PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Saturday, September 5, 2009

Bab 15



Macam lipas kudung dia bergerak pagi itu. Sekejap dia ke sana. Sekejap dia ke sini. Semuanya untuk meredakan rasa gemuruh yang sedang bertamu dalam hatinya. Ilham berdiri mengadap cermin di dalam biliknya. Wajahnya nampak tidak bermaya. Ada gelung hitam berlingkar di bawah matanya. Dia mencapai bedak dan menyapunya ke bawah mata. Aduh! Tak mahu kurang pula tu. Dah macam mata panda rupanya! Ngomel Ilham seorang diri.

Dia memerhatikan penampilannya hari ini. Sama seperti hari sebelumnya. Hari ini dia juga mengenakan seluar jeans lusuh yang dipadankan dengan sehelai blaus berwarna merah jambu. Sengaja dia memilih warna yang lembut dengan harapan hati Kyriel akan menjadi lembut bila melihatnya nanti.

Setelah berpuas hati dengan penampilan dirinya, Ilham segera keluar dari bilik. Kebiasaanya Ilham akan menuju ke dapur untuk bersaparan dahulu sebelum keluar tetapi tidak seperti pagi-pagi yang lain, hari ini Ilham segera menuju ke arah pintu keluar. Dia mencapai kasutnya. Dia sedang menyarung kasut ke kaki bila mendengar namanya dipanggil Sakinah.

“Eh, Ilham tak sarapan dulu ke?”

“Taklah, Mak Lang. Ilham dah lambat ni.”

“Kalau iya pun, minumlah sikit.”

“Tak apalah Mak Lang. Nanti Ilham beli aje Milo dekat kedai nanti, ya? Ilham pergi dulu ya Mak Lang,” ujar Ilham sambil mencapai tangan kanan Sakinah lalu disalam dan dikucup.

“Membazir aje mee goreng yang Mak Lang buat tu. Kamu tak sarapan, Azie pun tak nak sarapan. Nampak gayanya kenyang lagilah jiran sebelah rumah kita tu hari ni,” keluh Sakinah. Memang menjadi kelazimannya jika ada makanan yang berlebihan, dia akan sedekahkan pada jiran-jirannya.

“Azie tak sarapan? Dia pergi sekolah perut kosong aje?”

“Iya. Puas Mak Lang pujuk suruh makan tadi tapi dia tak nak. Katanya tak lalu makan. Malam tadi pun dia tak makan malam. Mak Lang buatkan dia susu panas dan bagi dia roti aje malam tadi. Itu pun sekeping aja dia makan.”

Ilham mula rasa tidak sedap hati. Selalunya Azie cuma berperangai seperti itu jika badannya kurang sihat.

“Dia tak sihat ke Mak Lang?” tanya Ilham.

“Tengok dari gaya macam tak berapa sihat. Muka dia pucat sikit pagi tadi. Tapi bila Mak Lang tanya dia kata dia sihat. Dia cakap dia tak cukup tidur aje malam tadi sebab mengulangkaji. Mak Lang nak tanya lebih-lebih pun takut dia melenting pulak. Kau tahu ajelah perangai adik kau yang satu tu,” balas Sakina.

“Tak apalah Mak Lang. Nanti masa dia rehat nanti saya pergi jenguk dia sekejap,” ujar Ilham.

“Dah...dah...tak payah kamu pergi. Nanti naik pulak angin dia. Dia dengan kamu tu bukan boleh bertemu muka. Nanti tak fasal-fasal dia marah kamu pula. Biar Mak Lang aje yang pergi nanti. Kalau ada apa-apa nanti Mak Lang telefon kamu.”

Ilham mengangguk perlahan. Walaupun hatinya rasa kurang senang kerana tidak dapat melihat sendiri keadaan adiknya, tetapi kata-kata Sakina ada benarnya. Aziqah memang tidak suka jika Ilham datang menemuinya di sekolah. Pernah sekali dulu ketika Azie baru sahaja keluar dari hospital, Ilham ke sekolah dengan niat mahu menemani adiknya tetapi akhirnya dia dimarah dan diherdik Azie di depan rakan-rakanya. Lebih baik dia biarkan Mak Langnya saja yang menjenguk Azie. Lagipun dia punya tugas lain ketika ini. Memujuk Kyriel Iskandar dan berharap lelaki itu sudi memaafkan dirinya!
***
“Saya nak sewa bilik itu. Nama saya Nazary Ikhwan. Tengahari nanti saya akan check-in,” ujar Kyriel Iskandar melalui telefon. Sambil menunggu jawapan dari hujung talian, tangannya ligat memasukkan pakaianya ke dalam beg. Dia mesti keluar dari hotel yang didudukinya hari ini. Walaupun dia tidak tahu samada mamanya dapat mengesannya di sini, tetapi dia tidak mahu mengambil sebarang risiko dijumpai mamanya. Kyriel cukup kenal Zarith Sofea. Bukan perkara yang sukar bagi mamanya untuk menjejaki dirinya. Wanita itu punya 1000 macam cara untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya termasuklah menggunakan cara yang kotor.

