Kyriel beredar meninggalkan Ilham dan Noni. Kalau aku tahulah dia orangnya baik aku cari sendiri guide tu. Menyesal sungguh dia kerana meminta Noni membantunya mencari seseorang yang boleh membawa dia mengelilingi pulau ini untuk mencari papanya. Budak tak betul tu yang dicarinya? Apa dah tak ada orang lain ke kat Langkawi ni? Gumamnya dalam hati.
“Tunggu!” Ilham menjerit memanggil Kyriel Iskandar. Namun lelaki itu terus melangkah meninggalkan dia dan Noni yang termangu-manggu di sisinya.
“Kenapa ni Ilham? Korang dua orang kenal ke?” soal Noni. Dia tidak faham apa yang terjadi antara mereka berdua.
“Panjang ceritanya Kak. Nantilah Ilham cerita kemudian,” balas Ilham. Dia kemudian meninggalkan Noni dan berlari mengejar lelaki itu. Matanya melilau mencari kelibat Kyriel Iskandar yang sudah hilang dari pandangannya. Mana pulak dia ni pergi? Ilham mencari di kawasan hotel tetapi bayang lelaki itu tidak kelihatan. Isyy...pelik betul. Tak kan sekejap je dah hilang? Ilham berjalan keluar ke kawasan tempat letak kereta.
Tiba-tiba matanya ternampak orang yang dicarinya sedang berdiri di bawah sepohon pokok berhampiran dengan tempat dia meletakkan keretanya tadi. Ilham menarik nafas dalam-dalam. Dia membaca doa di dalam hati, berharap lelaki itu sudi melupakan apa yang terjadi semalam. Dia melangkah ke arah lelaki itu.
“Errr...Encik Kyriel Iskandar?” panggil Ilham lembut. Melihat cara lelaki itu memandangnya Ilham menjadi sedikit gerun. Amboi, garangnya. Macam nak makan orang!
“Encik nak cari guide kan?” Ilham tersenyum manis, cuba memancing hati lelaki itu agar segera lembut tetapi riak wajah lelaki itu masih tidak berubah. Ilham menelan liur. Macamana nak buat ni?
“Saya boleh jadi guide encik. Encik cakap aje mana nak pergi, saya akan bawakan,” ujar Ilham lagi.
“Aku nak orang yang kepala otaknya betul untuk jadi guide aku. Bukan orang macam kau!” balas lelaki itu kasar. Matanya merenung tajam wajah Ilham. Sayang, muka comel tapi kepala otak tak betul. Desisnya dalam hati.
Tak betul? Dia kata aku gila? Mulut dia ni memang lancang betullah! Ilham cuba menahan rasa. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia membalas kata-kata lelaki di hadapannya itu tetapi bila memikirkan dia memang memerlukan wang, dia mengajar hatinya bersabar. Sabar Ilham. Ingat, kau kena cari duit untuk beli ubat Azie.
“Saya minta maaf pasal hal semalam tu. Saya bukan selalu buat hal macam tu.”
“Buat hal yang mana satu? Melompat atas feri atau menampar lelaki?” soal Kyriel sinis. Mukanya masih terasa perit kesan ditampar Ilham semalam. Walaupun gadis itu kecil sahaja tetapi tamparannya agak berbisa. Padan muka aku pun. Siapa suruh cakap ikut sedap mulut aje.
“Macam nilah, kita lupakan aje hal tu boleh? Saya mengaku saya yang salah. Saya memang tak patut buat stunt macam tu semalam dan saya juga tak patut tampar muka awak. Saya minta maaf sekali lagi, ya?” Ilham menghulurkan tangannya. Kyriel serba salah mahu menyambut huluran tangan gadis itu. Sebahagian darinya mahu melupakan peristiwa semalam. Lagipun hal itu hanya perkara remeh sahaja. Tetapi ego lelakinya menghalang dia menerima permohonan maaf gadis itu.
Melihat lelaki itu tidak sudi memaafkannya, Ilham menarik semula huluran tangannya. Wajahnya bertukar muram. Besar sangatkah salah yang aku buat semalam sampai dia tidak mahu memaafkan aku? Hal lompat atas feri memang aku yang salah, tapi tamparan aku tu memang dia patut terima, kan? Siapa suruh dia libatkan nama ibu dan ayah?
