PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Tuesday, August 14, 2012

Bab 16


Ilham tunduk mengutip cengkerang-cengkerang yang bertaburan di atas pasir pantai. Sesekali matanya mencuri pandang ke arah Kyriel yang duduk termenung di bawah pokok berhampiran. Sudah hampir setengah jam mereka berada di situ. Sejak mereka sampai tadi beginilah situasi mereka. Kyriel menonong menuju ke arah pokok itu sebaik sahaja enjin kereta dimatikan. Ilham yang mulanya mahu mengikut Kyriel melupakan niatnya bila melihat wajah Kyriel yang keruh.

Dia tahu lelaki itu sedang marah dan dia tidak mahu dekat dengan Kyriel bila mood lelaki itu begitu. Dua hari bersama Kyriel sudah cukup untuk Ilham memahami perangai baran lelaki itu. Dia tidak mahu menjadi mangsa amarah lelaki itu. Kecut perutnya mengenangkan nasib telefon bimbit Kyriel tadi. Lepas dia mengamuk dengan orang yang di panggil ‘mama’ tadi, telefon bimbitnya terus dicampak keluar dari kereta.

Kesian telefon tu. Tak pasal-pasal bersepai. Dia ni pun satu, kalau iya pun marah yang telefon tu dicampak buat apa? Bukan telefon tu ada buat dosa dengan dia pun kan? Kalau dah tak nak, sedekah aje dekat aku. Telefon tu pun selamat, pahala pun dia dapat! Gumam Ilham dalam hati.

Ilham menoleh semula ke arah Kyriel. Hatinya berbelah bagi samada hendak ke sana atau terus aje berada di gigi air ini. Kulitnya mula terasa perit dek panahan cahaya matahari yang makin tinggi. Matanya melilau mencari kalau-kalau ada tempat lain yang boleh dijadikan tempat berteduh tetapi hampa. “Punyalah luas pantai ni, kenapalah ada satu pokok tu aje?” Runggut Ilham. Badannya mula berpeluh. Perlahan langkahnya diatur menuju ke arah Kyriel.

Ilham berdiri jauh sedikit dari pangkin yang diduduki Kyriel. Dari ekor matanya dia memerhatikan Kyriel masih tidak mengalihkan padangannya dari laut yang membiru di hadapan mereka. Wajah lelaki itu tidak setegang tadi. Dahinya berkerut-kerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang berat.

Apa masalah lelaki ni agaknya? Siapa lelaki-lelaki di hotel tadi? Kenapa Kyriel lari dari mereka? Kenapa Kyriel bercakap kasar dengan mamanya? Dan siapa pula papa yang disebut-sebut Kyriel sebentar tadi? Semua soalan-soalan itu bermain di dalam fikiran Ilham. Dia teringatkan janji Kyriel mahu menjelaskan segalanya sebaik sahaja mereka jauh dari lelaki-lelaki tadi. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia bertanya pada Kyriel tetapi dia risau kalau soalan-soalannya itu akan mencetuskan kembali api kemarahan lelaki itu. Nanti tak pasal-pasal aku jadi mangsa seterusnya pula!

“Pernah tak mereka rahsiakan apa-apa dari kau?” Tiba-tiba Kyriel bersuara. Ilham tersentak. Siapa ‛mereka’ yang dimaksudkannya?

“Ibu dan ayah kau. Pernah mereka rahsiakan apa-apa dari kau? Rahsia yang buat kau tertanya-tanya kenapa mereka buat macam tu?” Tambah Kyriel. 

Ilham terbayangkan arwah ibu dan ayahnya. Pernah ke ibu dan ayah berahsia dengannya? Mungkin ya atau mungkin juga tidak. Dia sendiri tidak tahu kerana ibu dan ayah tidak pernah menunjukkan yang mereka ada menyimpan apa-apa rahsia dari Ilham. Setahu Ilham hanya ada satu rahsia sahaja yang disimpan mereka tetapi rahsia itu diketahui Ilham. Itu rahsia mereka bertiga. Dan rahsia itu masih tersimpan utuh hingga hari ini.

