PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Monday, July 30, 2012

Bab 13



Sebaik sahaja Kyriel jauh darinya, Ilham segera mencapai telefon bimbitnya. Dia menekan butang panggilan. Beberapa ketika kemudian terdengar suara garau seorang lelaki di hujung talian.
“Apa lagi ni Ilham?”
“Abang Jo, lepas ni nak pergi mana pulak?” soal Ilham. Matanya meninjau-ninjau ke luar, melihat kelibat Kyriel yang sedang sibuk bertanya sesuatu kepada sekumpulan orang di bawah sebuah pokok. 
“Mana la abang tahu. Kau yang bawa pelancong, bukan abang,” balas Johan geram.
“Ala, abang Jo. Tolonglah Ilham. Kan Ilham dah cakap tadi, pelancong yang ni lain sikit. Dia tak nak pergi tempat-tempat yang orang biasa pergi tu. Ilham dah tak tahu nak bawa dia pergi mana lagi dah ni. Tolonglah Ilham...” rayu Ilham.
Masuk kampung yang ini, sudah lapan buah kampung dia masuk. Semuanya kerana mengikut perintah Kyriel. Mujur mereka masih di Mukim Kuah, kawasan yang biasa dilalui Ilham. Apa yang merisaukan Ilham sekarang jika Kyriel mengajaknya ke tempat lain. Memang dia akan mati akal. Untuk mengaku pada Kyriel yang dia tidak arif tentang kawasan lain memang tak boleh dipertimbangkan. Dia tidak mahu mencari nahas. Jadi harapannya kini hanya pada Johan, majikannya di Cafe Helang.
Johan mengeluh di hujung talian. Dia sendiri pening mendengar tentang situasi yang dihadapi Ilham kali ini. Sudah lima kali Ilham menelfonnya hari ini. Semata-mata mahu bertanya di tentang kamung-kampung yang terdapat di sekitar Pekan Kuah yang mahu dikunjungi pelanggannya. Bila ditanya kenapa, Ilham tidak mahu bercakap panjang.
“Siapa sebenarnya yang kau bawak ni Ilham? Anak menteri ke sampai nak kena berahsia sangat?”
Ilham menoleh memandang Kyriel. Anak menteri ke dia ni? Kalau ikut penampilan memang ada gaya anak orang kaya. Ditambah pula dengan sikap Kyriel yang angkuh tak bertempat itu. Memang memenuhi ciri-ciri anak orang kaya. Arghh...pedulilah. Anak menteri atau tidak semua itu tak penting baginya.
“Entah. Ilham tak tahu dan tak minat nak ambil tahu. Yang penting sekarang ni Ilham nak habiskan tugas Ilham. Lepas ni Ilham nak bawa dia pergi mana lagi abang Jo?”
“Hmmm...kau bawa dia pergi Kampung Ket Log. Abang dengar kata situ pun ada bangsa lain yang tinggal,” saran Johan.
“Betul ke?”
“Agaknya lah. Abang pun tak pasti. Kau cuba ajelah.”
Ilham mengeluh panjang. Bab cuba mencuba ini yang paling dia tidak suka. Salah mencuba dia risau rahsia dia terbongkar. Dia ni nak cari siapa sebenarnya? Mat saleh mana yang dia nak cari? Teman wanita diakah?
“Oh, dia cari awek dialah ni ye?” tanya Johan tiba-tiba.
Ilham segera menekup mulut. Dia memukul muncung mulutnya berkali-kali. Macam mana boleh terlepas cakap ni?
“Err...Ilham agak aje bang. Tapi memang nampak macam dia nak cari orang. Siapa orangnya Ilham tak tahulah,” ujar Ilham. Dia perasan Kyriel asyik memegang sekeping gambar dan lelaki itu akan menunjukkan gambar itu kepada sesiapa yang dijumpainya. Hendak bertanya, dia teringkatkan syarat-syarat Kyriel tadi. Sudahnya dia hanya mendiamkan diri. Kalaulah Kyriel menunjukkan gambar itu kepadanya, mungkin lebih mudah kerjanya. Manalah tahu kalau-kalau dia mengenali atau pernah melihat orang yang ingin dicari lelaki itu.
“Kenapa kau tak tanya aje siapa yang dia nak cari. Mana tahu kita kenal, boleh juga kita tolong,” ujar Johan. 
Ilham ketawa kecil. Macam tahu-tahu aje apa yang aku fikirkan.
“Masalahnya dia tak mahu tunjukkan pada Ilham, macamana nak tolong?”
“Laa, apasal pulak?”
“Entah. Dia dah cakap dengan Ilham tadi. Jangan persoalkan apa yang dia buat. Jadi, Ilham tak tanyalah.”
“Kau buat apa ni?” jerkah Kyriel yang tiba-tiba muncul di sebelahnya. Panggilan telefon segera dimatikan. Dia berdiri tegak memandang Kyriel yang nyata sedang marah. Mata lelaki itu mencerlung ke arahnya.
“Kau bercakap dengan siapa tadi?”
“Err...kawan.”
“Apa yang kau cakap dengan dia?”
“Err...tak ada apa-apa,” jawab Ilham dengan suara yang terketar-ketar.
“Cik Ilham Insyirah, aku paling benci penipu Jadi untuk kebaikan kau, baik kau cakap hal yang betul dengan aku. Apa yang kau cakapkan pada kawan kau tadi?” Kyriel cuba mengawal rasa marahnya. Dia yakin Ilham sedang bercerita tentang dirinya dengan kawanya tadi. Dia dengar dengan jelas ketika Ilham bercakap tentang syarat-syarat yang dikenakan pada Ilham tadi.
“Err, saya...” Ilham teragak-agak untuk menjawab. Kalau diikutkan memang dia ada bercerita dengan Johan. Cuma ceritanya itu bukanlah terlalu terperinci. Takkan aku cakap sikit pun tak boleh? Lagipun Abang Johan bukan kenal dia pun.
Melihat reaksi Ilham yang teragak-agak, Kyriel yakin anggapannya betul.
“Kau boleh balik. Aku tak perlukan khidmat kau lagi. Ambil duit ni dan jangan muncul depan aku lagi,” bentak Kyriel sambil mengeluarkan sejumlah wang dari dalam walletnya.
Dengan rasa marah dia pergi meninggalkan Ilham. Dia takut jika dia terus berada di situ Ilham akan menjadi mangsa panas barannya.