Semalam dalam amarahnya dia telah memberitahu Zarith Sofea apa yang sebenarnya sedang dia lakukan. Kyriel tidak tahu samada wanita itu tahu dia sebenarnya berada di Langkawi. Dia cuma memberitahu mamanya yang dia sedang mencari papanya. Andai kata Zarith Sofea tahu selama ini di mana papanya berada, pasti dia akan datang mencari Kyriel dan jika Zarith Sofea tidak tahu sekalipun di mana Adam Abdullah berada Kyriel yakin tidak susah bagi mamanya mendapatkan maklumat itu. Sebab itu dia harus keluar dari hotel ini dan duduk menetap di motel bertaraf 2 bintang sahaja. Sengaja dia menempah bilik di bawah nama arwah abangnya Nazary Ikhwan. Dia tahu mamanya amat pentingkan status dan pangkat. Tidak mungkin dia akan ’mencemar duli’ mencarinya di motel murahan.

Setelah mendapat jawapan yang diinginkan, Kyriel memutuskan panggilan. Dia mencapai beg yang telah siap dikemas lalu keluar dari bilik. Di kaunter receptionist Kyriel segera menguruskan urusan check-out. Usai segala urusan, Kyriel berjalan pantas menuju ke pintu keluar namun langkahnya terhenti bila mendengar namanya dipanggil. Kyriel menoleh ke arah suara yang menyeru namanya itu.

“Awak nak ke mana?”

Tanpa mengendahkan soalan itu, dia meneruskan langkahnya. Panggilan gadis di belakangnya tidak dihiraukan.

“Encik Kyriel, please. Dengarlah penjelasan saya dulu...” rayu Ilham. Dia cuba mengejar Kyriel yang makin cepat langkahnya.

“Encik Kyriel....” panggil Ilham lagi.

“Not now Ilham. Aku nak cepat!”

“Please...saya tak bemaksud pun nak tipu awak.” Ilham cuba merayu. Dia cuba menyaingi langkah Kyriel yang semakin hampir dengan tempat letak kereta.

“Aku cakap bukan sekarang!” Tengking Kyriel. Matanya meliar memandang kawasan sekeliling memerhatikan mana-mana teksi atau kerata sewa yang ada di kawasan itu.

Ilham yang terkejut kerana ditengking terdiam kaku. Dia meneguk air liur yang terasa kesat ditekak. Dia sangkakan dia boleh menerima kemarahan lelaki itu tetapi saat Kyriel mula meninggikan suara kepadanya hilang segala keberanian yang dikumpul tadi. Ilham tidak tahu kenapa bila berhadapan dengan lelaki itu dia seolah-olah menjadi seorang penakut sedangkan selama ini dia berani menghadapi apa sahaja. Ada apa dengan lelaki itu sehingga dia menjadi begini?

Tiba-tiba wajah Kyriel berubah menjadi panik. Sepantas kilat dia merenggut tangan Ilham dan menarik gadis itu ke belakang sebuah van yang ada disebelah mereka. Disebalik van itu, Kyriel cuba mencuri pandang ke arah sebuah kereta berwarna hitam yang berhenti betul-betul di hadapan pintu masuk hotel. Kelihatan beberapa orang lelaki keluar dari kereta Toyota hitam itu. Kyriel kenal salah seorang daripada mereka berempat. “Damn it! Selama ini memang dia tahu! Dia memang tahu!”

Disebelahnya, Ilham dapat mendengar Kyriel menyumpah seranah seseorang. Ilham memandang Kyriel hairan. Siapa yang memang tahu selama ni? Tahu apa?

“Mana kereta kau?” soal Kyriel tiba-tiba.

“Hah?”

“Kereta kau kat mana?” ulangnya lagi. Ilham menunjukkan dengan jari tempat keretanya di parkir. Tanpa berkata apa-apa, Kyriel menarik tangannya menuju ke arah yang ditunjukkan.

“Kunci kereta?”

Ilham menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan kunci lalu diserahkan pada Kyriel.

“Masuk.” Perintah Kyriel.

“Apa?”

“Aku kata masuk!” Ulang Kyriel keras. Ilham mula rasa kurang sabar dengan sikap Kyriel. Siapa dia nak mengarahkan aku ni?

“Saya tak nak!”

Kyriel melepaskan keluhan berat. Dia tidak ada masa dengan semua ini. Yang penting sekarang adalah menjauhkan diri dari tempat itu sebelum orang-orang suruhan mamanya dapat melihatnya di situ.

“Masuk ke dalam Ilham!” Arahnya sekali lagi.