“Kau mesti hairan dengan semua yang terjadi tadikan?” Kyriel bertanya lagi. Kali ini pandangannya mula tertumpu pada Ilham yang berdiri di kanannya. Dia mengisyaratkan dengan matanya supaya Ilham duduk di sebelahnya. Melihat Ilham yang teragak-agak mahu menghampirinya, Kyriel bingkas bangun dan mendekati gadis itu. Tangan Ilham ditarik lembut dan tubuh gadis itu disuakan ke arah pangkin.

“Duduk,” arah Kyriel ringkas. Dia kemudian melabuhkan kembali punggungnya di tempat duduknya tadi. Mereka berdua mendiamkan diri. Satu...satu ribu...dua..dua ribu...tiga..tiga ribu...Ilham membuat kira-kira di dalam hati. Sampai keangka yang kesepuluh, tiba-tiba Kyriel ketawa. Ilham terkejut. Terkejut kerana tiba-tiba lelaki itu tergelak dan kejutan kedua kerana ini baru pertama kali dia melihat lelaki itu begitu. Wajah itu nyata nampak lain bila dihiasi dengan garis-garis tawa. Taklah macam cuka yang masam sepanjang masa. Kan bagus ketawa macam ni? Bertambah handsome aku tengok!
Makin kuat ketawa lelaki di sebelahnya itu. Ilham mula risau. Ni kenapa pulak ni? Dah gila ke?


“Kau rasa aku handsome?” 

Ilham terpana. Aduh! Aku cakap kuat ke tadi? Malunya! Dia mengalihkan mukanya ke arah lain. Darah panas menyerbu ke muka. Kulitnya terasa kebas kerana malu yang teramat sangat. Hatinya turut menggerutu sakit bila mendengar Kyriel tidak behenti ketawa lagi. Geram mendengar ketawa Kyriel ditambah dengan rasa malu yang teramat sangat, Ilham bangun meninggalkan tempat itu. Baru beberapa langkah dia bergerak, tiba-tiba dia terasa tangannya dipegang dan ditarik kuat. Tubuhnya berpusing dan sekelip mata dirinya berada dekat dengan Kyriel.

“Jangan pergi. Jangan tinggalkan aku,” bisik Kyriel lembut. Suara itu kedengaran begitu hampir di telinganya. Dia dapat merasakan hembusan nafas Kyriel di pipinya. Ilham tahu, jika dia bergerak walau seinci sekalipun pasti pipinya akan berlaga dengan pipi lelaki itu. Jantungnya Ilham berombak kencang. Dia menelan liur berkali-kali. Pertama kali dalam hidupnya dia merasa begini. Dalam debaran yang maha hebat terbit satu perasaan halus yang sukar untuk dia tafsirkan.

“Mereka semua tinggalkan aku. Papa, abang Naz pergi dari hidup aku. Apa salah aku pada mereka? Teruk sangatkah aku sampai mereka pergi jauh dari aku?” rintih Kyriel perlahan. Ilham terkedu. Nada suara Kyriel kedengaran sayu di telinganya.

“Aku tahu aku bukan anak atau adik yang baik tapi jahat sangatkah aku sampai mereka sanggup tinggalkan aku?” tanya Kyriel lagi.

“Kau rasa aku jahat sangat ke, Ilham? Hmm?” Tubuh Ilham dijarakkan sedikit dari tubuhnya. Ilham dapat merasakan wajahnya ditenung dalam oleh Kyriel. Debar di dadanya makin kencang. Apa yang aku nak buat ni? Getus hati kecil Ilham. Sedang otaknya sibuk memikirkan apa yang sepatutnya dilakukan, Kyriel tiba-tiba melepaskan lengannya yang dipegang kuat tadi. Tangan Ilham ditarik lembut sambil kakinya melangkah menuju ke arah pangkin yang diduduki tadi.

