Sebaik sahaja Kyriel jauh darinya, Ilham segera mencapai telefon bimbitnya. Dia menekan butang panggilan. Beberapa ketika kemudian terdengar suara garau seorang lelaki di hujung talian.
“Apa lagi ni Ilham?”
“Abang Jo, lepas ni nak pergi mana pulak?” soal Ilham. Matanya meninjau-ninjau ke luar, melihat kelibat Kyriel yang sedang sibuk bertanya sesuatu kepada sekumpulan orang di bawah sebuah pokok.
“Mana la abang tahu. Kau yang bawa pelancong, bukan abang,” balas Johan geram.
“Ala, abang Jo. Tolonglah Ilham. Kan Ilham dah cakap tadi, pelancong yang ni lain sikit. Dia tak nak pergi tempat-tempat yang orang biasa pergi tu. Ilham dah tak tahu nak bawa dia pergi mana lagi dah ni. Tolonglah Ilham...” rayu Ilham.
Masuk kampung yang ini, sudah lapan buah kampung dia masuk. Semuanya kerana mengikut perintah Kyriel. Mujur mereka masih di Mukim Kuah, kawasan yang biasa dilalui Ilham. Apa yang merisaukan Ilham sekarang jika Kyriel mengajaknya ke tempat lain. Memang dia akan mati akal. Untuk mengaku pada Kyriel yang dia tidak arif tentang kawasan lain memang tak boleh dipertimbangkan. Dia tidak mahu mencari nahas. Jadi harapannya kini hanya pada Johan, majikannya di Cafe Helang.
Johan mengeluh di hujung talian. Dia sendiri pening mendengar tentang situasi yang dihadapi Ilham kali ini. Sudah lima kali Ilham menelfonnya hari ini. Semata-mata mahu bertanya di tentang kamung-kampung yang terdapat di sekitar Pekan Kuah yang mahu dikunjungi pelanggannya. Bila ditanya kenapa, Ilham tidak mahu bercakap panjang.
“Siapa sebenarnya yang kau bawak ni Ilham? Anak menteri ke sampai nak kena berahsia sangat?”
Ilham menoleh memandang Kyriel. Anak menteri ke dia ni? Kalau ikut penampilan memang ada gaya anak orang kaya. Ditambah pula dengan sikap Kyriel yang angkuh tak bertempat itu. Memang memenuhi ciri-ciri anak orang kaya. Arghh...pedulilah. Anak menteri atau tidak semua itu tak penting baginya.
“Entah. Ilham tak tahu dan tak minat nak ambil tahu. Yang penting sekarang ni Ilham nak habiskan tugas Ilham. Lepas ni Ilham nak bawa dia pergi mana lagi abang Jo?”
“Hmmm...kau bawa dia pergi Kampung Ket Log. Abang dengar kata situ pun ada bangsa lain yang tinggal,” saran Johan.
“Betul ke?”
“Agaknya lah. Abang pun tak pasti. Kau cuba ajelah.”
Ilham mengeluh panjang. Bab cuba mencuba ini yang paling dia tidak suka. Salah mencuba dia risau rahsia dia terbongkar. Dia ni nak cari siapa sebenarnya? Mat saleh mana yang dia nak cari? Teman wanita diakah?
“Oh, dia cari awek dialah ni ye?” tanya Johan tiba-tiba.
Ilham segera menekup mulut. Dia memukul muncung mulutnya berkali-kali. Macam mana boleh terlepas cakap ni?
“Err...Ilham agak aje bang. Tapi memang nampak macam dia nak cari orang. Siapa orangnya Ilham tak tahulah,” ujar Ilham. Dia perasan Kyriel asyik memegang sekeping gambar dan lelaki itu akan menunjukkan gambar itu kepada sesiapa yang dijumpainya. Hendak bertanya, dia teringkatkan syarat-syarat Kyriel tadi. Sudahnya dia hanya mendiamkan diri. Kalaulah Kyriel menunjukkan gambar itu kepadanya, mungkin lebih mudah kerjanya. Manalah tahu kalau-kalau dia mengenali atau pernah melihat orang yang ingin dicari lelaki itu.
“Kenapa kau tak tanya aje siapa yang dia nak cari. Mana tahu kita kenal, boleh juga kita tolong,” ujar Johan.
