PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Tuesday, August 14, 2012

Bab 17


Kereta yang dipandu Ilham berhenti di hadapan sebuah rumah sederhana besar tidak jauh dari pantai yang mereka kunjungi tadi. Belum sempat Kyriel bertanya apa-apa Ilham sudah melompat keluar dari perut kereta.

 “Awak tunggu saya sekejap, ya.”

Ilham terus berjalan menuju ke rumah yang tidak berpagar itu. Dari dalam kereta Kyriel melihat Ilham mengetuk pintu rumah itu bertalu-talu. Beberapa ketika kemudian Kyriel nampak seorang lelaki yang sedang terpisat-pisat muncul di muka pintu. Ilham berkata sesuatu pada lelaki itu yang membuatkan lelaki itu nampak kurang senang. Entah apa yang dikatakan Ilham, dia sendiri tidak tahu. Malah dia bertambah hairan melihat lelaki itu memandang tepat ke arahnya.

Lelaki itu dilihat mengeleng-gelengkan kepalanya pada Ilham. Dia tersentak bila melihat Ilham menarik tangan lelaki itu. Dan darahnya tersirap bila melihat lelaki itu selamba meletakkan tapak tangannya di atas tangan Ilham. Lagaknya seperti Ilham sedang memujuk lelaki itu melakukan sesuatu yang tidak diingininya.

Kyriel mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Dia sendiri tidak tahu kenapa tetapi hatinya menjadi kurang senang melihat gelagat Ilham yang nampak agak mesra dengan lelaki itu. Siapa lelaki itu? Teman lelakinya kah? Mungkin juga ya jika dilihat pada telatah mereka berdua. Tapi tidakkah Ilham terlalu muda untuk lelaki itu? Lelaki itu tidaklah terlalu tua tapi dia nampak agak dewasa untuk gadis seperti Ilham. Arghhh...mungkin saudara dia. Kata Kyriel dalam hati, cuba menyedapkan hatinya sendiri.

“Okay. Semuanya settle. Sekejap lagi kita boleh mulakan misi kita,” ujar Ilham yang tiba-tiba muncul di sisinya. Kyriel mengurut dadanya yang sedikit terkejut dengan kehadiran Ilham secara mengejut. Macam hantu je dia ni!

“Eh, kenapa awak urut dada ni? Awak terkejut, eh?” Ilham ketawa kecil.

“Mana ada. Panaslah!” Balas Kyriel. Ketawa Ilham pecah bila melihat air muka Kyriel yang merah padam. Sejak peristiwa di pantai tadi hilang sudah rasa gerun Ilham pada lelaki dis ebelahnya. Masih terngiang-ngiang lagi suara lembut lelaki itu merayu agar dia jangan pergi tadi. Kini Ilham sedar hati lelaki itu bukanlah sekeras yang disangka, cuma keadaan sekelilingnya sahaja yang membuatkan lelaki itu dingin.

“Okay...okay...saya minta maaf. Jangan marah, ya?” Ujar Ilham bila melihat wajah Kyriel yang masam. Kyriel tidak mengendahkan Ilham. Dia baru berura-ura mahu menutup cermin kereta tetapi terhenti bila ternampak kelibat lelaki yang ditemui Ilham tadi keluar dari rumah. Lelaki yang memakai jeans lusuh berwarna biru dengan t-shirt warna putih itu dilihat sedang menyarung kasut.

“Siapa dia tu?” Soal Kyriel.

“Orang yang akan tolong kita cari papa awak.”

“Apa? Ilham, aku dah cakap aku tak nak orang lain tahu pasal benda ni,” ujar Kyriel sedikit keras.

“Dan awak juga cakap yang awak percayakan saya. Jadi saya minta awak percayakan saya dalam hal ini,” balas Ilham. Kyriel terdiam. Dalam hati dia mula mempersoalkan keputusannya untuk mempercayai Ilham sebentar tadi. Betulkah tindakannya ini?

“Awak, saya faham kenapa awak tak nak orang lain tahu mengenai hal ini. Tapi dalam situasi sekarang kita dah tak banyak pilihan. Awak perlu cari papa awak secepat mungkin sebelum orang-orang mama awak jumpa awak. Awak tak ada masa untuk cari guide lain dan saya tak berapa arif tentang pulau ini. Hanya dia sahaja orang yang boleh bantu kita. Percayalah Kyriel, Abang Johan tak akan beritahu orang lain pasal hal ini. Saya dah kenal dia lama dan saya percayakan dia. Jadi saya minta awak pun boleh buat macam tu, please?” Pujuk Ilham.