Ilham terkejut. Duit yang berada dalam tangannya dipandang lama. Dia tidak menyangka Kyriel akan marah begitu sekali. Besar sangatkah salah yang aku buat? Kalau ya pun, janganlah marah sampai macam tu sekali. Dengarlah dulu cerita aku. Ilham mula merasa tidak senang hati. Dia pergi mengejar Kyriel.
“Awak, tunggu! Dengar dulu penjelasan saya.”
Kyriel tidak mengendahkan panggilan Ilham. Dia terus berjalan.
“Awak, tunggulah,” panggil Ilham sekali lagi tetapi lelaki itu terus berjalan. Geram dengan sikap keras kepala Kyriel itu, Ilham terus menarik lengan lelaki itu.
“Kyriel Iskandar! Boleh tak awak kurangkan sikit keras kepala awak tu? Awak tahu tak perangai awak ni boleh buat orang sakit hati? Saya bukan minta nyawa awak pun. Saya cuma nak minta awak tunggu dan dengar penjelasan saya. Susah sangat ke?” Marah Ilham.
Kyriel terpempan. Selama ini belum pernah lagi sesiapa berani memarahinya atau meninggikan suara kepadanya selain mama, Eddy, Nazary dan datuknya. Perasaannya bercampur baur antara kagum dan marah. Dia kagum melihat keberanian Ilham yang tiba-tiba saja muncul dalam masa yang sama dia marah kerana gadis itu berani memarahinya. Wajah Ilham direnung tajam. Tangan gadis itu yang masih memegang lengannya ditolak kasar.
“Kau nak cakap apa?” soal Kyriel kasar. 
“Saya tak nak duit ni,” ujar Ilham sambil menghulurkan wang yang diberi Kyriel tadi. 
Kyriel hanya membatukan diri. Huluran Ilham dibiarkan tidak bersambut.
“Aku ulang sekali lagi, kau nak apa? Kalau tak ada apa-apa aku nak pergi.” Kyriel berjalan sedikit. Tanpa disedari automatik tangan Ilham menarik lengan lelaki itu sekali lagi, takut Kyriel akan benar-benar pergi.
“Yang kau ni dari tadi asyik nak pegang aku ni kenapa? Kau suka pada aku ke?” soal Kyriel selamba.
Menyedari keterlanjurannya, Ilham segera melepaskan pegangannya. Pipinya hangat menahan malu.
“Saya nak minta maaf.”
“Apa salah yang kau dah buat?” Sindir Kyriel.
“Saya mengaku saya berbual pasal awak dengan kawan saya tadi. Tapi saya tak cakap benda bukan-bukan pun. Saya cuma beritahu dia pasal kita ke kampung-kampung tu aje. Itupun sebab saya perlukan bantuan dia. Saya minta maaf sebab langgar syarat-syarat awak,” terang Ilham.
Dia memandang wajah Kyriel. Pandangan mereka saling bertaut. Melihat sinar mata Ilham yang jernih, Kyriel tahu gadis itu benar-benar ikhlas memohon maaf padanya. Entah kenapa saat pandangan mereka bertaut, hatinya berdebar kencang. Kenapa dengan aku ni?
“Saya betul-betul minta maaf. Kalau awak tak nak maafkan saya pun tak apa sebab saya tahu saya yang salah. Cuma tolong ambil semula duit ni. Saya tak boleh terima sebab saya tak buat kerja saya dengan betul,” pinta Ilham sekali lagi bila Kyriel dilihat hanya mendiamkan diri.
“Kalau aku maafkan kau, boleh kau janji kau tak akan langgar syarat aku lagi?” tanya Kyriel. Dalam waktu yang sama, ada sesuatu perasaan aneh yang dirasakan dalam hati. Kenapa semudah ini anginnya berubah? Dia sepatutnya masih marahkan gadis itu tetapi bila melihat wajah Ilham yang muram laju saja ayat itu keluar dari mulutnya. Kenapa dengan aku ni?
Wajah sugul Ilham tiba-tiba bertukar ceria bila mendengar kata-kata Kyriel. Nampaknya hati lelaki itu tidaklah sekeras mana.
“Ya. Saya janji saya akan ikut semua syarat awak tu,” balas Ilham sambil mengangkat tangan kanannya. 
Kyriel hanya mengelengkan kepala melihat gelagat Ilham. Dia kemudian berpusing dan berjalan semula. Baru beberapa langkah dia berjalan, dia berhenti.
“Kau tercegat lagi dekat situ kenapa? Siapa yang nak bawak kereta buruk tu kalau kau masih berdiri dekat situ?”
Ilham menguntum senyum gembira. Yes, dia dah maafkan aku! Dia segera mendapatkan Kyriel.
“Terima kasih, awak,” kata Ilham.
“Untuk apa?”
“Sebab sudi maafkan saya.”
Kyriel hanya menjungkitkan bahunya. Malas mahu memanjangkan perkara itu lagi. Tiba-tba dia teringatkan sesuatu.
“Tadi kau cakap kau call kawan kau tu sebab perlukan bantuan dia. Bantuan apa?”
“Oh, saya cuma nak tanya dia pasal jalan nak ke kampung-kampung yang kita nak pergi nanti,” jawab Ilham laju.
Kyriel mula rasa pelik. “Kenapa kau nak tanya pada dia pulak? Kau tak tahu ke jalan nak ke tempat-tempat tu?”
“Saya tak berapa arif sangat. Abang Johan tu anak jati pulau ni, jadi semua selok belok pulau ni dia tahu. Sebab tu saya minta tolong dia.”
Langkah Kyriel terhenti. Perasaannya mula membara. “Kau pun anak jati pulau ni kan? Tak kan kau tak arif pasal selok belok tempat ni?” soal Kyriel. 
Nada suara Kyriel sudah mula bertukar. Ilham menekup mulutnya. Ya Tuhan, aku dah terlepas cakap! Kerana terlalu gembira bila Kyriel memaafkan dirinya tadi, Ilham tidak sedar dia sudah membocorkan sendiri rahsianya.
“Ilham Insyirah? Care to explain?” Kyriel bersuara tenang. Tetapi Ilham tahu, ketenangan itu hanya nampak di luar sedangkan di dalamnya lelaki itu seperti gunung berapi yang hanya menunggu masa untuk memuntahkan larvanya. Ilham mula kecut perut. Mak Lang, tolong Ilham....