Ilham ketawa kecil. Macam tahu-tahu aje apa yang aku fikirkan.
“Masalahnya dia tak mahu tunjukkan pada Ilham, macamana nak tolong?”
“Laa, apasal pulak?”
“Entah. Dia dah cakap dengan Ilham tadi. Jangan persoalkan apa yang dia buat. Jadi, Ilham tak tanyalah.”
“Kau buat apa ni?” jerkah Kyriel yang tiba-tiba muncul di sebelahnya. Panggilan telefon segera dimatikan. Dia berdiri tegak memandang Kyriel yang nyata sedang marah. Mata lelaki itu mencerlung ke arahnya.
“Kau bercakap dengan siapa tadi?”
“Err...kawan.”
“Apa yang kau cakap dengan dia?”
“Err...tak ada apa-apa,” jawab Ilham dengan suara yang terketar-ketar.
“Cik Ilham Insyirah, aku paling benci penipu Jadi untuk kebaikan kau, baik kau cakap hal yang betul dengan aku. Apa yang kau cakapkan pada kawan kau tadi?” Kyriel cuba mengawal rasa marahnya. Dia yakin Ilham sedang bercerita tentang dirinya dengan kawanya tadi. Dia dengar dengan jelas ketika Ilham bercakap tentang syarat-syarat yang dikenakan pada Ilham tadi.
“Err, saya...” Ilham teragak-agak untuk menjawab. Kalau diikutkan memang dia ada bercerita dengan Johan. Cuma ceritanya itu bukanlah terlalu terperinci. Takkan aku cakap sikit pun tak boleh? Lagipun Abang Johan bukan kenal dia pun.
Melihat reaksi Ilham yang teragak-agak, Kyriel yakin anggapannya betul.
“Kau boleh balik. Aku tak perlukan khidmat kau lagi. Ambil duit ni dan jangan muncul depan aku lagi,” bentak Kyriel sambil mengeluarkan sejumlah wang dari dalam walletnya.
Dengan rasa marah dia pergi meninggalkan Ilham. Dia takut jika dia terus berada di situ Ilham akan menjadi mangsa panas barannya.
Ilham terkejut. Duit yang berada dalam tangannya dipandang lama. Dia tidak menyangka Kyriel akan marah begitu sekali. Besar sangatkah salah yang aku buat? Kalau ya pun, janganlah marah sampai macam tu sekali. Dengarlah dulu cerita aku. Ilham mula merasa tidak senang hati. Dia pergi mengejar Kyriel.
“Awak, tunggu! Dengar dulu penjelasan saya.”
Kyriel tidak mengendahkan panggilan Ilham. Dia terus berjalan.
“Awak, tunggulah,” panggil Ilham sekali lagi tetapi lelaki itu terus berjalan. Geram dengan sikap keras kepala Kyriel itu, Ilham terus menarik lengan lelaki itu.
“Kyriel Iskandar! Boleh tak awak kurangkan sikit keras kepala awak tu? Awak tahu tak perangai awak ni boleh buat orang sakit hati? Saya bukan minta nyawa awak pun. Saya cuma nak minta awak tunggu dan dengar penjelasan saya. Susah sangat ke?” Marah Ilham.
Kyriel terpempan. Selama ini belum pernah lagi sesiapa berani memarahinya atau meninggikan suara kepadanya selain mama, Eddy, Nazary dan datuknya. Perasaannya bercampur baur antara kagum dan marah. Dia kagum melihat keberanian Ilham yang tiba-tiba saja muncul dalam masa yang sama dia marah kerana gadis itu berani memarahinya. Wajah Ilham direnung tajam. Tangan gadis itu yang masih memegang lengannya ditolak kasar.
“Kau nak cakap apa?” soal Kyriel kasar.
“Saya tak nak duit ni,” ujar Ilham sambil menghulurkan wang yang diberi Kyriel tadi.
Kyriel hanya membatukan diri. Huluran Ilham dibiarkan tidak bersambut.
“Aku ulang sekali lagi, kau nak apa? Kalau tak ada apa-apa aku nak pergi.” Kyriel berjalan sedikit. Tanpa disedari automatik tangan Ilham menarik lengan lelaki itu sekali lagi, takut Kyriel akan benar-benar pergi.