Kyriel masih lagi berbelah bagi. Lelaki yang dipanggil Johan itu makin menghampiri mereka. Dia memandang ke arah Ilham. Gadis itu nampak ikhlas di matanya. Aku percayakan kau. Tiga perkataan yang dilafazkan tadi muncul semula dikepalanya. Dia menarik nafas dalam-dalam.

“Baiklah. Tapi ingat, aku buat semua ni sebab percayakan kau. So don’t blew it, ok?" Kata-kata Kyriel yang berbaur amaran itu ditelan Ilham. Lelaki itu belum dapat mempercayainya sepenuh hati. Entah apalah yang pernah dialami lelaki itu sehingga sukar sekali dia mempercayai orang lain. Nampaknya kini dia punya dua misi yang perlu disempurnakannya. Membantu lelaki itu mencari papanya dan mengajar Kyriel Iskandar untuk mempercayai orang lain. Dan Ilham dapat merasakan tugas yang kedua itu lebih sukar untuk dilaksanakan.

Bab 16


Ilham tunduk mengutip cengkerang-cengkerang yang bertaburan di atas pasir pantai. Sesekali matanya mencuri pandang ke arah Kyriel yang duduk termenung di bawah pokok berhampiran. Sudah hampir setengah jam mereka berada di situ. Sejak mereka sampai tadi beginilah situasi mereka. Kyriel menonong menuju ke arah pokok itu sebaik sahaja enjin kereta dimatikan. Ilham yang mulanya mahu mengikut Kyriel melupakan niatnya bila melihat wajah Kyriel yang keruh.

Dia tahu lelaki itu sedang marah dan dia tidak mahu dekat dengan Kyriel bila mood lelaki itu begitu. Dua hari bersama Kyriel sudah cukup untuk Ilham memahami perangai baran lelaki itu. Dia tidak mahu menjadi mangsa amarah lelaki itu. Kecut perutnya mengenangkan nasib telefon bimbit Kyriel tadi. Lepas dia mengamuk dengan orang yang di panggil ‘mama’ tadi, telefon bimbitnya terus dicampak keluar dari kereta.

Kesian telefon tu. Tak pasal-pasal bersepai. Dia ni pun satu, kalau iya pun marah yang telefon tu dicampak buat apa? Bukan telefon tu ada buat dosa dengan dia pun kan? Kalau dah tak nak, sedekah aje dekat aku. Telefon tu pun selamat, pahala pun dia dapat! Gumam Ilham dalam hati.

Ilham menoleh semula ke arah Kyriel. Hatinya berbelah bagi samada hendak ke sana atau terus aje berada di gigi air ini. Kulitnya mula terasa perit dek panahan cahaya matahari yang makin tinggi. Matanya melilau mencari kalau-kalau ada tempat lain yang boleh dijadikan tempat berteduh tetapi hampa. “Punyalah luas pantai ni, kenapalah ada satu pokok tu aje?” Runggut Ilham. Badannya mula berpeluh. Perlahan langkahnya diatur menuju ke arah Kyriel.

Ilham berdiri jauh sedikit dari pangkin yang diduduki Kyriel. Dari ekor matanya dia memerhatikan Kyriel masih tidak mengalihkan padangannya dari laut yang membiru di hadapan mereka. Wajah lelaki itu tidak setegang tadi. Dahinya berkerut-kerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang berat.

Apa masalah lelaki ni agaknya? Siapa lelaki-lelaki di hotel tadi? Kenapa Kyriel lari dari mereka? Kenapa Kyriel bercakap kasar dengan mamanya? Dan siapa pula papa yang disebut-sebut Kyriel sebentar tadi? Semua soalan-soalan itu bermain di dalam fikiran Ilham. Dia teringatkan janji Kyriel mahu menjelaskan segalanya sebaik sahaja mereka jauh dari lelaki-lelaki tadi. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia bertanya pada Kyriel tetapi dia risau kalau soalan-soalannya itu akan mencetuskan kembali api kemarahan lelaki itu. Nanti tak pasal-pasal aku jadi mangsa seterusnya pula!

“Pernah tak mereka rahsiakan apa-apa dari kau?” Tiba-tiba Kyriel bersuara. Ilham tersentak. Siapa ‛mereka’ yang dimaksudkannya?

“Ibu dan ayah kau. Pernah mereka rahsiakan apa-apa dari kau? Rahsia yang buat kau tertanya-tanya kenapa mereka buat macam tu?” Tambah Kyriel. 

Ilham terbayangkan arwah ibu dan ayahnya. Pernah ke ibu dan ayah berahsia dengannya? Mungkin ya atau mungkin juga tidak. Dia sendiri tidak tahu kerana ibu dan ayah tidak pernah menunjukkan yang mereka ada menyimpan apa-apa rahsia dari Ilham. Setahu Ilham hanya ada satu rahsia sahaja yang disimpan mereka tetapi rahsia itu diketahui Ilham. Itu rahsia mereka bertiga. Dan rahsia itu masih tersimpan utuh hingga hari ini.

