Selepas memberi salam, Ilham membaca wirid dan doa selepas solat. Dia tidak lupa menyedekahkan doa buat arwah ibu dan ayahnya. Semoga roh ibu dan ayah di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Amin. Telekung dikepala dibuka dan dilipat sebelum dia meletakkannya di atas meja kecil dihujung katil. Dia kemudian berjalan menuju ke pintu. Daun pintu diselak sedikit. Kepalanya dijengah ke luar. Kelibat mak langnya tidak kelihatan di ruang tamu. Dia memandang sekilas ke bilik di sebelah biliknya. Gelap je. Belum balik masjid lagi agaknya.
Ilham melangkah keluar dan menutup perlahan pintu biliknya. Dia berjalan menuju ke dapur. Almari kecil yang digunakan mereka untuk menyimpan makanan di buka. Lauk pauk yang di masak mak langnya tengahari tadi masih banyak lagi. Ilham mengeluarkan periuk berisi masak lemak labu dan diletakkan di atas dapur lalu dipanaskan lauk kegemarannya itu. Di tungku sebelah, dia meletakkan sebiji kuali. Lauk sambal tumis ikan bilis di dalam almari dikeluarkan lalu dipanaskan juga.
Sambil menunggu lauk-lauk itu panas, Ilham mengambil tiga biji pinggan makan lalu disusun di atas meja. Nasi di dalam rice cooker diceduk dan diisi ke dalam mangkuk besar. Kemudian dia mengambil mangkuk air basuh tangan dan diletakkan di atas meja. Api dapur dipadamkan Ilham bila lauk masak lemak labu dan sambal tumis ikan bilis sudah cukup panas. Dia menghidangkan semuanya di atas meja. Ilham tersenyum puas melihat hidangan di atas meja. Harap-harap sejuklah hati mak lang lepas ni.
Sejak dia sampai ke rumah petang tadi, mak langnya langsung tidak mahu bercakap dengan dirinya. Semuanya gara-gara kerana dia terlewat balik ke rumah. Sudah berkali-kali mak langnya berpesan agar segera pulang ke rumah selepas dia selesai menghantar pelancong-pelancong dari China yang menjadi pelanggannya sejak lima hari lalu. Ada tetamu yang harus ditemui Ilham petang ini. Sudah berhari-hari mak langnya mengingatkannya tentang temujanji mereka dengan ‛tetamu’ misteri mak lang. Tetapi kerana leka berbual-bual dengan Mazni, dia terlupa janjinya dengan mak lang. Dan akibatnya, mak langnya, Sakinah marah dan tidak mahu bertegur sapa dengannya.
Ilham menutup hidangan di atas meja dengan tudung saji. Dia melangkah menuju ke ruang tamu untuk menunggu kepulangan Sakinah. Dia baru sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi bila pintu bilik yang bertentangan dengan biliknya terbuka. Wajah adiknya, Azieqah menyapa pandangannya.
“Azie nak makan? Kakak dah siapkan kat dapur tu. Kakak sendukkan, ya?’ tanya Ilham lembut. Dia bangun dari kerusi tetapi suara kasar adiknya merencatkan niatnya.
“Aku belum nak mati lagi. Setakat senduk nasi tu, aku mampu buat sendiri lagi!”
Ilham duduk kembali. Matanya merenung sayu kelibat adiknya yang sudah menghilang ke dapur. Sampai bila kita nak macam ni, Azie? Ilham tidak tahu kenapa sejak ibu dan ayah mereka meninggal tiga tahun lalu, hubungan dia dan Azie menjadi teruk begini. Satu ketika dahulu, Azie dan Ilham mempunyai hubungan yang agak mesra walaupun kadang kala Azie bersikap kasar dengannya. Tetapi sewaktu itu Ilham tidak memperdulikan sangat sikap Azie yang kasar. Baginya itu adalah perkara biasa dalam hubungan adik beradik. Sementelah pula, keadaan kesihatan Azie yang tidak begitu memuaskan membuatkan Ilham tidak kisah jika dia selalu dimarah atau dibuli adiknya.
Tetapi semenjak ibu dan ayah mereka meninggal, sikap kasar adiknya yang berusia 16 tahun itu semakin menjadi-jadi. Azieqah tidak lagi mahu mendengar kata-katanya. Malah dia dianggap macam musuh oleh Azieqah. Apa salah kakak, Azie?
Beberapa ketika kemudian Azieqah muncul semula di ruang tamu. “Azie tak makan ke?” soal Ilham.
Tanpa memperdulikan soalan Ilham, Azieqah terus masuk ke dalam biliknya dan menghempas pintu. Ilham terkedu di kerusi. Air mata mula bergenang dikelopak mata tapi segera diseka apabila dia terdengar pintu rumah dibuka dari luar.
“Mak lang dah balik?”Ilham bangun dan menuju ke arah Sakinah. Beg berisi Al-Quran dan kain sembahyang di tangan Sakinah diambilnya lalu disimpan ke dalam kabinet kecil di tepi televisyen.