Tuesday, July 24, 2012

Bab 12



Kereta yang dipandu Ilham berhenti di hadapan sebuah gerai menjual air. Sangkanya gadis itu mahu berhenti membeli air tetapi bila Ilham mematikan enjin dan Kyriel mula hairan. Dia memerhatikan keadaan luar dari dalam kereta. Beberapa orang dilihatnya berjalan memasuki sebuah pintu kecil di sebelah gerai menjual air itu. Keadaan sekelilinginya hanya dilitupi pokok-pokok yang menghijau. Tempat apa ni?
“Okay, kita dah sampai destinasi pertama kita,” ujar Ilham ceria. Dengan senyuman terukir di bibir, dia berpusing mengadap Kyriel. Senyuman di bibirnya mati bila melihat wajah Kyriel yang berkerut.-kerut memandangnya. Aduh, salah apa pula yang aku dah buat ni?
“Kita di mana ni?” tanya Kyriel.
“Err...Makam Mahsuri.”
“Apa? What the hell are we doing here?” Bulat mata Kyriel memandang Ilham. Makam? Buat apa pergi makam? Aku bukan nak cari orang mati!
“Nak berjalan-jalan lah. Bukan ke awak kata nak pusing-pusing pulau ni? Tempat pertama yang orang akan lawati kalau melawat Langkawi ialah Makam Mahsuri ni. Salah satu tempat paling penting dalam sejarah Langkawi . Jadi saya bawalah awak ke sini.”
“Apa yang kau nak aku buat dekat sini?”
“Melawatlah. Tengok sediri dengan mata kepala awak sejarah tentang wanita lagenda pulau ni. Tengok rumah tempat dia membesar, perigi yang dia gunakan semasa hayat dia. Awak tahu tak, air perigi ni sejuk sepanjang masa tau. Orang kata air tu boleh jadi azimat. Dan tengok sendiri makam tempat dia bersemadi,” terang Ilham satu persatu.
Walaupun suara dia kedengaran tenang, tetapi hanya Tuhan saja yang tahu hatinya kini sedang berdebar kencang. Lebih-lebih lagi bila dia melihat wajah Kyriel yang merah menahan marah.
Awatlah, cepat sangat nak marah dia ni. Mengalahkan perempuan datang bulan. Asyik nak naik angin aje.
“Kalau aku nak belajar pasal sejarah Mahsuri, tak payah aku terbang berbatu-batu jauhnya sampai ke sini. Dalam buku sejarah pun aku boleh belajar. Dan apa yang aku boleh dapat kalau aku tengok tempat dia membesar atau perigi yang dia gunakan? Aku bukan orang yang pendek akal nak percayakan benda-benda macam azimat tu. Come on, azimat apa yang air tu boleh bagi? Boleh sembuhkan penyakit orang? Boleh buat orang jadi kaya? Kalau hebat sangat air perigi tu, pergilah bawa ke hospital supaya orang-orang sakit tu boleh sihat. Atau kau bagi aje pada peminta-peminta sedekah tepi jalan tu supaya diaorang boleh jadi kaya!”
Ilham mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ke situ pulak mamat ni. Dia kehilangan kata-kata. Belum pernah lagi dia berhadapan dengan situasi macam ini. Sepanjang dia menjadi guide tidak bertauliah di pulau ini, ini baru pertama kali dia bertemu dengan orang yang berperangai macam Kyriel. Selalunya orang ramai memang tidak sabar-sabar untuk melawat makam Mahsuri, wanita lagenda Pulau Langkawi. Semua oranng ingin melihat sendiri dengan lebih dekat lagi sejarah wanita ini. Tapi Kyriel Iskandar pula sebaliknya. Ilham buntu. Apa yang lelaki ni nak sebenarnya?
Kyriel menarik nafas dalam-dalam. Cuba menahan rasa marah yang sedang membuak-buak dalam dadanya. Bertenang Kyriel, bertenang. Perlahan dia berpusing mengadap wajah gadis di sebelahnya.
“Apa yang Noni beritahu kau?”
“Maksud awak?”
“Tentang tujuan sebenar aku upah kau?!”
“Err...dia cakap awak nak pakai guide untuk bawa awak pusing-pusing pulau ni.”
“Lagi?”
“Awak nak anak jati pulau ni untuk jadi guide awak. Dia cakap awak nak ke tempat yang banyak pelancong asing,” tambah Ilham.
Kyriel terus memandang Ilham, menanti ayat yang seterusnya. Tetapi bila dilihatnya Ilham juga memandangnya dengan wajah penuh tanda tanya, dia mengeluh kasar. Melihat dari air muka Ilham yang terkulat-kulat itu, dia pasti Noni tidak memberitahu gadis itu tujuan sebenarnya mengupah guide untuk mengelilingi pulau ini.
“Noni tak beritahu kau yang aku bukan nak melawat tempat-tempat mengarut ni?”
Ilham mengeleng kepala. Dia mula rasa tidak sedap hati. Entah kenapa dia dapat merasakan apa yang bakal keluar dari mulut Kyriel sebentar lagi akan mendatangkan masalah padanya.
“Aku perlukan guide untuk bawa aku ke seluruh Langkawi ni. Dan bila aku kata seluruh Langkawi, aku maksudkan seluruh pulau ni termasuk mana-mana pulau sekelilingnya yang di duduki manusia. Dari utara ke selatan, barat ke timur. Aku nak kau bawa aku ke kawasan kampung, pekan atau mana-mana tempat yang jadi tumpuan warga asing terutamanya orang Eropah. Bukan tempat-tempat yang selalunya orang lawati tu, tapi kawasan mereka berkumpul. Kawasan yang ada di duduki mereka terutamanya kawasan berhampiran pantai. Faham?”
Ilham menelan liur. Tekaknya terasa kelat. Dari utara ke selatan, barat ke timur? Maknanya dia harus membawa lelaki itu ke seluruh kawasan pulau! Di kepalanya mula terbayangkan kawasan pulau yang lebih kurang 47,000 hektar dan dikelilingi pulau-pulau kecil yang lebih daripada 90 buah itu. Patutlah lumayan bayaran dia. Aduh! Macamana ni? Aku mana pernah pusing satu pulau. Setakat tempat-tempat orang datang melawat tu aku tahulah. Tempat lain aku mana tahu. Kawasan timur pulau ni pun aku tak habis jelajah lagi. Ilham, apa yang kau nak buat ni?
“Kau faham tak apa yang aku cakap ni?” soal Kyriel bila melihat Ilham hanya mendiamkan diri.
“Awak nak saya bawa awak ke seluruh pulau ni?” tanya Ilham sambil tangannya menunjukkan tanda bulatan.
Kyriel memeluk tubuhnya sambil merenung Ilham. Malas mahu mengulang ayat yang sama. Ilham menelan liur sekali lagi.
“Awak nak saya bawa awak pergi ke semua pulau disekeliling main island ni?”
“Setiap inci.”
Ilham mula panik. Kepalanya ligat memikirkan apa yang harus dibuatnya. Bawa keliling setiap inci Pulau Langkawi? Kalau setakat Pekan Kuah tu kira okaylah. Yang lain-lain tu macamana? Mana aku tahu kat mana ramai orang putih melepak. Kalau aku mengaku dekat dia, nanti terbocorlah rahsia aku menipu dia tadi. Tak pasal-pasal Kak Noni pun kena sama. Aduh! Kat mana aku nak mula dulu ni?
“Kita mulakan di Pekan Kuah,” ujar Kyriel tiba-tiba.
Ilham tersentak mendengar jawapan Kyriel. Macam tahu-tahu aje apa yang tengah fikir. Melihat senyuman sinis di bibir Kyriel baru Ilham tersedar rupanya soalan yang bermain dihatinya tadi telah terkeluar dari bibirnya. Isyhh..mulut ni. Berhati-hatilah sikit bila nak bercakap tu! Dengan hati yang berat Ilham menghidupkan enjin keretanya.
Saat itu dia teringat satu pepatah lama yang dipelajarinya di sekolah dahulu. Jangan sekali-kali memulakan penipuan kerana sekali kau menipu kau terpaksa menipu lagi untuk menutup penipuan kau yang lepas dan perkara itu akan berterusan tanpa berhenti. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa janganlah timbul apa-apa hal yang tidak diingini.