“Kau mesti hairan dengan semua yang terjadi tadikan?” Kyriel bertanya lagi. Kali ini pandangannya mula tertumpu pada Ilham yang berdiri di kanannya. Dia mengisyaratkan dengan matanya supaya Ilham duduk di sebelahnya. Melihat Ilham yang teragak-agak mahu menghampirinya, Kyriel bingkas bangun dan mendekati gadis itu. Tangan Ilham ditarik lembut dan tubuh gadis itu disuakan ke arah pangkin.

“Duduk,” arah Kyriel ringkas. Dia kemudian melabuhkan kembali punggungnya di tempat duduknya tadi. Mereka berdua mendiamkan diri. Satu...satu ribu...dua..dua ribu...tiga..tiga ribu...Ilham membuat kira-kira di dalam hati. Sampai keangka yang kesepuluh, tiba-tiba Kyriel ketawa. Ilham terkejut. Terkejut kerana tiba-tiba lelaki itu tergelak dan kejutan kedua kerana ini baru pertama kali dia melihat lelaki itu begitu. Wajah itu nyata nampak lain bila dihiasi dengan garis-garis tawa. Taklah macam cuka yang masam sepanjang masa. Kan bagus ketawa macam ni? Bertambah handsome aku tengok!
Makin kuat ketawa lelaki di sebelahnya itu. Ilham mula risau. Ni kenapa pulak ni? Dah gila ke?


“Kau rasa aku handsome?” 

Ilham terpana. Aduh! Aku cakap kuat ke tadi? Malunya! Dia mengalihkan mukanya ke arah lain. Darah panas menyerbu ke muka. Kulitnya terasa kebas kerana malu yang teramat sangat. Hatinya turut menggerutu sakit bila mendengar Kyriel tidak behenti ketawa lagi. Geram mendengar ketawa Kyriel ditambah dengan rasa malu yang teramat sangat, Ilham bangun meninggalkan tempat itu. Baru beberapa langkah dia bergerak, tiba-tiba dia terasa tangannya dipegang dan ditarik kuat. Tubuhnya berpusing dan sekelip mata dirinya berada dekat dengan Kyriel.

“Jangan pergi. Jangan tinggalkan aku,” bisik Kyriel lembut. Suara itu kedengaran begitu hampir di telinganya. Dia dapat merasakan hembusan nafas Kyriel di pipinya. Ilham tahu, jika dia bergerak walau seinci sekalipun pasti pipinya akan berlaga dengan pipi lelaki itu. Jantungnya Ilham berombak kencang. Dia menelan liur berkali-kali. Pertama kali dalam hidupnya dia merasa begini. Dalam debaran yang maha hebat terbit satu perasaan halus yang sukar untuk dia tafsirkan.

“Mereka semua tinggalkan aku. Papa, abang Naz pergi dari hidup aku. Apa salah aku pada mereka? Teruk sangatkah aku sampai mereka pergi jauh dari aku?” rintih Kyriel perlahan. Ilham terkedu. Nada suara Kyriel kedengaran sayu di telinganya.

“Aku tahu aku bukan anak atau adik yang baik tapi jahat sangatkah aku sampai mereka sanggup tinggalkan aku?” tanya Kyriel lagi.

“Kau rasa aku jahat sangat ke, Ilham? Hmm?” Tubuh Ilham dijarakkan sedikit dari tubuhnya. Ilham dapat merasakan wajahnya ditenung dalam oleh Kyriel. Debar di dadanya makin kencang. Apa yang aku nak buat ni? Getus hati kecil Ilham. Sedang otaknya sibuk memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan, Kyriel tiba-tiba melepaskan lengannya yang dipegang kuat tadi. Tangan Ilham ditarik lembut sambil kakinya melangkah menuju ke arah pangkin yang diduduki tadi.

Dari ekor matanya Kyriel memandang Ilham yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya. Kyriel tahu Ilham mesti terkejut dengan tindakannya sebentar tadi. Dia sendiri pun tidak percaya dengan apa yang dilakukannya tadi. Dia tidak menyangka dia baru sahaja merayu pada gadis itu agar tidak meninggalkan dirinya. Malah dia turut mengeluarkan kata-kata yang selalunya hanya bertamu dalam hatinya.