“Jom, Mak Lang. Ilham dah panaskan lauk. Nasi pun dan hidang. Kita makan ye?” ajak Ilham. Tangan Sakinah dicapai lalu ditarik menuju ke dapur. Sampai di dapur, Sakinah disuruh duduk sementara Ilham menyenduk nasi ke dalam pinggan.
“Ramai ke orang di masjid hari ni, Mak Lang?” tanya Ilham sambil tangannya ligat menyenduk nasi ke dalam pinggan.
Sakinah hanya memerhatikan tingkah laku Ilham. Hatinya yang marah petang tadi mulai sejuk bila melihat Ilham. Entah kenapa, marahnya pada anak itu tidak pernah lama.
“Ramailah juga. Malam ni Mak Som dari kampung sebelah buat tahlil untuk arwah suami dia.” balas Sakinah.
Ilham tersenyum gembira. “Mak Lang tak marah Ilham lagi?”. Lega hatinya bila Sakinah sudah mahu bercakap dengannya.
“Huh, kalau aku marah kat kamu lama-lama pun dapat apa?”
Ilham terkekeh-kekeh ketawa. Bahu Mak Langnya di peluk erat. Pipi wanita itu dicium manja.
“Inilah yang buat Ilham sayangggg sangat dekat Mak Lang ni.”
Sakinah tersenyum mendengar kata-kata Ilham. Anak saudaranya yang seorang ini memang pandai mengambil hatinya.
“Kalau kamu ikut aku pergi jumpa Cikgu Idris esok, lagi aku tak marah.” Ujar Sakinah. Ketawa Ilham terhenti bila dia mendengar nama pengetua sekolahnya dahulu disebut. Dia sudah dapat mengagak ke mana hala tuju perbualan ini. Pelukan di bahu Sakinah dilepaskan. Dia bergerak menuju ke kerusi bertentangan dengan Sakinah.
“Lama Cikgu Idris tunggu kamu petang tadi, Ilham. Kalau tak sebab dia ada janji dengan orang lain, mesti dia tunggu kamu sampai.”
“Semalam Mak Lang beritahu ada orang nak jumpa Ilham, Cikgu Idris ke orangnya?” tanya Ilham.
“Dah lama Cikgu Idris nak jumpa kamu. Dia ada bawa borang sambung belajar untuk kamu. Dia nak kamu sambung belajar lagi, Ilham.” Ujar Sakinah.
Ilham mendengus. Tak habis-habis nak suruh aku sambung belajar. Diaorang ni tak faham ke bila aku cakap aku tak nak?
“Mak Lang, Ilham tak nak belajar lagi. Kan dah banyak kali Ilham beritahu Mak Lang.” Sudah acapkali mereka bercakap tentang hal ini. Dan setiap kali hal ini dibangkitkan, jawapan Ilham tetap sama. Dia tidak berminat untuk sambung belajar!
“Keputusan peperiksaan kamu bagus. Kamu tu salah seorang pelajar terbaik kat daerah ni. Rugi kalau kamu tak nak sambung lagi, Ilham.” Sakinah cuba memujuk. Dia memang berharap sangat Ilham dapat menyambung pelajaran di universiti seperti anak tunggalnya, Ain.
“Mak Lang, tolonglah faham. Ilham dah kata tak nak, maknanya Ilham tak nak!” tegas Ilham.
“Habis tu kamu nak buat apa? Umur kamu muda lagi, tak kan kamu nak terus kerja dekat kedai si Jo tu? Atau kamu nak jadi pemandu pelancong tak berlesen tu sampai tua? Kenapa kamu nak sia-siakan hidup kamu macam ni Ilham?!” marah Sakinah.
“Siapa nak jaga Azie kalau Ilham pergi belajar? Siapa nak cari duit untuk beli ubat-ubat Azie kalau Ilham masuk universiti? Siapa nak bawa Azie pergi hospital kalau Ilham tak ada?” tukas Ilham. Bukan dia sengaja tidak mahu sambung belajar tetapi tanggungjawabbya terhadap Aziqah lebih penting dari segalanya.
“Lagipun, kalau Ilham sambung belajar, semuanya kena pakai duit Mak Lang. Nak beli kelengkapan, buku, bayar yuran. Mana Ilham ada duit untuk semua tu Mak Lang.” sambung Ilham.
“Biasiswa kan ada. Cikgu Idris boleh tolong dapatkan.”
“Ada beratus orang dapat keputusan lagi cemerlang dari Ilham, Mak Lang. Baik mereka bagi biasiswa tu pada budak-budak tu daripada Ilham.”
“Kalau tak dapat, aku ada. Aku boleh tanggung kamu belajar.” ujar Sakinah.
“Guna apa Mak Lang? Duit pencen arwah Pak Lang? Ilham tak nak. Duit tu hak Mak Lang dangan Kak Ain. Ilham tak nak.” Tegas Ilham.
“Tapi Ilham...”