“Yang kau ni dari tadi asyik nak pegang aku ni kenapa? Kau suka pada aku ke?” soal Kyriel selamba.
Menyedari keterlanjurannya, Ilham segera melepaskan pegangannya. Pipinya hangat menahan malu.
“Saya nak minta maaf.”
“Apa salah yang kau dah buat?” Sindir Kyriel.
“Saya mengaku saya berbual pasal awak dengan kawan saya tadi. Tapi saya tak cakap benda bukan-bukan pun. Saya cuma beritahu dia pasal kita ke kampung-kampung tu aje. Itupun sebab saya perlukan bantuan dia. Saya minta maaf sebab langgar syarat-syarat awak,” terang Ilham.
Dia memandang wajah Kyriel. Pandangan mereka saling bertaut. Melihat sinar mata Ilham yang jernih, Kyriel tahu gadis itu benar-benar ikhlas memohon maaf padanya. Entah kenapa saat pandangan mereka bertaut, hatinya berdebar kencang. Kenapa dengan aku ni?
“Saya betul-betul minta maaf. Kalau awak tak nak maafkan saya pun tak apa sebab saya tahu saya yang salah. Cuma tolong ambil semula duit ni. Saya tak boleh terima sebab saya tak buat kerja saya dengan betul,” pinta Ilham sekali lagi bila Kyriel dilihat hanya mendiamkan diri.
“Kalau aku maafkan kau, boleh kau janji kau tak akan langgar syarat aku lagi?” tanya Kyriel. Dalam waktu yang sama, ada sesuatu perasaan aneh yang dirasakan dalam hati. Kenapa semudah ini anginnya berubah? Dia sepatutnya masih marahkan gadis itu tetapi bila melihat wajah Ilham yang muram laju saja ayat itu keluar dari mulutnya. Kenapa dengan aku ni?
Wajah sugul Ilham tiba-tiba bertukar ceria bila mendengar kata-kata Kyriel. Nampaknya hati lelaki itu tidaklah sekeras mana.
“Ya. Saya janji saya akan ikut semua syarat awak tu,” balas Ilham sambil mengangkat tangan kanannya.
Kyriel hanya mengelengkan kepala melihat gelagat Ilham. Dia kemudian berpusing dan berjalan semula. Baru beberapa langkah dia berjalan, dia berhenti.
“Kau tercegat lagi dekat situ kenapa? Siapa yang nak bawak kereta buruk tu kalau kau masih berdiri dekat situ?”
Ilham menguntum senyum gembira. Yes, dia dah maafkan aku! Dia segera mendapatkan Kyriel.
“Terima kasih, awak,” kata Ilham.
“Untuk apa?”
“Sebab sudi maafkan saya.”
Kyriel hanya menjungkitkan bahunya. Malas mahu memanjangkan perkara itu lagi. Tiba-tba dia teringatkan sesuatu.
“Tadi kau cakap kau call kawan kau tu sebab perlukan bantuan dia. Bantuan apa?”
“Oh, saya cuma nak tanya dia pasal jalan nak ke kampung-kampung yang kita nak pergi nanti,” jawab Ilham laju.
Kyriel mula rasa pelik. “Kenapa kau nak tanya pada dia pulak? Kau tak tahu ke jalan nak ke tempat-tempat tu?”
“Saya tak berapa arif sangat. Abang Johan tu anak jati pulau ni, jadi semua selok belok pulau ni dia tahu. Sebab tu saya minta tolong dia.”
Langkah Kyriel terhenti. Perasaannya mula membara. “Kau pun anak jati pulau ni kan? Tak kan kau tak arif pasal selok belok tempat ni?” soal Kyriel.
Nada suara Kyriel sudah mula bertukar. Ilham menekup mulutnya. Ya Tuhan, aku dah terlepas cakap! Kerana terlalu gembira bila Kyriel memaafkan dirinya tadi, Ilham tidak sedar dia sudah membocorkan sendiri rahsianya.
“Ilham Insyirah? Care to explain?” Kyriel bersuara tenang. Tetapi Ilham tahu, ketenangan itu hanya nampak di luar sedangkan di dalamnya lelaki itu seperti gunung berapi yang hanya menunggu masa untuk memuntahkan larvanya. Ilham mula kecut perut. Mak Lang, tolong Ilham....
No comments:
Post a Comment