Wednesday, July 18, 2012

Bab 11


Mata Ilham memandang lurus ke hadapan. Dia berpura-pura sedang menumpukan sepenuh perhatiannya ke arah jalan raya sedangkan dalam hatinya berdebar kencang menahan rasa gelisah bila dirinya asyik direnung Kyriel Iskandar. Ilham perasan, sejak mereka masuk ke dalam perut kereta tadi mata Kyriel tidak purus-putus memandangnya. Kenapa dengan dia ni?
            “Berapa umur kau?” Soal Kyriel tiba-tiba.
Ilham tersentak. Apa ke hal pula nak tanya pasal umur aku ni?
            “Err...19 tahun...” Dalam masa lima hari lagi, tambah Ilham dalam hati.
           “Betul ke?” Soal Kyriel tidak percaya. Tubuh badan gadis itu yang kecil molek membuatkan dia sukar mempercayai Ilham sudah berusia 19 tahun. Sangkanya tadi usia gadis itu jauh lebih muda.
Ilham menoleh sekilas ke arah Kyriel yang masih merenungnya. Dia sempat menangkap senyuman sinis yang terbit dari mulut lelaki itu.
            “Awak nak tengok kad pengenalan saya ke sebagai bukti?” Tukas Ilham geram. Tapi dalam pada itu ada juga rasa risau. Buatnya betul lelaki itu minta kad pengenalannya, tidak ke naya?
            Kyriel Iskandar ketawa kecil. Dia melemparkan pandanganya ke luar tetapi beberapa saat kemudian dia memandang semula ke arah Ilham.
           “Dah lama kau buat kerja ni?” Kyriel bertanya lagi. Entah kenapa dia berminat untuk mendengar cerita gadis itu.
        “Taklah lama sangat. Baru 2-3 tahun. Saya buat kerja ni secara sambilan aje, untuk cari duit sampingan.” Ujar Ilham. Tiba-tiba dia merasa bersalah pula kerana membohongi Kyriel Iskandar. Dua hingga tiga tahun yang dimaksudkannya tadi sebenarnya baru setahun lebih. Walaupun sudah tiga tahun dia menetap di sini tetapi hanya selepas SPM baru dia mula menjalankan kerja ini. Itupun setelah dia bersusah payah melawan kehendak mak langnya yang mahu dia menyambung pelajaran dan kerana wang simpanan peninggalan arwah ibu dan ayahnya sudah makin susut.
            “Kau orang Langkawi?” Soal Kyriel lagi.
            “Arwah ibu saya berasal dari daerah ini. Jadi kiranya saya pun orang sini juga lah.” Jawab Ilham. Dia mulai rimas dengan soalan demi soalan yang diutarakan Kyriel Iskandar. Takut pun ya. Manalah tahu kalau dia tersalah kata. Tidak fasal-fasal kantoi dengan mat saleh celup ini.
           “Arwah? Bila ibu bapa kau meninggal?” Hati Kyriel dilanda sedikit rasa bersalah bila mendengar perkataan ‘arwah’ keluar dari mulut gadis itu.
            “Ibu dan ayah meninggal tiga tahun lepas.” Balas Ilham perlahan. Wajah arwah ibu dan ayahnya tiba-tiba muncul di benaknya tetapi segera ditepis Ilham. Dia tahu kalau dia melayan perasaan, pasti air matanya akan mengalir dan dia tidak mahu menanggis di hadapan Kyriel Iskandar.
            “Maaf sebab semalam aku cakap macam tu pasal parent kau.” Ujar Kyriel kesal.
           “Tak apa. Kan saya dah cakap tadi, kita lupakan saja persitiwa semalam.” Ilham melemparkan sebuah senyuman kepada lelaki di sebelahnya.
Kyriel terpempam seketika. Manis juga bila dia tersenyum, getus hati kecilnya. “Berapa kau charge untuk diri kau ni?” Soal Kyriel lagi.
            “Apa?” Tanya Ilham separuh menjerit. Gila ke apa dia ni? Dia ingat aku ni apa? Pelacur? Nak kena tampar sekali lagi ke? Ilham memberhentikan keretanya di bahu jalan. Dia berpusing mengadap Kyriel Iskandar.
            “Awak tanya saya berapa bayaran untuk diri saya?” Ilham menyoal Kyriel marah. Hatinya menjadi sakit bila melihat lelaki itu tersenyum sinis.
            “Iyalah. Aku tanya berapa kau bayaran yang kau kenakan untuk bawa aku pusing pulau ini.” Balas Kyriel selamba.
Wajah Ilham merah merona menahan malu kerana salah faham dengan soalan lelaki itu tadi.
            “Kenapa? Kau ingat aku bertanya tentang apa?” Kyriel ketawa sinis. “Jangan risau. Kau bukanya taste aku pun. Aku tak berminat dengan perempuan macam kau.”
            Ilham mengetap bibir. Eleh, macam lah aku minat sangat dekat kau. Dia meneruskan semula perjalanan. Dia memasang radio sebagai isyarat tidak mahu berbual dengan Kyriel. Walaupun dia tahu sebagai pemandu dia harus berkomunikasi dengan pelanggan tetapi dia malas mahu berbicara dengan lelaki. Lebih-lebih lagi setiap bait ayat yang keluar dari mulut lelaki itu asyik menyakitkan hatinya sahaja.
            “Kau bekerja sampai pukul berapa?” Kyriel bersuara kembali. Kali ini lelaki itu tidak lagi merenungnya seperti tadi sebaliknya dia melemparkan pandangannya ke luar.
            “Selalunya saya selesaikan kerja ni sampai pukul 6.00 petang sahaja. Tapi kadang-kadang kalau ada tourist nak nikmati suasana malam di sini, saya akan kerja sampai pukul 9.00 malam,” beritahu Ilham.
            “Baiklah. Aku akan bayar seribu ringgit untuk tiga hari aku di sini. Kau cuma perlu kerja sehingga pukul 6 sahaja. Tapi kalau terpaksa, kau kena kerja sampai malam. Mungkin melebihi jam 9 malam. Jangan risau, setiap jam tambahan kau kena kerja, aku akan bayar lima puluh ringgit untuk setiap satu jam. Setuju?” Tanya Kyriel.
            “Setuju!” Tanpa berlengah Ilham terus menjawab. Tawaran yang diberikan Kyriel memang lebih dari apa yang selalu diperolehinya. Wang sebanyak itu lebih dari cukup untuknya membeli ubat-ubatan Azieqah malah dia masih punya baki untuk di simpan. Dalam hati dia tidak putus-putus berterima kasih pada Noni kerana mengenalkan dia dengan lelaki kaya ini.
            Mereka meneruskan perjalanan dengan diiringi alunan muzik dari radio. Ilham ingin bertanya kepada Kyriel destinasi pertama yang ingin dia lawati tetapi belum sempat dia mahu membuka mulut, telefon bimbit lelaki itu berbunyi. Menyangkakan lelaki itu akan menjawab panggilan tersebut, Ilham segera memperlahankan bunyi radio. Namun lelaki itu tidak mengendahkan deringan telefonnya sebaliknya hanya membiarkan panggilan itu mati begitu sahaja.
            Beberapa ketika kemudian telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Seperti tadi, Kyriel hanya memandang sekilas nama yang tertera di skrin telefon dan dibiarkan sahaja panggilan itu tidak berjawab. Keadaan menjadi sunyi semula tetapi beberapa saat kemudian telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Kali ini Ilham mendengar lelaki itu mendengus kasar sebelum panggilan itu dimatikan.
            “Kalau awak tak nak terima panggilan tu, baik awak off kan saja telefon tu. Kesian dekat orang yang menelefon tu kalau awak terus biarkan panggilan dia tak bersahut.” Ujar Ilham perlahan. Dari ekor matanya dia melihat Kyriel merenungnya tajam.
            “Aku lupa nak beritahu kau sesuatu.” Ujar lelaki itu mendatar.
Ilham menelan liur mendengar nada suara Kyriel yang kedengaran terlalu tenang. Ekspresi muka dan nada suaranya yang tidak sepadan cukup untuk membuatkan Ilham tahu yang lelaki itu sedang marah.
            “Err...saya minta ma...”
            “Sepanjang kau kerja dengan aku ni, ada tiga syarat yang kau perlu tahu. Pertama, jangan campur urusan aku dan pandai-pandai nak beri pendapat kau. Kedua, jangan persoalkan apa yang aku buat. Dan yang ketiga, dan ini yang paling penting sekali. Apa sahaja yang kau dengar atau tengok sepanjang kita bersama ni, aku nak kau rahsiakan. Kalau hal ini tersebar aku tak akan teragak-agak ambil tindakan pada kau. Faham?” Tegas lelaki itu.
            Wajah Ilham ditenung garang. Sakit hatinya mendengar kata-kata gadis itu tadi. Memang menjadi kepantangan Kyriel kalau ada orang yang cuba menegur perangainya. Sudahlah dia sedang geram bila melihat nombor telefon dari pejabat mamanya tertera diskrin telefon, Ilham pula menambahkan lagi rasa marahnya dengan kata-kata sinisnya tadi. Memang kau saja cari nahas, Ilham!
            Ilham mengangguk laju kepalanya. Hatinya berdebar kencang mendengar amaran lelaki itu. Tidak sampai satu jam dia bersama dengan lelaki itu dah bermacam-macam perangai Kyriel yang dilihatnya dan tiada satu pun yang menyenangkan. Aduh, tiga hari aku kena bersama dia. Boleh sakit dada dibuatnya ni! 

Bab 10



Kyriel beredar meninggalkan Ilham dan Noni. Kalau aku tahulah dia orangnya baik aku cari sendiri guide tu. Menyesal sungguh dia kerana meminta Noni membantunya mencari seseorang yang boleh membawa dia mengelilingi pulau ini untuk mencari papanya. Budak tak betul tu yang dicarinya? Apa dah tak ada orang lain ke kat Langkawi ni? Gumamnya dalam hati.


“Tunggu!” Ilham menjerit memanggil Kyriel Iskandar. Namun lelaki itu terus melangkah meninggalkan dia dan Noni yang termangu-manggu di sisinya. 

“Kenapa ni Ilham? Korang dua orang kenal ke?” soal Noni. Dia tidak faham apa yang terjadi antara mereka berdua. 

“Panjang ceritanya Kak. Nantilah Ilham cerita kemudian,” balas Ilham. Dia kemudian meninggalkan Noni dan berlari mengejar lelaki itu. Matanya melilau mencari kelibat Kyriel Iskandar yang sudah hilang dari pandangannya. Mana pulak dia ni pergi? Ilham mencari di kawasan hotel tetapi bayang lelaki itu tidak kelihatan. Isyy...pelik betul. Tak kan sekejap je dah hilang? Ilham berjalan keluar ke kawasan tempat letak kereta. 

Tiba-tiba matanya ternampak orang yang dicarinya sedang berdiri di bawah sepohon pokok berhampiran dengan tempat dia meletakkan keretanya tadi. Ilham menarik nafas dalam-dalam. Dia membaca doa di dalam hati, berharap lelaki itu sudi melupakan apa yang terjadi semalam. Dia melangkah ke arah lelaki itu.

“Errr...Encik Kyriel Iskandar?” panggil Ilham lembut. Melihat cara lelaki itu memandangnya Ilham menjadi sedikit gerun. Amboi, garangnya. Macam nak makan orang!

“Encik nak cari guide kan?” Ilham tersenyum manis, cuba memancing hati lelaki itu agar segera lembut tetapi riak wajah lelaki itu masih tidak berubah. Ilham menelan liur. Macamana nak buat ni?

“Saya boleh jadi guide encik. Encik cakap aje mana nak pergi, saya akan bawakan,” ujar Ilham lagi.

“Aku nak orang yang kepala otaknya betul untuk jadi guide aku. Bukan orang macam kau!” balas lelaki itu kasar. Matanya merenung tajam wajah Ilham. Sayang, muka comel tapi kepala otak tak betul. Desisnya dalam hati.

Tak betul? Dia kata aku gila? Mulut dia ni memang lancang betullah! Ilham cuba menahan rasa. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia membalas kata-kata lelaki di hadapannya itu tetapi bila memikirkan dia memang memerlukan wang, dia mengajar hatinya bersabar. Sabar Ilham. Ingat, kau kena cari duit untuk beli ubat Azie.

“Saya minta maaf pasal hal semalam tu. Saya bukan selalu buat hal macam tu.”