Dia tidak tahu kenapa tetapi saat dia berada hampir dengan Ilham, dia seolah-olah mahu meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya pada gadis itu. Tadi, sewaktu dia memegang tangan Ilham ada satu perasaan yang menjalar dalam dirinya. Perasaan yang sama yang dirasakan sewaktu dia bertentangan mata dengan Ilham di tempat letak kereta tadi. Dia tidak tahu apakah perasaan itu tetapi apa yang dirasainya itu amat menyenangkan dirinya.

Dan kerana perasaan itulah Kyriel memutuskan untuk melakukan sesuatu yang jarang dilakukannya; berkongsi rahsia hatinya. Nafasnya ditarik dalam.

“Mereka orang suruhan mama aku. Mama aku nak aku balik ke UK sebab itu dia hantar lelaki-lelaki tadi cari aku di sini. Tapi aku tak boleh balik lagi. Ada perkara yang perlu aku uruskan di sini. Dan selagi perkara tu belum selesai, aku kena elakkan diri dari berjumpa dengan mereka,” ujar Kyriel.

“Urusan apa yang perlu awak selesaikan, tu?” tanya Ilham. Kyriel menoleh seketika ke arahnya.

“Maaf. Saya tak bermaksud nak langgar syarat-syarat awak.” Ilham teringatkan syarat-syarat yang dikenakan Kyriel semalam. 

Kyriel tersenyum tawar. Tanpa mengendahkan ucapan maaf Ilham dia terus menjawab, “Aku nak cari seseorang.” 

Ilham terkejut. Isyhh...dia tak marah ke aku tanya dia tadi?

“Cari siapa?” soal Ilham perlahan. Kyriel tidak segara menjawab sebaliknya dia melemparkan pandangannya ke arah laut. Air mukanya kembali keruh. Beberapa ketika kemudian dia menjawab perlahan.

“Papa aku. Aku cari papa aku.”

Dia mengeluarkan dompet yang tersimpan di kocek seluar jeansnya. Sekeping gambar yang agak lusuh dikeluarkan dari dalam dompet itu. Ilham mencapai gambar yang dihulurkan Kyriel. Gambar seorang lelaki berbangsa Inggeris dengan seorang wanita Melayu bersama dua orang kanak-kanak lelaki menjamu pandangan Ilham. Sekali pandang sahaja Ilham sudah dapat mengagak lelaki Inggeris itu adalah papa Kyriel kerana wajah mereka begitu mirip.

“Papa aku ada di sini, Ilham. Dan aku perlu cari dia. Aku perlukan jawapan dari dia. Dan selagi aku tak jumpa dia, aku tak boleh balik UK dan aku perlu elakkan dari dijumpai orang suruhan mama aku.”

Ilham mengangguk. Sekarang baru dia faham kenapa Kyriel mengupah dirinya menjadi guide. Dan dia juga mula faham kenapa Kyriel mengenakan syarat-syarat begitu padanya. Kyriel takut jika ada orang yang tahu tentang hal ini, mamanya akan dapat menghidu kehadirannya di sini. Tetapi kini mama Kyriel sudah tahu kedudukannnya. Bolehkah lelaki itu selesaikan segalanya sekarang?

“Tapi mama awak dah dapat kesan awak dekat sini? Apa yang awak nak buat?”

“Aku kena elakkan dari berjumpa mereka. Aku dah check-out dari Awana dan menyewa di sebuah motel di pekan. Aku harap mereka tak akan jumpa aku di sana. Aku kena cepat cari papa. Aku tak boleh buang masa lagi, Ilham. Aku perlukan guide untuk bantu aku cari papa,” balas Kyriel.

Ilham mengetap bibir. Tiba-tiba dia berasa bersalah pada Kyriel. “Maafkan saya, awak. Sebab saya awak terpaksa buang masa macam ni.”

Kyriel tersenyum tawar. Walaupun hatinya sedikit geram bila mengenangkan penipuan Ilham tetapi dia tidak sampai hati mahu memarahi gadis itu lagi.

Tiba-tiba Ilham melompat turun dari atas pangkin. Dia tersenyum lebar. “Sebagai tanda minta maaf saya, saya janji dengan awak saya akan tolong awak cari papa awak di sini. Walaupun saya tak berapa mahir dengan selok belok pulau ni, saya tetap akan pastikan yang awak akan jumpa papa awak tu. Tetapi untuk semua itu terjadi, awak kena buat sesuatu untuk saya,” kata Ilham.

“Buat apa?” Perasaan ragu-ragu mula bertandang dihati Kyriel. Adakah Ilham juga seperti orang lain, perlukan balasan untuk setiap bantuan yang diberikan? Kyriel mula rasa kecewa. Adakah dia silap menilai Ilham?

