana kamu berada. Mama dah tak ada cara lain lagi,” jawab Zarith Sofea tanpa rasa bersalah.

“Mama tak pernah terfikir ke yang saya sengaja hilangkan diri sebab tak mahu mama tahu di mana saya berada? Yang saya memang tak mahu jumpa mama?”

“Kamu anak mama. Mama berhak tahu pergerakkan kamu!”

“Saya cuma anak mama when it suits you! Kenapa sejak abang Nazary dah tak ada baru mama beriya-iya nak ambil tahu hal saya? Sebab dah tak ada orang lain lagi yang nak ikut telunjuk mama kan?! Sebab dah tak ada lembu yang boleh mama cucuk hidungnya, kan?”

“Kyriel Iskandar! Jaga bahasa kamu tu. Kamu sedang bercakap dengan mama kamu sekarang ni. Jangan kurang ajar!”

“Saya kurang ajar pun sebab mama tak pernah cuba nak mengajar saya! Papa saya hilangkan diri saat saya perlukan bimbingan dia. Mama pula terlalu sibuk nak puaskan hati datuk sampai mama lupakan anak sendiri. Jadi jangan salahkan saya kalau bersikap macam ni!” tempelak Kyriel Iskandar.

Zarith Sofea terkedu. Dia tidak menyangka Kyriel akan berkata begitu.

“Kyriel, mama...”

“Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari mama. Anggap aja ini amaran dari saya. Jangan ganggu Eddy atau mana-mana kawan saya lagi kalau mama nak saya balik semula ke UK. Kalau mama nak tahu sangat, saya sekarang tengah mencari papa. Dan saya akan balik semula ke UK bila urusan saya selesai. Kalau saya dengar lagi mama ganggu Eddy, saya akan hilangkan diri sekali lagi. Dan kali ini, percayalah, mama tak akan jumpa saya sampai bila-bila!”

3 comments:

Hanya Aku Dihatimu.. said...

seronoklah boyfren aku marah..he..he..teruslah menulis farah,semoga certa ni diterima oleh pembaca..

Farahusain said...

heheh...seronok pulak dia tgk org marah2 ek..

in_wired88 said...

bes la.. waitin for the next episode yg menyebabkan si kyriel menjadi dingin after 7 years