“Buat hal yang mana satu? Melompat atas feri atau menampar lelaki?” soal Kyriel sinis. Mukanya masih terasa perit kesan ditampar Ilham semalam. Walaupun gadis itu kecil sahaja tetapi tamparannya agak berbisa. Padan muka aku pun. Siapa suruh cakap ikut sedap mulut aje.

“Macam nilah, kita lupakan aje hal tu boleh? Saya mengaku saya yang salah. Saya memang tak patut buat stunt macam tu semalam dan saya juga tak patut tampar muka awak. Saya minta maaf sekali lagi, ya?” Ilham menghulurkan tangannya. Kyriel serba salah mahu menyambut huluran tangan gadis itu. Sebahagian darinya mahu melupakan peristiwa semalam. Lagipun hal itu hanya perkara remeh sahaja. Tetapi ego lelakinya menghalang dia menerima permohonan maaf gadis itu.

Melihat lelaki itu tidak sudi memaafkannya, Ilham menarik semula huluran tangannya. Wajahnya bertukar muram. Besar sangatkah salah yang aku buat semalam sampai dia tidak mahu memaafkan aku? Hal lompat atas feri memang aku yang salah, tapi tamparan aku tu memang dia patut terima, kan? Siapa suruh dia libatkan nama ibu dan ayah?

“Kalau awak tak nak maafkan saya, tak apalah. Nanti saya minta Kak Noni carikan guide lain untuk awak,” ujar Ilham. Dia berpusing meninggalkan lelaki itu. Baru beberapa langkah dia berjalan, dia terdengar namanya dipanggil. Pantas dia menoleh semula ke arah lelaki itu.

“Mana kereta kau? Aku dah tak ada masa nak tunggu guide lain datang. Tapi ingat, jangan cuba nak buat kerja bodoh lagi atau aku tak akan lepaskan kau, faham?” Kyriel memberi amaran.
Ilham melemparkan senyuman pada lelaki itu. Yes! Memang dah rezeki aku ni.
****
Zarith Sofea merenung tajam wajah pembantunya, Amir. Tangannya digenggam kuat cuba menahan rasa marah yang kini muncul dalam hatinya. Berita yang dikhabarkan Amir betul-betul membuat darahnya mendidih.

“Dah hampir seminggu Tuan Kyriel tidak hadiri kelasnya, puan. Menurut sumber kita, Tuan Kyriel dipercayai dah pulang ke Malaysia. Saya dah periksa senarai penumpang dari UK dan nama Tuan Kyriel memang ada tersenarai dalam penerbangan beberapa hari lepas. Tapi selepas dia tiba di sini, kami dah tak dapat mencari dia.” Lapor Amir kepada majikannya.

“Dah seminggu tapi you masih tak jumpa dia? Hana, you dah tanya pada Eddy?” soal Zarith Sofea pada setiausahanya. 

“Sudah, puan. Tapi Encik Eddy masih tak mahu beritahu saya apa-apa,” jawab Hana takut-takut. Dia gerun melihat wajah wanita di hadapannya yang sudah menyinga.

“Kerja mudah macam ni pun you all tak boleh buat? Apa besar sangatkah Malaysia ni sampai you all tak boleh cari dia?” tempelak Zarith Sofea. 

Hana dan Amir saling berpandangan. Masing-masing hanya mendiamkan diri. Mereka tahu, dalam keadaan yang macam ini lebih baik mereka berdiam diri daripada bercakap apa-apa yang boleh menaikkan lagi api kemarahan majikan mereka itu.

“I tak peduli apa cara sekalipun, I nak you cari Kyriel sampai dapat. Hana, keep on calling Eddy and ask him about Kyriel.” Zarith Sofea menyampaikan arahannya. Hana segera keluar dari bilik itu untuk menjalankan tugasnya.

“Amir, suruh orang-orang kita di UK cari Eddy. Kalau cara lembut tak boleh jalan, you all guna saja cara kasar. By hook or by crook, you have to find Kyriel!” 

Amir menundukkan kepala tanda faham dengan arahan Zarith Sofea. Dia segera keluar meninggalkan Zarith Sofea berseorangan di dalam bilik.

Wanita berusia lewat 40-an itu bangun dari kerusinya. Dia bergerak ke arah cermin tingkap yang terletak di belakangnya. Pandangannya dilemparkan ke luar. Dari tingkat 26 bangunan pejabatnya itu dia dapat melihat dengan jelas pemandangan kota Kuala Lumpur. Dia terasa betapa berkuasanya dirinya bila melihat bangunan-bangunan kecil yang berada disekeliling Menara Empire Holdings. 

“Mama tak akan izinkan kau ketepikan semua ini, Kyriel. Ini semua hak kamu. Kamu tak boleh mempersia-siakan pengorbanan mama selama ini. Apa cara sekalipun, kamu harus warisi semua ini. Nazary dah tak ada, hanya kau harapan mama.” Ada air jernih yang bergenang di mata wanita itu tatkala dia mengucapkan kata-kata itu.

“You masih tak jumpa Kyriel?” soal satu suara yang tiba-tiba muncul di belakang Zarith Sofea. Zarith Sofea menoleh. Wajah kawan baiknya, Mustakim dipandangnya sekilas sebelum pandangannya beralih semula ke luar.

“You tak cuba telefon Adam? Mana tahu dia tahu di mana Kyriel?” Mustakim memberi cadangan.

“Jangan you sebuat nama lelaki tak guna tu! Dia dah mati! Sejak dia buat keputusan nak tinggalkan kami semua, I dah anggap dia mati,” marah Zarith Sofea. Dia benar-benar membenci bekas suaminya itu. Hanya kerana sejumlah wang, lelaki yang dikahwini tapi restu bapanya itu sanggup meninggalkan mereka sekeluarga.

“Sorry. I tak bermaksud nak sakitkan hati you,” ujar Mustakim. Dia kesal kerana menyebut nama Adam Abdullah di depan Zarith Sofea. Dia tahu wanita di hadapannya itu sangat membenci lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa mulutnya laju saja menuturkan nama Adam tadi.

Zarith Sofea hanya diam membisu. Walaupun dia marah mendengar nama Adam disebut-sebut, tapi dia tahu dia tidak sepatutnya melempiaskan marahnya pada Mustakim. Lelaki itu terlalu baik. Sejak ditinggalkan suami, Mustakimlah yang sentiasa berada disampingnya. Membantu dirinya melawan kedegilan ayahnya, Datuk Khairuddin.

“I tak tahu apa Kyriel nak. I sedar hubungan kami berdua tak sebaik mana tapi I ingatkan lepas pemergian Nazary, kami akan rapat. Tapi makin teruk pula jadinya.” Zarith Sofea mengadu pada Mustakim. 

“You tahu tak, dulu masa kami semua di UK, Kyriel tak pernah nak berenggang dengan I. Malah dia lebih rapat dengan I berbanding arwah Naz. Tapi sejak Adam tinggalkan kami semua, Kyriel mula jauhkan diri dari I. Dia macam bencikan sangat I ni. I sendiri tak tahu apa puncanya, Mus. Entah racun apa yang Adam dah serapkan dalam fikiran dia, I pun tak tahu.” Hati Zarith Sofea panas membara bila nama Adam Abdullah disebutnya. 

Perasaan menyesal menyusup keseluruh jiwanya bila mengenangkan kedegilannya mengahwini Adam Abdullah, pelukis jalanan yang dikenali ketika dia melanjutkan pelajaran di UK. Walaupun ditentang hebat oleh ayahnya, Datuk Mahfuz, dia sanggup membelakangkan keluarga kononya kerana cinta. Dia tidak mengendahkan amaran ayahnya yang Adam mengahwini drinya hanya kerana harta dan wang ringgit. Namu kebenaran kata-kata ayahnya itu terserlah juga bila Adam meninggalkan mereka sekeluarga selepas dia memperolehi sejumlah wang dari Datuk Mahfuz. Dan sejak hari itu, dia membenci Adam Abdullah.

“Mungkin itu perasaan you aje, Sofea,” Suara lembut Mustakim mengejutkan Zarith Sofea dari kenangan lama.

“Tidak, Mus. I yakin, lelaki jahaman tu mesti dah buruk-burukkan I pada anak-anak I. Kalau tidak masakan mereka bersikap macam tu pada I? I tahu arwah Nazary pun bencikan I tapi dia pendamkan perasaan dia sebab rasa hormat dia pada I. Cuma Kyriel aja yang berani tunjukkan perasaan dia tu terang-terangan pada I!” tukas Zarith Sofea.