“Kalau awak tak nak maafkan saya, tak apalah. Nanti saya minta Kak Noni carikan guide lain untuk awak,” ujar Ilham. Dia berpusing meninggalkan lelaki itu. Baru beberapa langkah dia berjalan, dia terdengar namanya dipanggil. Pantas dia menoleh semula ke arah lelaki itu.
“Mana kereta kau? Aku dah tak ada masa nak tunggu guide lain datang. Tapi ingat, jangan cuba nak buat kerja bodoh lagi atau aku tak akan lepaskan kau, faham?” Kyriel memberi amaran.
Ilham melemparkan senyuman pada lelaki itu. Yes! Memang dah rezeki aku ni.
****
Zarith Sofea merenung tajam wajah pembantunya, Amir. Tangannya digenggam kuat cuba menahan rasa marah yang kini muncul dalam hatinya. Berita yang dikhabarkan Amir betul-betul membuat darahnya mendidih.
“Dah hampir seminggu Tuan Kyriel tidak hadiri kelasnya, puan. Menurut sumber kita, Tuan Kyriel dipercayai dah pulang ke Malaysia. Saya dah periksa senarai penumpang dari UK dan nama Tuan Kyriel memang ada tersenarai dalam penerbangan beberapa hari lepas. Tapi selepas dia tiba di sini, kami dah tak dapat mencari dia.” Lapor Amir kepada majikannya.
“Dah seminggu tapi you masih tak jumpa dia? Hana, you dah tanya pada Eddy?” soal Zarith Sofea pada setiausahanya.
“Sudah, puan. Tapi Encik Eddy masih tak mahu beritahu saya apa-apa,” jawab Hana takut-takut. Dia gerun melihat wajah wanita di hadapannya yang sudah menyinga.
“Kerja mudah macam ni pun you all tak boleh buat? Apa besar sangatkah Malaysia ni sampai you all tak boleh cari dia?” tempelak Zarith Sofea.
Hana dan Amir saling berpandangan. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Mereka tahu, dalam keadaan yang macam ini lebih baik mereka berdiam diri daripada bercakap apa-apa yang boleh menaikkan lagi api kemarahan majikan mereka itu.
“I tak peduli apa cara sekalipun, I nak you cari Kyriel sampai dapat. Hana, keep on calling Eddy and ask him about Kyriel.” Zarith Sofea menyampaikan arahannya. Hana segera keluar dari bilik itu untuk menjalankan tugasnya.
“Amir, suruh orang-orang kita di UK cari Eddy. Kalau cara lembut tak boleh jalan, you all guna saja cara kasar. By hook or by crook, you have to find Kyriel!”
Amir menundukkan kepala tanda faham dengan arahan Zarith Sofea. Dia segera keluar meninggalkan Zarith Sofea berseorangan di dalam bilik.
Wanita berusia lewat 40-an itu bangun dari kerusinya. Dia bergerak ke arah cermin tingkap yang terletak di belakangnya. Pandangannya dilemparkan ke luar. Dari tingkat 26 bangunan pejabatnya itu dia dapat melihat dengan jelas pemandangan kota Kuala Lumpur. Dia terasa betapa berkuasanya dirinya bila melihat bangunan-bangunan kecil yang berada disekeliling Menara Empire Holdings.
“Mama tak akan izinkan kau ketepikan semua ini, Kyriel. Ini semua hak kamu. Kamu tak boleh mempersia-siakan pengorbanan mama selama ini. Apa cara sekalipun, kamu harus warisi semua ini. Nazary dah tak ada, hanya kau harapan mama.” Ada air jernih yang bergenang di mata wanita itu tatkala dia mengucapkan kata-kata itu.
“You masih tak jumpa Kyriel?” soal satu suara yang tiba-tiba muncul di belakang Zarith Sofea. Zarith Sofea menoleh. Wajah kawan baiknya, Mustakim dipandangnya sekilas sebelum pandangannya beralih semula ke luar.
“You tak cuba telefon Adam? Mana tahu dia tahu di mana Kyriel?” Mustakim memberi cadangan.
“Jangan you sebuat nama lelaki tak guna tu! Dia dah mati! Sejak dia buat keputusan nak tinggalkan kami semua, I dah anggap dia mati,” marah Zarith Sofea. Dia benar-benar membenci bekas suaminya itu. Hanya kerana sejumlah wang, lelaki yang dikahwini tapi restu bapanya itu sanggup meninggalkan mereka sekeluarga.