Dari ekor matanya Kyriel memandang Ilham yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya. Kyriel tahu Ilham mesti terkejut dengan tindakannya sebentar tadi. Dia sendiri pun tidak percaya dengan apa yang dilakukannya tadi. Dia tidak menyangka dia baru sahaja merayu pada gadis itu agar tidak meninggalkan dirinya. Malah dia turut mengeluarkan kata-kata yang selalunya hanya bertamu dalam hatinya.

Dia tidak tahu kenapa tetapi saat dia berada hampir dengan Ilham, dia seolah-olah mahu meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya pada gadis itu. Tadi, sewaktu dia memegang tangan Ilham ada satu perasaan yang menjalar dalam dirinya. Perasaan yang sama yang dirasakan sewaktu dia bertentangan mata dengan Ilham di tempat letak kereta tadi. Dia tidak tahu apakah perasaan itu tetapi apa yang dirasainya itu amat menyenangkan dirinya.

Dan kerana perasaan itulah Kyriel memutuskan untuk melakukan sesuatu yang jarang dilakukannya; berkongsi rahsia hatinya. Nafasnya ditarik dalam.

“Mereka orang suruhan mama aku. Mama aku nak aku balik ke UK sebab itu dia hantar lelaki-lelaki tadi cari aku di sini. Tapi aku tak boleh balik lagi. Ada perkara yang perlu aku uruskan di sini. Dan selagi perkara tu belum selesai, aku kena elakkan diri dari berjumpa dengan mereka,” ujar Kyriel.

“Urusan apa yang perlu awak selesaikan, tu?” tanya Ilham. Kyriel menoleh seketika ke arahnya.

“Maaf. Saya tak bermaksud nak langgar syarat-syarat awak.” Ilham teringatkan syarat-syarat yang dikenakan Kyriel semalam. 

Kyriel tersenyum tawar. Tanpa mengendahkan ucapan maaf Ilham dia terus menjawab, “Aku nak cari seseorang.” 

Ilham terkejut. Isyhh...dia tak marah ke aku tanya dia tadi?

“Cari siapa?” soal Ilham perlahan. Kyriel tidak segara menjawab sebaliknya dia melemparkan pandangannya ke arah laut. Air mukanya kembali keruh. Beberapa ketika kemudian dia menjawab perlahan.

“Papa aku. Aku cari papa aku.”

Dia mengeluarkan dompet yang tersimpan di kocek seluar jeansnya. Sekeping gambar yang agak lusuh dikeluarkan dari dalam dompet itu. Ilham mencapai gambar yang dihulurkan Kyriel. Gambar seorang lelaki berbangsa Inggeris dengan seorang wanita Melayu bersama dua orang kanak-kanak lelaki menjamu pandangan Ilham. Sekali pandang sahaja Ilham sudah dapat mengagak lelaki Inggeris itu adalah papa Kyriel kerana wajah mereka begitu mirip.

“Papa aku ada di sini, Ilham. Dan aku perlu cari dia. Aku perlukan jawapan dari dia. Dan selagi aku tak jumpa dia, aku tak boleh balik UK dan aku perlu elakkan dari dijumpai orang suruhan mama aku.”

Ilham mengangguk. Sekarang baru dia faham kenapa Kyriel mengupah dirinya menjadi guide. Dan dia juga mula faham kenapa Kyriel mengenakan syarat-syarat begitu padanya. Kyriel takut jika ada orang yang tahu tentang hal ini, mamanya akan dapat menghidu kehadirannya di sini. Tetapi kini mama Kyriel sudah tahu kedudukannnya. Bolehkah lelaki itu selesaikan segalanya sekarang?

“Tapi mama awak dah dapat kesan awak dekat sini? Apa yang awak nak buat?”

“Aku kena elakkan dari berjumpa mereka. Aku dah check-out dari Awana dan menyewa di sebuah motel di pekan. Aku harap mereka tak akan jumpa aku di sana. Aku kena cepat cari papa. Aku tak boleh buang masa lagi, Ilham. Aku perlukan guide untuk bantu aku cari papa,” balas Kyriel.

Ilham mengetap bibir. Tiba-tiba dia berasa bersalah pada Kyriel. “Maafkan saya, awak. Sebab saya awak terpaksa buang masa macam ni.”