“Tak nak. Saya tak akan masuk selagi awak tak beritahu saya kenapa dan ke mana awak nak pergi!”

Kyriel tidak menjawab soalan-soalan Ilham sebaliknya dia mencengkam kuat lengan gadis itu dan diheret tubuh kecil Ilham ke tempat duduk dibelah kerusi pemandu. Ilham mula berang bila diperlakukan begitu. Dengan segala kekuatan yang dia ada, dia merengut lengannya dari cengkaman Kyriel. Kunci kereta di tangan Kyriel dirampas. Tubuh lelaki itu ditolak kasar. Kyriel yang terkejut dengan tindakan Ilham hilang pertimbangan hingga membuatkan dia terdorong ke belakang.

Kedua-dua mereka saling berpandangan. Wajah Ilham yang merah menahan marah ditenung Kyriel dalam. Wajah itu nampak comel dimatanya ketika itu. Tiba-tiba ada getaran hebat dirasakan dalam hatinya. Getaran yang sama dirasainya Kyriel setiap kali matanya bertaut dengan pandangan Ilham. Tuhan, kenapa dengan aku ni?

“Hanya sebab saya ada buat sesuatu yang awak tak suka, tak bermakna awak ada hak nak layan saya ikut suka hati awak aje. Saya bukannya anak patung atau robot yang awak boleh heret dan perintah macam itu aje. Saya ni manusia. Ada hati dan perasaan!” ujar Ilham.

Mendengar ucapan yang keluar dari mulut Ilham, timbul rasa bersalah dalam dirinya kerana bertindak kasar pada Ilham tadi.

“Ilham, aku....” kata-kata Kyriel mati di situ bila matanya ternampak orang-orang suruhan mamanya keluar dari lobi hotel. Dia mengetap bibir menahan rasa geram dan panik yang sedang dirasainya. Dia perlu pergi segera dari kawasan ini sebelum mereka dapat melihatnya. Bahu Ilham dipegang. Kali ini pegangannya tidak sekasar tadi.

“Dengar sini Ilham. Kita kena pergi dari sini sekarang. Jauh dari sini. Aku janji, sebaik sahaja kita jauh dari tempat ni, aku akan jawab semua soalan kau,” ujar Kyriel lembut. Sesekali mata Kyriel akan memandang ke arah lelaki-lelaki yang sedang berkumpul di depan hotel itu.

Ilham tersentak. Ini baru pertama kali lelaki itu becakap dengan nada suara yang begitu dengannya. Wajah lelaki itu nampak jelas seperti orang yang sedang kerisauan.

“Please Ilham, kita kena pergi sekarang!” Dari ekor matanya Ilham nampak kumpulan lelaki-lelaki itu sudah mula berpecah dan salah seorang dari mereka berjalan menuju ke arah mereka. Walaupun banyak perkara yang ingin ditanya Ilham, tapi bila melihat riak muka Kyriel yang tidak menentu itu, dia mengunci bibirnya. Kunci kereta di tangannya diserahkan semula pada Kyriel. Ilham kemudian segera masuk ke dalam kereta.

Tanpa membuang masa, Kyriel bergegas masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan dan tanpa menoleh ke belakang dia menekan minyak dan selaju yang mungkin dia memandu jauh meninggalkan Awana Porto Malai.

“Ke mana?” soal Kyriel selepas beberapa ketika. Matanya sekali sekala memandang ke belakang melalui cermin kereta, takut-takut orang-orang suruhan mamanya ada mengekori mereka.

“Saya tak tahu,” balas Ilham.

“Awak nak ke tempat yang macam mana?” Soal Ilham pula.

“Aku tak kisah asalkan lelaki-lelaki tadi tu tak jumpa kita.”

“Siapa mereka tu?” tanya Ilham ingin tahu. Kyriel memegang kuat stereng kereta sambil mengeluh.

“Orang-orang yang patut kita elakkan.”

“Saya tak faham. Apa maksud awak?”

Belum sempat Kyriel menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nombor yang tertera diskrin, wajah Kyriel bertukar garang. Tanpa apa-apa amaran, dia memberhentikan kereta secara mengejut di tepi jalan.

“Macam mana mama tahu saya di Langkawi?” soal Kyriel pada si pemanggil.

“Kamu di mana sekarang Kyriel?” soal Zarith Sofea pula.

“Saya tanya macamana mama tahu saya di Langkawi?” jerit Kyriel. Ilham di sebelahnya mula merasa takut. Apa halnya ni? Soalnya dalam hati.

“Itu semua tak penting. Yang penting sekarang mama nak kamu balik ke KL sekarang!”