“Sorry. I tak bermaksud nak sakitkan hati you,” ujar Mustakim. Dia kesal kerana menyebut nama Adam Abdullah di depan Zarith Sofea. Dia tahu wanita di hadapannya itu sangat membenci lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa mulutnya laju saja menuturkan nama Adam tadi.
Zarith Sofea hanya diam membisu. Walaupun dia marah mendengar nama Adam disebut-sebut, tapi dia tahu dia tidak sepatutnya melempiaskan marahnya pada Mustakim. Lelaki itu terlalu baik. Sejak ditinggalkan suami, Mustakimlah yang sentiasa berada disampingnya. Membantu dirinya melawan kedegilan ayahnya, Datuk Khairuddin.
“I tak tahu apa Kyriel nak. I sedar hubungan kami berdua tak sebaik mana tapi I ingatkan lepas pemergian Nazary, kami akan rapat. Tapi makin teruk pula jadinya.” Zarith Sofea mengadu pada Mustakim.
“You tahu tak, dulu masa kami semua di UK, Kyriel tak pernah nak berenggang dengan I. Malah dia lebih rapat dengan I berbanding arwah Naz. Tapi sejak Adam tinggalkan kami semua, Kyriel mula jauhkan diri dari I. Dia macam bencikan sangat I ni. I sendiri tak tahu apa puncanya, Mus. Entah racun apa yang Adam dah serapkan dalam fikiran dia, I pun tak tahu.” Hati Zarith Sofea panas membara bila nama Adam Abdullah disebutnya.
Perasaan menyesal menyusup keseluruh jiwanya bila mengenangkan kedegilannya mengahwini Adam Abdullah, pelukis jalanan yang dikenali ketika dia melanjutkan pelajaran di UK. Walaupun ditentang hebat oleh ayahnya, Datuk Mahfuz, dia sanggup membelakangkan keluarga kononya kerana cinta. Dia tidak mengendahkan amaran ayahnya yang Adam mengahwini drinya hanya kerana harta dan wang ringgit. Namu kebenaran kata-kata ayahnya itu terserlah juga bila Adam meninggalkan mereka sekeluarga selepas dia memperolehi sejumlah wang dari Datuk Mahfuz. Dan sejak hari itu, dia membenci Adam Abdullah.
“Mungkin itu perasaan you aje, Sofea,” Suara lembut Mustakim mengejutkan Zarith Sofea dari kenangan lama.
“Tidak, Mus. I yakin, lelaki jahaman tu mesti dah buruk-burukkan I pada anak-anak I. Kalau tidak masakan mereka bersikap macam tu pada I? I tahu arwah Nazary pun bencikan I tapi dia pendamkan perasaan dia sebab rasa hormat dia pada I. Cuma Kyriel aja yang berani tunjukkan perasaan dia tu terang-terangan pada I!” tukas Zarith Sofea.
Mustakim hanya mendengar keluhan hati Zarith Sofea. Jauh disudut hatinya dia berasa kasihan dengan wanita yang dicintainya secara diam-diam itu. Dia ingin membantu tetapi dia tidak berdaya. Ada kebenaran dalam kata-kata Zarith Sofea. Siapa sahaja yang mengenali mereka sekeluarga pasti akan dapat merasai ‘kedinginan’ dalam hubungan wanita itu dengan anak-anaknya. Cuma bezanya Nazary masih mahu mendengar kata Zarith Sofea sebaliknya Kyriel Iskandar lebih suka memberontak dan mengingkari kata-kata mamanya. Mungkin betul kata Zarith Sofea. Adam Abdullah meracuni fikiran anak-anaknya sehingga mereka membenci ibu sendiri. Dan kalau benarlah telahan itu, Mustakim tidak akan melepaskan lelaki itu.
“You nak I tolong carikan Kyriel? I boleh minta kawan-kawan I di Bukit Aman jejaki dia,” tanya Mustakim. Zarith Sofea mengelengkan kepalanya.
“Tak apalah. I dah arahkan orang-orang I cari dia. Kalau dalam masa dua hari ni mereka masih tak jumpa dia, I akan hubungi you, okay?” Balas Zarith Sofea. Nada suaranya yang kedengaran keras tadi bertukar menjadi lembut. Hatinya terharu dengan kebaikan Mustakim walaupun dia pernah melukakan hati lelaki itu satu ketika dahulu. Maafkan I, Mus. Kalaulah dari dulu I dengar cakap ayah dan setuju berkahwin dengan you, mesti kita bahagia sekarang.
No comments:
Post a Comment