“Sudahlah, Mak Lang. Ilham tak nak cakap lagi hal ni.” Ilham bangun dan berjalan ke arah peti sejuk. Dia membuka pintu peti ais. Dia ingin mengeluarkan botol air tetapi ada sesuatu yang tersorok di belakang pasu di atas peti ais menarik perhatianya. Dia mengalihkan pasu itu. Sekeping sampul surat berwarna coklat yang tersorok dibelakang pasu itu dicapainya. Muka hadapan sampul surat yang kosong menarik minat Ilham. Ilham membuka penutup sampul surat itu lalu mengeluarkan isinya. Bulat mata Ilham memandang apa yang tertulis di atas dokumen itu.
“Ini apa, Mak Lang?” soal Ilham perlahan. Dokumen di dalam sampul itu diletakkan dihadapan Mak Langnya. Sakinah terkejut bila terpadang salinan dokumen jual beli rumah yang ditandatanganinya di bank pagi tadi berada di tangan Ilham. Seingatnya dia menyimpan dokumen itu di dalam biliknya. Siapa pula yang keluarkan dan letakkanya di atas peti ais? Azieqah kah?
“Ini apa, Mak Lang?” ulang Ilham. Bagai hendak luruh jantungnya bila ternampak dokumen itu tadi.
Sakinah tahu dia sudah tiada alasan untuk diberikan kepada Ilham. Lebih baik dia berterus-terang daripada dia berterusan merahsiakan hal ini.
“Mak Lang dah cadang nak jual rumah ni untuk dapatkan duit untuk kamu dan Azie.” jelas Sakinah.
Ilham terduduk mendengar kata-kata Sakinah. “Kenapa Mak Lang? Kenapa Mak Lang buat macam ni?” Ilham bertanya pada Sakinah perlahan.
“Aku tak sanggup tengok kamu macam ni Ilham. Siang malam bekerja cari duit untuk beli ubat Azie. Kamu buat macam-macam kerja nak kumpul duit untuk pembedahan Azie sampai hal diri sendiri kamu abaikan. Kamu sanggup tak nak sambung belajar sebab nak jaga adik kamu tu. Mak Lang dah tak sanggup tengok kamu susah macam ni Ilham. Kalau ibu dan ayah kamu hidup lagi, mesti diaorang menangis tengok kamu jadi macam ni.” Balas Sakinah. Air matanya sudah mula bergenang di kelopak mata.
“Ini memang dah tanggungjawab Ilham, Mak Lang. Ilham dan janji pada arwah ibu yang Ilham akan jaga Azie walau apa pun terjadi. Ilham yakin, Ibu dan ayah mesti faham dengan tindakan Ilham ni.”
“Tapi ibu dan ayah kamu tak suruh kamu buat semua ni. Kalau nak diikutkan, ini bukan tangunggjawab kamu pun. kamu dengan Azie....”
“Mak Lang, Ilham dah janji pada ibu dan ayah dan Ilham akan tunaikan janji itu. Itu saja caranya Ilham dapat balas budi baik mereka.” Pantas Ilham memotong kata-kata Sakinah.
“Tapi Ilham...”
“Sudahlah Mak Lang. Ilham tak nak dengar lagi. Esok, Ilham minta Mak Lang pergi semula ke bank dan batalkan urusan ini. Ilham tak nak Mak Lang jual rumah peninggalan arwah Pak Lang ini untuk kami adik beradik. Pak Lang buat rumah ni dulu untuk Mak Lang dan Kak Ain. Mesti Pak Lang kecewa kalau dia tahu Mak Lang buat macam ni. Ibu dan ayah pun tak akan gembira dengan tindakan Mak Lang ni. Dan Mak Lang kena fikirkan Kak Ain juga. Ini harta Kak Ain, Mak Lang. Kalaulah dia tahu Mak Lang buat macam ni, mesti dia sedih.”
Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Nafasnya ditarik dalam sebelum dia menyambung kata-katanya. “Soal kami adik beradik, Mak Lang janganlah risau. Selagi kudrat Ilham masih ada, Ilham akan terus jaga Azie. Ilham akan cari jalan untuk dapatkan duit bagi pembedahan Azie. Mak Lang jangan buat macam ni lagi. Kalau betul Mak Lang sayangkan kami, tolonglah biarkan Ilham usaha sendiri. Mak Lang sudi jaga kami ni pun dah cukup bermakna bagi kami. Mak Lang tak perlu buat semua ni. Kalau...kalau Ilham dapat tahu Mak Lang buat macam ni lagi, Ilham akan bawa Azie pergi dari sini...”
Sakinah terkedu. Dia tidak menyangka Ilham akan berkata begitu. Dia menanggis sendirian bila mengenangkan pengorbanan yang dibuat Ilham buat Azie. Salmi, Anuar, bertuah kalian berdua dapat anak macam Ilham ni. Tapi patutkah dia tanggung semua ini? Kenapalah kau bebankan Ilham dengan semua ni Salmi? Kenapalah kau suruh dia berjanji dulu? Kerana janji pada arwah adiknya, Ilham sanggup mengorbankan kebahagiannya sendiri. Sampai bila kamu nak menderita macam ni Ilham?
No comments:
Post a Comment