“Awak kena percayakan saya. Hanya dengan rasa percaya itu saja yang boleh membantu awak cari papa awak. Percayakan saya yang saya tak ada niat lain selain nak membantu awak. Itu saja yang saya minta. Boleh awak buat tu?” Ilham menghulurkan tangan kanannya ke arah Kyriel. Hatinya berdebar-debar menantikan jawapan dari Kyriel. Dia benar-benar ikhlas mahu membantu Kyriel mencari papanya. Tetapi sebelum itu dia perlukan Kyriel mempercayainya dahulu. Dia tidak mahu ada perasaan ragu-ragu terhadapnya dalam hati Kyriel. Dia tidak mahu Kyriel menaruh syak wasangka terhadapanya.

Kyriel memandang tangan Ilham dihdapannya. Menyambut huluran itu bermakna dia mempercayai gadis itu. Menolaknya bermakna dia akan berseorangan dalam misi mencari papanya. Hatinya benar-benar mahu menyambut tangan gadis itu tetapi otaknya mengarahkannya menepis sahaja tangan itu dan segera pergi dari situ. Hati dan akalnya tidak pernah mahu berjalan seiringannya.

Seumur hidupnya dia sering mendengar apa kata otaknya. Jangan buat itu, jangan buat ini. Jangan percayakan orang itu, jangan hiraukan orang ini. Jarang sekali dia mendengar kata hatinya. Selama ini dia menganggap apa sahaja kata logik akalnya benar belaka. Kata hatinya ditolak mentah-mentah ke tepi. Kyriel sedar dia tidak mahu mendengar apa kata hatinya kerana dia tidak mahu rasa kecewa.

Tetapi dia sudah bosan dengan semua itu.Matanya mencari sepasang mata milik Ilham Insyirah. Huluran tangan Ilham disambut. Tapak tangan gadis itu digenggam kuat. “Aku percayakan kau.” Hanya tiga perkataan itu yang ditunggu Ilham. Sebaik sahaja Kyriel melafazkannya, perasaan halus itu muncul kembali. Mata mereka saling berpandangan. Membicarakan sesuatu yang tidak mampu dikeluarkan dengan kata-kata.

Sekali aku lafazkan perkataan itu Ilham, aku tak akan tarik balik. Hanya satu permintaan aku, jangan kau sia-siakannya.

Sekali awak lafazkan kata-kata itu Kyriel, saya akan pegang sampai bila-bila. Percayalah, saya tak akan mensia-siakannya.

Dengan kata yang terlafaz di dalam hati, bagai ada satu perjanjian termeterai antara mereka. Namun tanpa mereka sedari, perjanjian itulah yang akan merubah hidup mereka selama-lamanya.

Thursday, August 2, 2012

Bab 14


Johan memerhatikan Ilham yang asyik termenung sejak dia tiba di café Helang setengah jam lalu. Sesekali dia melihat Ilham mengeluh dan membuat mimik muka seperti orang yang ada masalah besar.

“Apa kena Ilham tu, bang?” tanya Laila, tunangnya yang sedang menyusun tisu di dalam kotak.

“Entah. Tadi abang tanya dia, dia buat tak tahu aje.”

“Ada masalah dengan Azie lagi agaknya. Entah apa nak jadilah dengan budak tu. Tak habis-habis nak menyakitkan hati kakak dia.” Laila membuat andaian sendiri. Dia memang maklum dengan perangai Azie yang bencikan Ilham. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia membahasakan gadis itu tetapi ditegah oleh Ilham. 

“Dia sakit Kak Laila, biarkanlah.” Alasan Ilham itu langsung tidak dapat diterima. Kalau sakit sekalipun kenapa Ilham harus menjadi mangsa? Bukanlah lebih elok kalau dia melayan Ilham dengan baik? Sekurang-kurangnya tidak terasa sangat beban penyakit yang ditanggungnya.

“Abang cubalah tanya dia. Risaulah saya tengok dia macam tu,” saran Laila. Tubuh Johan ditolak perlahan ke arah Ilham. Dengan hati yang berat Johan menghampiri Ilham.

“llham?” panggilnya perlahan. Tetapi gadis yang sedang mengelamun itu tidak mendengar panggilannya. Beberapa orang pekerjanya sudah mula berhenti menjalankan tugas mereka. Masing-masing berminat untuk mengetahui apa yang menganggu fikiran gadis yang sentiasa ceria itu.

“Ilham!” Kali ini suaranya dikuatkan lagi. Tapi Ilham masih tidak memandangnya. Dengan geram bahu gadis itu dicubitnya perlahan.

“Aduh! Sakitlah!” Ilham menjerit kecil. Bahunya yang terasa perit digosok-gosok perlahan. Mukanya mencuka memandang Johan yang sedang tersengeh.