“Tak penting kata mama? Semalam saya cuma beritahu saya nak cari papa dan hari ni tiba-tiba aje orang-orang mama muncul di sini. Maknanya selama ini mama memang tahu papa ada di sinikan? Kenapa setiap kali saya tanya mama, mama beritahu saya papa dah balik ke UK? Bila saya macam orang bodoh cuba cari papa di UK, tak pernah sekali pun mama beritahu saya hal yang sebenarnya? Kenapa mama? Kenapa?!” bentak Kyriel.

“Mama buat semua ni untuk kebaikan kamu,Kyriel. Tak ada gunanya kamu jumpa lelaki tak guna tu!” balas Zarith Sofea.

“Mama tak ada hak nak rahsiakan semua ni dari saya. Itu papa saya. Biar saya yang putuskan samada berguna atau tidak untuk saya berjumpa dengan papa!” tukas Kyriel.

“Selepas apa yang dia dah buat pada kita sekeluarga, dia tak layak lagi jadi papa kamu!”

“Apa? Apa yang papa dah buat pada kita semua mama? Mama tak pernah nak beritahu Kyriel. Setiap kali saya tanya, mama hanya diam...”

“Mama diam sebab mama tak mahu kamu terluka macam mama...”celah Zarith Sofea perlahan.

Kyriel melepaskan keluhan panjang. “Please mama, tell me everything,” pinta Kyriel separuh merayu.

“Not now. Sekarang mama mahu Kyriel balik ke sini. Jangan jumpa lelaki itu Kyriel,” lembut wanita itu merayu.

Kyriel mendengus geram. Apa yang papa dah lakukan sampai begitu sekali mamanya mahu berahsia?

“No. Kalau mama tak mahu cerita pada saya hal yang sebenarnya, saya akan tanya sendiri pada papa!”

***
Zarith Sofea menghempaskan telefon ke atas meja. Dia benar-benar berang dengan kedegilan Kyriel. Anak yang satu itu tidak sudah-sudah menyakitkan hatinya. Kenapalah kau degil begini Kyriel? Tak nampakkah kau mama lakukan semua ini sebab mama mahu melindungi kamu? Kebenaran yang kau cari itu akan menyakitkan hati kau Kyriel. Cukuplah mama saja yang terluka, mama tak mahu kamu juga begitu. Rintih Zarith Sofea dalam hati. Matanya mula berkaca bila terkenangkan semua yang berlaku antara dia dan bekas suaminya Adam Abdullah.

“Za...” suara Mustakim mengejutkannya dari lamunannya. Segera dia menyeka air mata yang mula bergenang ditubir matanya.

“You dah jumpa mana lelaki tu tinggal?” tanya Zarith Sofea. Dia telah meminta bantuan Mustakim mencari tempat tinggal Adam Abdullah di Langkawi. Zarith Sofea ada alamat terakhir bekas suaminya itu tetapi menurut maklumat orang-orangnya di Langkawi, Adam Abdullah sudah tidak menetap di situ lagi. Lelaki itu sudah berpindah lama dulu.

Wajah Mustakim nampak sugul. Menyangkakan Mustakim masih belum mendapat maklumat yang dikehendaki, Zarith Sofea segera mencapai telefon di atas meja. Dia mahu menghubungi orang-orangnya di Langkawi dan mengarahkan mereka menggandakan usaha menjejaki Adam dan Kyriel.

“Za, I rasa baik you biarkan Kyriel di sana.”

“Apa?! Tidak Mus. Apa pun yang terjadi, I tak akan biarkan anak I jumpa lelaki tu!” tempelak Zarith Sofea. Mustakim berjalan menghampiri meja Zarith Soefa. Tangannya menekan butang merah di atas telefon. Zarith Sofea memandangnya marah bila Mustakim mematikan panggilan telefonnya.

“Mus, you...” apa pun yang ingin dikatakan Zarith Sofia mati begitu sahaja bila jari telunjuk Mustakim melekap ke bibirnya.

“Jangan risau, Za. Kyriel tak akan jumpa Adam. You atau orang-orang you pun tak akan dapat jumpa dia. No one will find him, Zarith,” ujar Mustakim perlahan. Kertas yang dipegang ditangannya sedari tadi diberikan kepada Zarith Sofea.

“Rahsia yang you nak rahsiakan dari Adam tu akan terus tersimpan jadi rahsia, Za. Tiada siapa yang akan tahu selain you dan....” Mustakim tidak jadi menghabiskan kata-katanya. Zarith Sofea dipandangnya dengan perasaan simpati. Wajah wanita itu yang selama ini nampak tegas nampak begitu rapuh sekali waktu ini.

Tangan Zarith Sofea menggeletar menahan rasa. Perkataan-perkataan yang tertulis di atas kertas ditangannya itu dibaca berulang kali. Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya gugur juga membasahi pipinya. “Adam...” hanya itu yang mampu terbit di bibirnya sebelum tubuhnya terkulai jatuh dalam pelukan Mustakim.