Mustakim hanya mendengar keluhan hati Zarith Sofea. Jauh disudut hatinya dia berasa kasihan dengan wanita yang dicintainya secara diam-diam itu. Dia ingin membantu tetapi dia tidak berdaya. Ada kebenaran dalam kata-kata Zarith Sofea. Siapa sahaja yang mengenali mereka sekeluarga pasti akan dapat merasai ‘kedinginan’ dalam hubungan wanita itu dengan anak-anaknya. Cuma bezanya Nazary masih mahu mendengar kata Zarith Sofea sebaliknya Kyriel Iskandar lebih suka memberontak dan mengingkari kata-kata mamanya. Mungkin betul kata Zarith Sofea. Adam Abdullah meracuni fikiran anak-anaknya sehingga mereka membenci ibu sendiri. Dan kalau benarlah telahan itu, Mustakim tidak akan melepaskan lelaki itu.

“You nak I tolong carikan Kyriel? I boleh minta kawan-kawan I di Bukit Aman jejaki dia,” tanya Mustakim. Zarith Sofea mengelengkan kepalanya.

“Tak apalah. I dah arahkan orang-orang I cari dia. Kalau dalam masa dua hari ni mereka masih tak jumpa dia, I akan hubungi you, okay?” Balas Zarith Sofea. Nada suaranya yang kedengaran keras tadi bertukar menjadi lembut. Hatinya terharu dengan kebaikan Mustakim walaupun dia pernah melukakan hati lelaki itu satu ketika dahulu. Maafkan I, Mus. Kalaulah dari dulu I dengar cakap ayah dan setuju berkahwin dengan you, mesti kita bahagia sekarang.

Monday, July 16, 2012

Bab 9

Ilham menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg galasnya. Senyuman terukir di wajahnya selepas menjawab panggilan telefon Kak Noni, pegawai khidmat pelanggan di Awana Porto Malai.

“Dia request hendakkan anak jati pulau ini untuk bawa dia pusing-pusing sekitar Langkawi. Akak tahu kau nak pakai duit sangat, jadi akak cadangkan kau aje tadi. Dia sanggup nak bayar lebih dari harga biasa asalkan kau sanggup bawa dia tour satu pulau ni. Boleh kau datang sekarang? Akak beritahu dia tadi yang kau akan datang dalam pukul 8.30.” 

Tanpa teraga-agak, Ilham terus sahaja bersetuju dengan permintaan Noni tadi.

Dia memang amat memerlukan duit ketika ini. Kalender yang tergantung di belakang pintu biliknya di belek. Tarikh yang dibulatkan dengan marker merah diperhatikannya. Ilham mengira di dalam hati. Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan...Ada lapan hari lagi sebelum dia harus ke hospital untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan untuk Azieqah.
Sebolehnya Ilham tidak mahu mengusik wang simpanan di dalam banknya. Duit itu dikumpul khas untuk membiayai pembedahan Azieqah kelak. Walaupun masih banyak lagi yang diperlukan, tetapi Ilham yakin jika dia berusaha lebih kuat lagi, dia akan mampu mendapatkannya.

Ilham berpusing menghadap cermin. Hari ini dia mengenakan pakaian yang biasa dipakainya apabila dia bertugas menjadi pemandu pelancong. Sehelai jeans lusuh biru, dipadankan pula dengan kemeja-T berwarna hijau muda. Rambut pendek paras bahunya di sisir rapi. Nampak macam budak-budak sangat pulak. Gumam Ilham seorang diri sambil tangannya menanggalkan klip rambut berwarna hijau yang disisip ke rambutnya.

Kemudian dia mencapai cekak rambut berwarna putih di atas meja lalu dipakainya. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, barulah Ilham melangkah ke luar dari biliknya. Aroma bau kopi dan nasi lemak menyapa hidung Ilham sebaik sahaja dia keluar dari bilik. Serta merta perutnya yang tidak berisi apa-apa sejak malam tadi terasa lapar. Ilham memasang langkah menuju ke dapur.

Ketika sampai di dapur dia melihat Mak Lang Sakinah dan adiknya Azieqah sudah berada di meja. Sepingan nasi lemak yang belum terusik berada di hadapan Azie. Ilham dapat merasakan ada sesuatu yang berlaku antara kedua-dua mereka. Wajah kedua-duanya muram dan sebaik sahaja ternampak Ilham turun dari tangga yang memisahkan ruang depan dan dapur, wajah Azieqah bertukar marah. Apa pula yang aku dah buat kali ni? Keluh Ilham dalam hati. Kerana dia tidak mahu paginya dirosakkan dengan pertengkaran dengan Azieqah, Ilham berpura-pura tidak menyedari suasana tegang yang sedang dirasai.

“Selamat pagi Mak Lang, Azie!” Ilham bersuara ceria. Dia mengambil tempat di hadapan Azieqah.

“Hmmm...Mak Lang buat nasi lemak pagi ni ya? Bestnya!” Ilham mencapai pinggan lalu diceduk nasi lemak itu ke dalam pinggannya. Kemudian dia mengambil pula sambal tumis sotong kering, telur rebus, kacang tanah goreng dan timun lalu diletaknya ke dalam pinggan berisi nasi tadi.

“Mak Lang tak makan ke?” soal Ilham.

“Sekejap lagi Mak Lang makan. Ilham makan lah dulu.” Ujar Sakinah. Dia menuangkan air kopi ke dalam sebiji cawan lalu diletakkan di hadapan Ilham. Matanya merenung sayu ke arah Ilham yang sedang asyik bersarapan.

Kemudian pandangannya jatuh pada wajah Aziqah yang sedang merenung Ilham dengan pandangan tajam. Bila pandangan Azieqah bertaut dengannya, Sakinah segera mengelengkan kepalanya sebagai isyarat melarang Azieqah dari berkata apa-apa. Jangan Azie. Jangan rosakkan hari kakak kau. Jangan kau nak sakitkan hati dia pagi-pagi ni!

Tetapi seperti biasa, Azieqah tidak pernah mahu mengendahkan kata-katanya. “Kau masih berselera makan lagi, ya? Kau tak malu ke pada Mak Lang?” Azieqah menyoal Ilham kasar. Dia naik berang bila melihat Ilham tidak mengendahkan soalannya.

“Sudahlah kita ni menumpang aje di rumah ni, kau sanggup nak bagi Mak Lang jual rumah ni? Apa jenis manusia kau ni? Kau tak ada perasaankah?”

“Azieqah!” marah Sakinah. “Hormat sikit pada kakak tu. Kenapa cakap macam tu pada dia?”

“Ah...buat apa Azie nak hormat pada orang macam ni? Tak guna Azie hormat pada orang yang tak berhati perut macam dia ni!” balas Azieqah. Hatinya mendidih marah bila melihat Ilham masih tidak mengendahkannya dan terus menyuap nasi ke dalam mulut.

“Hoi! Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Azieqah menghentak meja, cuba menarik perhatian Ilham tetapi kakaknya itu hanya berdiam diri. Memang tak ada hati perut betul perempuan ni!

“Mak Lang tengok lah dia ni! Orang macam ni yang Mak Lang suruh saya hormat?”

“Sudahlah tu Azie. Jangan buat perangai macam ni depan rezeki. Tak baik.” Sakinah cuba menenangkan Azieqah. Matanya jatuh ke wajah Ilham yang kelihatan bersahaja. Namun Sakinah tahu, di dalam hati anak saudaranya itu sebenarnya sedang menahan rasa dengan kata-kata kasar Azieqah.

“Kau dengar sini Ilham. Kalau kau setuju Mak Lang nak jual rumah pusaka arwah Pak Lang ni untuk dapatkan duit bagi pembedahan aku, aku tak akan terima. Aku tak akan jalani pembedahan tu. Aku lebih rela mati, kau tahu tak ? Aku lebih rela mati!”

“Azieqah! Astafirullahalazim...mengucap Azie. Kenapa cakap sampai macam tu sekali? Kakak kamu tak salah dalam hal ni. Mak Lang yang buat keputusan ini sendiri. Ilham tak tahu apa-apa pun.” Sakinah menerangkan keadaan sebenarnya. Dia tidak mahu Ilham terus dipersalahkan sedangkan gadis itu tidak tahu menahu pun tentang hasratnya menjual rumah peninggalan arwah suaminya ini.