“Apa Abang Jo ni? Main cubit-cubit pulak. Panggil elok-elok tak boleh?”

“Eh, dari tadi abang dok panggil kau elok-elok, kau yang tak dengar. Jangan nak salahkan abang pulak ye. Yang kau ni abang tengok dari tadi asyik termenung sana, termenung sini. Lepas tu mengeluh. Siap bercakap sorang-sorang lagi tu! Apa masalah kau ni, Ilham? Bergaduh dengan Azie lagi ke?”

“Ilham dengan Azie mana pernah tak bergaduh Abang Jo. Ilham tak larat nak layan lagi dah. Biarlah dia nak buat apa pun dengan Ilham, kalau itu boleh buat dia senang,” balas Ilham perlahan.

“Dah tu, apa pulak masalah kau lagi ni? Tak cukup duit?” soal Johan lagi.

Ilham mengeleng.

“Masalah boyfriend?”

“Isyhhh...Abang Jo ni. Saya mana ada boyfriend!” tukas Ilham.


“Habis tu?”

Ilham mengeluh lagi. Masalah dia sekarang adalah Kyriel Iskandar. Lelaki kacak tapi panas baran yang baru ditinggalkan tadi.  Hati dia menjadi rungsing kerana memikirkan lelaki itu. Pertengkarannya dengan lelaki tadi benar-benar menganggu fikirannya. Besar sangatkah kesalahan yang dibuatnya hinggakan lelaki itu bereaksi seperti itu?

“Jadi dari mula lagi kau dah tipu aku? Aku tak sangka, muka baik tapi perangai buruk macam ni. Apa tujuan kau sebenarnya? Nak tipu duit aku?”

Ilham ingin menerangkan perkara yang sebenarnya tetapi Kyriel langsung tidak memberinya peluang bersuara.


"Diam! Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut kau lagi. Mulai saat ini aku tak nak tengok muka kau depan aku lagi. Untuk kebaikan diri kau sendiri Ilham, jangan muncul depan aku atau Tuhan saja yang tahu apa aku akan buat!” Kyriel memberi amaran.

Dan itulah kata-kata terakhir Kyriel kepadanya sebentar tadi. Seumur hidup Ilham itulah pertama kali dia melihat orang benar-benar marah terhadapnya. Malah arwah ibu dan ayahnya pun tidak pernah marahkan dia seperti itu. Dan dia pasti, sampai bila-bila pun dia tidak akan dapat melupakan wajah bengis Kyriel tadi.

“Hei! Menggelamun pulak budak ni. Kau nak cerita ke tidak pada abang ni, Ilham?”

Dengan hati yang berat, Ilham menceritakan segalanya pada Johan. Dari peristiwa dia di atas feri semalam hinggalah ke saat dia dan Kyriel berpisah di Kampung Ayer Hangat tadi.

“Laa...pasal tu je kau menung sampai macam ni? Abang ingatkan ada benda besar lah tadi,” keluh Johan. Buang karan betul budak ni! Gumamnya dalam hati.

“Apa yang tak besarnya Abang Johan! Benda besarlah ni. Ilham dah buat seseorang kecewa dan bencikan Ilham. Dan nak memburukkan lagi hal, Kak Nora pun terlibat sama dalam hal ni sedangkan Ilham dah janji dengan dia takkan libatkan dia kalau jadi apa-apa.”

“Apa yang susahnya. Kau pergilah minta maaf dengan dia esok. Cakap saja terus terang kenapa kau bohongi dia. Hal ni kecil aje cuma kamu berdua yang besar-besarkan.” Johan memberikan cadangan.

“Susahlah Abang Jo. Dia ni lain macam sikit,” ujar Ilham.

“Lain macam macam mana? Dia tak serupa orang ke? Dia ni alien? Ilham, kalau dah namanya manusia semuanya sama saja. Seteruk mana pun manusia tu, masih ada ruang yang lembut dalam hati dia. Garang-garang lelaki tu, kalau kena gaya kau minta maaf dengan dia, abang yakin dia akan maafkan. Sudahlah. Jangan nak termenung lagi. Ambil kain ni, pergi lap meja kat luar tu. Setengah jam lagi kita nak buka cafe,” ujar Johan sebelum bangun untuk meneruskan kerjanya.

Ilham mengeluh untuk kesekian kalinya. Kata-kata Johan bermain di fikirannya. Meminta maaf memang mudah. Dia hanya perlu membuka mulut dan perkataan yang dirasai dalam hatinya itu akan meluncur keluar dari mulutnya. Tetapi untuk melakukannya dia perlu berhadapan dengan Kyriel Iskandar terlebih dahulu dan demi Tuhan itulah yang amat digeruninya sekarang lebih-lebih lagi bila dia teringatkan amaran Kyriel Iskandar tadi. “Untuk kebaikan diri kau sendiri Ilham, jangan muncul depan aku atau Tuhan saja yang tahu apa aku akan buat!”