Kyriel tersenyum tawar. Walaupun hatinya sedikit geram bila mengenangkan penipuan Ilham tetapi dia tidak sampai hati mahu memarahi gadis itu lagi.

Tiba-tiba Ilham melompat turun dari atas pangkin. Dia tersenyum lebar. “Sebagai tanda minta maaf saya, saya janji dengan awak saya akan tolong awak cari papa awak di sini. Walaupun saya tak berapa mahir dengan selok belok pulau ni, saya tetap akan pastikan yang awak akan jumpa papa awak tu. Tetapi untuk semua itu terjadi, awak kena buat sesuatu untuk saya,” kata Ilham.

“Buat apa?” Perasaan ragu-ragu mula bertandang dihati Kyriel. Adakah Ilham juga seperti orang lain, perlukan balasan untuk setiap bantuan yang diberikan? Kyriel mula rasa kecewa. Adakah dia silap menilai Ilham?

“Awak kena percayakan saya. Hanya dengan rasa percaya itu saja yang boleh membantu awak cari papa awak. Percayakan saya yang saya tak ada niat lain selain nak membantu awak. Itu saja yang saya minta. Boleh awak buat tu?” Ilham menghulurkan tangan kanannya ke arah Kyriel. Hatinya berdebar-debar menantikan jawapan dari Kyriel. Dia benar-benar ikhlas mahu membantu Kyriel mencari papanya. Tetapi sebelum itu dia perlukan Kyriel mempercayainya dahulu. Dia tidak mahu ada perasaan ragu-ragu terhadapnya dalam hati Kyriel. Dia tidak mahu Kyriel menaruh syak wasangka terhadapanya.

Kyriel memandang tangan Ilham dihdapannya. Menyambut huluran itu bermakna dia mempercayai gadis itu. Menolaknya bermakna dia akan berseorangan dalam misi mencari papanya. Hatinya benar-benar mahu menyambut tangan gadis itu tetapi otaknya mengarahkannya menepis sahaja tangan itu dan segera pergi dari situ. Hati dan akalnya tidak pernah mahu berjalan seiringannya.

Seumur hidupnya dia sering mendengar apa kata otaknya. Jangan buat itu, jangan buat ini. Jangan percayakan orang itu, jangan hiraukan orang ini. Jarang sekali dia mendengar kata hatinya. Selama ini dia menganggap apa sahaja kata logik akalnya benar belaka. Kata hatinya ditolak mentah-mentah ke tepi. Kyriel sedar dia tidak mahu mendengar apa kata hatinya kerana dia tidak mahu rasa kecewa.

Tetapi dia sudah bosan dengan semua itu.Matanya mencari sepasang mata milik Ilham Insyirah. Huluran tangan Ilham disambut. Tapak tangan gadis itu digenggam kuat. “Aku percayakan kau.” Hanya tiga perkataan itu yang ditunggu Ilham. Sebaik sahaja Kyriel melafazkannya, perasaan halus itu muncul kembali. Mata mereka saling berpandangan. Membicarakan sesuatu yang tidak mampu dikeluarkan dengan kata-kata.

Sekali aku lafazkan perkataan itu Ilham, aku tak akan tarik balik. Hanya satu permintaan aku, jangan kau sia-siakannya.

Sekali awak lafazkan kata-kata itu Kyriel, saya akan pegang sampai bila-bila. Percayalah, saya tak akan mensia-siakannya.

Dengan kata yang terlafaz di dalam hati, bagai ada satu perjanjian termeterai antara mereka. Namun tanpa mereka sedari, perjanjian itulah yang akan merubah hidup mereka selama-lamanya.

3 comments:

aqilah said...

best, best. akak suka. sambunglah lagi, nak tahu punca msg2 membenci antara satu sama lain

Farahusain said...

salam kak aqilah...
terima kasih sebab sukakan kisah ni. inysa-allah saya akan sambung secepat mungkin..thumb drive buat hal lah kak..hehehe

FirasFirzana said...

suka...suka :)