“Kak Ilham kamu tak setuju pun dengan tindakan Mak Lang ni. Dia dah suruh Mak Lang pergi bank...”

Ilham memotong kata-kata Sakinah. “Azie, dah pukul 7.15 dah ni. Sekejap lagi Pak Leh nak datang ambil Azie ke sekolah kan? Cepat makan. Tak baik biarkan nasi tu macam itu.”

Sakinah merenung Ilham, hairan. Kenapa Ilham menghalangnya memberitahu hal itu kepada Azieqah? Sekurang-kurangnya jika Azieqah tahu hal sebenarnya, dia tidak akan marah-marah lagi pada Ilham.

“Ilham?”

“Cepat makan Azie. Tak elok pergi sekolah dengan perut kosong.” Ujar Ilham. Dia tidak mengendahkan Sakinah yang memandangnya. Dia tahu Mak Langnya mahu memberitahu Azieqah tentang keputusannya malam tadi. Tapi untuk apa? Ilham tahu, apa pun tindakannya hanya akan mendatangkan kemarahan pada Azieqah. Tidak ada satu pun tindakan Ilham yang disenangi adiknya itu.

Entah kenapa, semenjak ibu dan ayah mereka meninggal Azieqah seolah-olah membenci dirinya. Puas dia cuba mencari di mana salahnya tetapi dia sendiri tidak tahu. Bila dia bertanyakan hal itu pada Azie, adiknya itu hanya akan mendiamkan diri. Sudahnya, Ilham hanya membiarkan sahaja sikap adiknya itu. Dia menganggap tindakan Azieqah itu hanya kerana dia mahu melepaskan geram. Mungkin kerana penyakit jantung yang dihidapinya membuatkan Azieqah menjadi begitu.

Azieqah mendengus marah. Tanpa menjamah nasi lemak di dalam pinggan, dia mencapai beg sekolahnya dan meluru keluar. Beberapa ketika kemudian, mereka terdengar bunyi pintu ditutup kasar. Sakinah hanya mampu mengeluh.

“Ilham, kenapa kamu selalu biarkan adik kamu buat macam tu?” ujar Sakinah lemah. Ilham hanya tersenyum hambar sebelum menjawab.

“Biarlah Mak Lang. Dia kan tengah sakit. Orang sakit memang selalu macam tu. Dia cuma nak lepaskan geram aje.” Ilham bangun dan membawa pinggannya ke sinki.

Tidak mahu hal itu dipanjangkan lagi, Ilham segera mengubah topik. “Ilham nak ke Awana sekejap lagi. Ada tourist nak pusing-pusing kat pulau. Kalau sempat Ilham balik petang nanti. Kalau tak, Ilham terus pergi cafe Abang Jo ya, Mak Lang?”

“Tak penat kah kamu nanti? Apa kata kamu ambil cuti aje dari Jo tu?” saran Sakinah.

Dia faham benar dengan tugas Ilham. Walaupun Ilham sudah menetapkan waktu dia bertugas hanya dari pukul 8.30 pagi hingga ke 5.30 petang tetapi adakalanya ia akan berlanjutan hingga ke malam. Ada sesetengan pelancong yang di bawa Ilham mahu menikmati suasana malam di Langkawi dan mereka sanggup membayar lebih. Dan Ilham pula tidak pernah menolak rezeki. Selesai tugasnya sebagai pemandu pelancong, dia akan ke cafe Helang untuk memulakan tugasnya sebagai pembantu di situ.

“Tak bolehlah Mak Lang. Semalam Ilham dah cuti, tak kan hari ni nak cuti lagi. Nanti apa pula kata Abang Jo.” Ujar Ilham. Bila melihat Mak Langnya mahu berkata sesuatu, Ilham segera mencapai tangan ibu saudaranya itu. Tangan wanita itu dicium.

“Ilham pergi dulu ya, Mak Lang.” Dia mengambil begnya dan segera meninggalkan dapur. Namun bila sampai di tangga, langkahnya terhenti.

“Mak Lang,” panggil Ilham. “Jangan lupa pergi bank nanti untuk batalkan urusan jualan rumah ni.” pesan Ilham. Tanpa menunggu balasan dari Sakinah, dia segera berjalan keluar.

****
Ilham tercungap-cungap berlari ke arah pintu masuk Hotel Awana Porto Malai. Jam ditangan dilihatnya sekali lagi. 8.50 pagi. Aduh! Dah lambat ni! Sampai di dalam hotel, dia segera menuju ke front desk mendapatkan Noni.

“Apasal kau lambat ni? Dia dah banya kali tanya. Kalau nak ikutkan dia, dia dah nak tukar guide lain tau! Nasib baik akak pujuk dia.” marah Noni.

“Sorry Kak Noni. Kereta buat hal tadi. Ilham terpaksa tukar kereta lain dengan Abang Jamal tadi.” terang Ilham. Entah kenapa kereta kancil lama milik arwah Pak Langnya buat hal di Pekan Kuah tadi. Mujur dia terserempak dengan Jamal, pengusaha kereta sewa di Langkawi. Dan lelaki yang yang tinggal berjiran dengan keluarganya itu sudi meminjamkan salah sebuah keretanya pada Ilham.

“Dah...dah...jom cepat. Dia tunggu kau kat luar.” Noni menarik tangan Ilham menuju ke pintu. Sambil berjalan, Noni sempat berpesan pada Ilham.

“Kau ingat tau Ilham. Kalau dia tanya, kau cakap kau tu memang orang Langkawi. Jangan cakap kau baru tiga tahun kat sini. Akak beritahu dia tadi kau tu memang anak jati Langkawi. Kau arif dengan selok belok tempat ni. Kalau dia tahu kau tu pun baru aje kat sini, naya akak!”

“Ala, akak jangan risaulah. Pandailah saya nanti. Lagipun, dia mesti nak berjalan-jalan di tempat biasa kan? Kalau setakat nak ke Makam Mahsuri, Telaga Tujuh, Gunung Raya, dan Padang Mat Sirat tu saya dah hafal sangat.” balas Ilham. Memang itu je tempat tourist nak pergi. Bukan susah sangat pun, bisiknya dalam hati.

“Akak harap macam tu lah. Dia pun cakap dengan akak tadi dia nak pergi tempat yang banyak pelancong luar negara ni. Sebab itu akak berani panggil kau. Lagipun akak tahu, kau tu nak pakai duit sangat dan lelaki tu sanggup nak bayar lebih dari harga biasa.”

“Terima kasih Kak Noni. Tu yang buat Ilham sayang sangat pada akak ni!”

Noni hanya tersenyum senang mendengar kata-kata Ilham. Sampai di luar matanya mencari-cari kelibat pelanggannya. Dia tersenyum lega bila ternampak kelibat lelaki itu yang sedang duduk di salah sebuah kerusi sambil kapal-kapal layar yang berlabuh di pelabuhan Awana Porto Malai. Dia menarik tangan Ilham menuju ke arah lelaki itu.

“Sir, she’s here.” ujar Noni. Lelaki itu menoleh dan bangun dari kerusinya.

“This is Ilham Insyirah, you guide for today. Ilham, ini Mr Kyriel Iskandar, pelancong tu…” Terang Noni. Berkerut dahinya bila kedua-dua mereka memandang anatara satu sama lain dengan mata yang membulat.

“Kau?!” jerit mereka serentak!!!

Monday, July 9, 2012

Bab 8

Selepas memberi salam, Ilham membaca wirid dan doa selepas solat. Dia tidak lupa menyedekahkan doa buat arwah ibu dan ayahnya. Semoga roh ibu dan ayah di tempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Amin. Telekung dikepala dibuka dan dilipat sebelum dia meletakkannya di atas meja kecil dihujung katil. Dia kemudian berjalan menuju ke pintu. Daun pintu diselak sedikit. Kepalanya dijengah ke luar. Kelibat mak langnya tidak kelihatan di ruang tamu. Dia memandang sekilas ke bilik di sebelah biliknya. Gelap je. Belum balik masjid lagi agaknya.

Ilham melangkah keluar dan menutup perlahan pintu biliknya. Dia berjalan menuju ke dapur. Almari kecil yang digunakan mereka untuk menyimpan makanan di buka. Lauk pauk yang di masak mak langnya tengahari tadi masih banyak lagi. Ilham mengeluarkan periuk berisi masak lemak labu dan diletakkan di atas dapur lalu dipanaskan lauk kegemarannya itu. Di tungku sebelah, dia meletakkan sebiji kuali. Lauk sambal tumis ikan bilis di dalam almari dikeluarkan lalu dipanaskan juga.