 Dah kena warning macam itu, siapa yang berani hendak buat hal? 

***
Kyriel bingkas bangun dari katil. Dia berjalan menuju ke sebuah meja kecil yang terletak di sebelah pintu kaca yang menghadap balkoni biliknya. Cawan berisi air kosong di atas meja dicapai lalu diteguknya rakus dengan harapan air sejuk itu dapat meredakan hatinya yang masih membara. Pintu kaca di hadapannya dibuka. Angin malam menyapa kulitnya sebaik sahaja kakinya melangkah ke arah balkoni. Dia menarik nafas dalam. Pandangannya dihalakan ke arah kapal dan bot yang berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai itu.

Sejak pulang tadi dia cuba untuk tidak memikirkan hal yang terjadi antara dirinya dan Ilham. Tetapi kini, fikirannya mula menerawang memikirkan gadis itu. Dia mengetap bibir menahan geram. Rasa marah itu masih belum mahu hilang. Bukan marah pada Ilham  sahaja tetapi juga pada dirinya. Bagaimana dia boleh membiarkan dirinya ditipu gadis itu? Selama ini dia begitu berhati-hati dalam pergaulannya. Bukan mudah bagi Kyriel untuk mempercayai orang lain. Dia tidak pernah mempercayai orang-orang yang berada d isekelilingnya. Bagi Kyriel, mereka yang cuba untuk dekat dengannya pasti mempunyai motif tertentu. Bukan dia sengaja berfikiran begitu tetapi pengalaman lalu mengajarnya jangan mudah mempercayai orang.

Dia ingat lagi ketika dia berusia sepuluh tahun, rakan-rakan di sekolahnya begitu baik dengannya. Pada mulanya Kyriel menyangkakan mereka benar-benar mahu berkawan dengannya. Dia hampir sahaja menganggap mereka kawan baiknya sehinggalah suatu hari dia mendapat tahu mereka dipaksa berkawan dengan Kyriel hanya kerana ibu bapa mereka mahu cuba mendapatkan peluang perniagaan dari datuknya. Dan itu bukanlah kali terkahir peristiwa seperti itu terjadi padanya. Oleh kerana selalu terkenalah, Kyriel menjadi seperti ini. Terlalu mudah berprasangka pada orang. Dalam hidup Kyriel hanya tiga orang sahaja yang dipercayai dengan sepenuh hati. Papa, arwah Nazary dan Eddy. Kini setelah dia kelihangan Adam dan Nazary, hanya pada Eddy diletakkan sepenuh kepercayaannya.

Bunyi deringan telefon bimbitnya menyentak Kyriel dari lamunannya. Dia mengeluh kuat dan membiarkan panggilan tidak bersambut. Beberapa ketika kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dan seperti tadi Kyriel hanya membiarkan telefon itu terus berdering. Masuk kali yang kelima, Kyriel mula hilang sabar. Dia masuk ke dalam bilik dan mencapai telefon di kaki katil.

“Hello?” Jawabnya kasar.

“Kyriel?” Suara lembut seorang perempuan menyapa telinganya.

Dahi Kyriel berkerut bila terdengar suara yang tidak pernah didengarnya itu. Dia memandang sekilas ke arah nombor yang tertera di skrin telefon. Panggilan dari UK?

“Yes, this is Kyriel. Who is this?”

“Kyriel, ini aku. Katrina.”

“Kat?” Kyriel meminta kepastian. Dia agak terkejut menerima panggilan telefon dari Katrina, teman wanita terbaru Eddy.

“Iya. Ini aku, Kat,” jawab suara di hujung talian.

“Apahal kau telefon aku ni? Dari mana kau dapat nombor ni?” soal Kyriel sedikit keras. Hatinya mula rasa tidak senang. Kenapa Katrina menghubunginya?

“Pasal Eddy...”

Hati Kyriel berdebar kencang bila mendengar nama Eddy disebut. “Kenapa dengan Eddy?”

“Dia kena pukul. Sekarang ni dia ada di hospital universiti.”

Kyriel tersentak.  “Macamana keadaan Eddy?”

“Teruk juga. Dia dah keluar dari surgery room. Tulang rusuk dia retak. Dia tengah tidur,” jawab Katrina dalam esak tangisnya.

“Apa yang jadi sebenarnya, Kat?”

Katrina tidak segera menjawab. Yang kedengaran hanya tangisan gadis itu.

“Kat? Talk to me. Apa sebenarnya yang terjadi? Siapa yang pukul Eddy?”

Suara tanggisan Katrina makin kuat bila mendengar soalan Kyriel. Hati Kyriel makin tidak keruan. Jantungnya berdegup kencang. Entah kenapa dia dapat merasakan dia tidak akan suka dengan jawapan yang bakal didengarnya.

“Kat! Stop crying and tell me the truth! Siapa pukul Eddy!”

“Your mother’s men!”

Kyriel terjelepuk ke atas lantai. Mama? Mama yang pukul Eddy? Tidak mungkin. Kyriel tahu mamanya sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dia inginkan tapi sehingga ke tahap ini?

“Kau jangan main-main Kat! Mana kau tahu mereka orang mama aku?”

“Kyriel, aku ada dekat situ masa mereka pukul Eddy. Kami tengah dalam perjalanan nak balik ke apartment bila ada sekumpulan lelaki halang perjalanan kami. Mereka paksa Eddy beritahu mana kau berada sekarang. Bila Eddy tak mahu beritahu mereka terus pukul dia. Sampai lembik dia orang kerjakan Eddy. Nasib baik ada beberapa orang lalu dekat situ waktu tu. Dia orang yang tolong Eddy. Kalau tidak aku pun tak tahu apa nasib Eddy.”

“Ada lelaki-lelaki tu cakap apa-apa lagi?” soal Kyriel perlahan.

“Tak. Cuma aku terdengar salah seorang mereka ada sebut, apa pun yang terjadi mereka kena cari kau,” balas Katrina.

“Aku takut, Kyriel. Macamana kalau mereka datang semula?”

Kyriel menarik nafas dalam-dalam. Tangan kirinya dikepal-kepal.

“Mereka tak akan datang semula. Tolong jagakan Eddy untuk aku. Aku akan hubungi dia nanti,” ujar Kyriel. Dia mematikan talian sebelum sempat Katrina berkata apa-apa. Jarinya ligat memicit nombor telefon insan yang amat dibencinya ketika ini.

“Hello?” Suara seorang perempuan kedengaran di talian.

“Panggil mama aku.”

“Encik Kyriel? Encik di mana sekarang. Puas Puan Zarith cari encik,” tanya Hana.

“Panggil mama aku!” jerit Kyriel tanpa mengendahkan soalan Hana. Melalui telefonnya Kyriel mendengar suara Hana sedang bercakap dengan sesorang. Beberapa saat kemudian kedengaran suara Zarith Sofea di hujung talian.

“Kyriel? Mana kamu? Mama risau tahu tak?”

“Kenapa mama suruh orang pukul Eddy?” Jerkah Kyriel.

“Mama buat itu semua sebab nak cari kamu. Kamu hilangkan diri secara tiba-tiba, dan hanya Eddy yang tahu mana kamu berada. Mama dah tak ada cara lain lagi,” jawab Zarith Sofea tanpa rasa bersalah.

“Mama tak pernah terfikir ke yang saya sengaja hilangkan diri sebab tak mahu mama tahu di mana saya berada? Yang saya memang tak mahu jumpa mama?”

“Kamu anak mama. Mama berhak tahu pergerakkan kamu!”

“Saya cuma anak mama when it suits you! Kenapa sejak abang Nazary dah tak ada baru mama beriya-iya nak ambil tahu hal saya? Sebab dah tak ada orang lain lagi yang nak ikut telunjuk mama kan?! Sebab dah tak ada lembu yang boleh mama cucuk hidungnya, kan?”

“Kyriel Iskandar! Jaga bahasa kamu tu. Kamu sedang bercakap dengan mama kamu sekarang ni. Jangan kurang ajar!”

“Saya kurang ajar pun sebab mama tak pernah cuba nak mengajar saya! Papa saya hilangkan diri saat saya perlukan bimbingan dia. Mama pula terlalu sibuk nak puaskan hati datuk sampai mama lupakan anak sendiri. Jadi jangan salahkan saya kalau bersikap macam ni!” tempelak Kyriel Iskandar.

Zarith Sofea terkedu. Dia tidak menyangka Kyriel akan berkata begitu.

“Kyriel, mama...”

“Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari mama. Anggap aja ini amaran dari saya. Jangan ganggu Eddy atau mana-mana kawan saya lagi kalau mama nak saya balik semula ke UK. Kalau mama nak tahu sangat, saya sekarang tengah mencari papa. Dan saya akan balik semula ke UK bila urusan saya selesai. Kalau saya dengar lagi mama ganggu Eddy, saya akan hilangkan diri sekali lagi. Dan kali ini, percayalah, mama tak akan jumpa saya sampai bila-bila!”