Sambil menunggu lauk-lauk itu panas, Ilham mengambil tiga biji pinggan makan lalu disusun di atas meja. Nasi di dalam rice cooker diceduk dan diisi ke dalam mangkuk besar. Kemudian dia mengambil mangkuk air basuh tangan dan diletakkan di atas meja. Api dapur dipadamkan Ilham bila lauk masak lemak labu dan sambal tumis ikan bilis sudah cukup panas. Dia menghidangkan semuanya di atas meja. Ilham tersenyum puas melihat hidangan di atas meja. Harap-harap sejuklah hati mak lang lepas ni.

Sejak dia sampai ke rumah petang tadi, mak langnya langsung tidak mahu bercakap dengan dirinya. Semuanya gara-gara kerana dia terlewat balik ke rumah. Sudah berkali-kali mak langnya berpesan agar segera pulang ke rumah selepas dia selesai menghantar pelancong-pelancong dari China yang menjadi pelanggannya sejak lima hari lalu. Ada tetamu yang harus ditemui Ilham petang ini. Sudah berhari-hari mak langnya mengingatkannya tentang temujanji mereka dengan ‛tetamu’ misteri mak lang. Tetapi kerana leka berbual-bual dengan Mazni, dia terlupa janjinya dengan mak lang. Dan akibatnya, mak langnya, Sakinah marah dan tidak mahu bertegur sapa dengannya.

Ilham menutup hidangan di atas meja dengan tudung saji. Dia melangkah menuju ke ruang tamu untuk menunggu kepulangan Sakinah. Dia baru sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi bila pintu bilik yang bertentangan dengan biliknya terbuka. Wajah adiknya, Azieqah menyapa pandangannya.

“Azie nak makan? Kakak dah siapkan kat dapur tu. Kakak sendukkan, ya?’ tanya Ilham lembut. Dia bangun dari kerusi tetapi suara kasar adiknya merencatkan niatnya.

“Aku belum nak mati lagi. Setakat senduk nasi tu, aku mampu buat sendiri lagi!”

Ilham duduk kembali. Matanya merenung sayu kelibat adiknya yang sudah menghilang ke dapur. Sampai bila kita nak macam ni, Azie? Ilham tidak tahu kenapa sejak ibu dan ayah mereka meninggal tiga tahun lalu, hubungan dia dan Azie menjadi teruk begini. Satu ketika dahulu, Azie dan Ilham mempunyai hubungan yang agak mesra walaupun kadang kala Azie bersikap kasar dengannya. Tetapi sewaktu itu Ilham tidak memperdulikan sangat sikap Azie yang kasar. Baginya itu adalah perkara biasa dalam hubungan adik beradik. Sementelah pula, keadaan kesihatan Azie yang tidak begitu memuaskan membuatkan Ilham tidak kisah jika dia selalu dimarah atau dibuli adiknya.

Tetapi semenjak ibu dan ayah mereka meninggal, sikap kasar adiknya yang berusia 16 tahun itu semakin menjadi-jadi. Azieqah tidak lagi mahu mendengar kata-katanya. Malah dia dianggap macam musuh oleh Azieqah. Apa salah kakak, Azie?

Beberapa ketika kemudian Azieqah muncul semula di ruang tamu. “Azie tak makan ke?” soal Ilham.

Tanpa memperdulikan soalan Ilham, Azieqah terus masuk ke dalam biliknya dan menghempas pintu. Ilham terkedu di kerusi. Air mata mula bergenang dikelopak mata tapi segera diseka apabila dia terdengar pintu rumah dibuka dari luar.

“Mak lang dah balik?”Ilham bangun dan menuju ke arah Sakinah. Beg berisi Al-Quran dan kain sembahyang di tangan Sakinah diambilnya lalu disimpan ke dalam kabinet kecil di tepi televisyen.

“Jom, Mak Lang. Ilham dah panaskan lauk. Nasi pun dan hidang. Kita makan ye?” ajak Ilham. Tangan Sakinah dicapai lalu ditarik menuju ke dapur. Sampai di dapur, Sakinah disuruh duduk sementara Ilham menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Ramai ke orang di masjid hari ni, Mak Lang?” tanya Ilham sambil tangannya ligat menyenduk nasi ke dalam pinggan.

Sakinah hanya memerhatikan tingkah laku Ilham. Hatinya yang marah petang tadi mulai sejuk bila melihat Ilham. Entah kenapa, marahnya pada anak itu tidak pernah lama.

“Ramailah juga. Malam ni Mak Som dari kampung sebelah buat tahlil untuk arwah suami dia.” balas Sakinah.

Ilham tersenyum gembira. “Mak Lang tak marah Ilham lagi?”. Lega hatinya bila Sakinah sudah mahu bercakap dengannya.

“Huh, kalau aku marah kat kamu lama-lama pun dapat apa?”

Ilham terkekeh-kekeh ketawa. Bahu Mak Langnya di peluk erat. Pipi wanita itu dicium manja.

“Inilah yang buat Ilham sayangggg sangat dekat Mak Lang ni.”

Sakinah tersenyum mendengar kata-kata Ilham. Anak saudaranya yang seorang ini memang pandai mengambil hatinya.

“Kalau kamu ikut aku pergi jumpa Cikgu Idris esok, lagi aku tak marah.” Ujar Sakinah. Ketawa Ilham terhenti bila dia mendengar nama pengetua sekolahnya dahulu disebut. Dia sudah dapat mengagak ke mana hala tuju perbualan ini. Pelukan di bahu Sakinah dilepaskan. Dia bergerak menuju ke kerusi bertentangan dengan Sakinah.

“Lama Cikgu Idris tunggu kamu petang tadi, Ilham. Kalau tak sebab dia ada janji dengan orang lain, mesti dia tunggu kamu sampai.”

“Semalam Mak Lang beritahu ada orang nak jumpa Ilham, Cikgu Idris ke orangnya?” tanya Ilham.

“Dah lama Cikgu Idris nak jumpa kamu. Dia ada bawa borang sambung belajar untuk kamu. Dia nak kamu sambung belajar lagi, Ilham.” Ujar Sakinah.

Ilham mendengus. Tak habis-habis nak suruh aku sambung belajar. Diaorang ni tak faham ke bila aku cakap aku tak nak?

“Mak Lang, Ilham tak nak belajar lagi. Kan dah banyak kali Ilham beritahu Mak Lang.” Sudah acapkali mereka bercakap tentang hal ini. Dan setiap kali hal ini dibangkitkan, jawapan Ilham tetap sama. Dia tidak berminat untuk sambung belajar!

“Keputusan peperiksaan kamu bagus. Kamu tu salah seorang pelajar terbaik kat daerah ni. Rugi kalau kamu tak nak sambung lagi, Ilham.” Sakinah cuba memujuk. Dia memang berharap sangat Ilham dapat menyambung pelajaran di universiti seperti anak tunggalnya, Ain.

“Mak Lang, tolonglah faham. Ilham dah kata tak nak, maknanya Ilham tak nak!” tegas Ilham.

“Habis tu kamu nak buat apa? Umur kamu muda lagi, tak kan kamu nak terus kerja dekat kedai si Jo tu? Atau kamu nak jadi pemandu pelancong tak berlesen tu sampai tua? Kenapa kamu nak sia-siakan hidup kamu macam ni Ilham?!” marah Sakinah.

“Siapa nak jaga Azie kalau Ilham pergi belajar? Siapa nak cari duit untuk beli ubat-ubat Azie kalau Ilham masuk universiti? Siapa nak bawa Azie pergi hospital kalau Ilham tak ada?” tukas Ilham. Bukan dia sengaja tidak mahu sambung belajar tetapi tanggungjawabbya terhadap Aziqah lebih penting dari segalanya.

“Lagipun, kalau Ilham sambung belajar, semuanya kena pakai duit Mak Lang. Nak beli kelengkapan, buku, bayar yuran. Mana Ilham ada duit untuk semua tu Mak Lang.” sambung Ilham.

“Biasiswa kan ada. Cikgu Idris boleh tolong dapatkan.”

“Ada beratus orang dapat keputusan lagi cemerlang dari Ilham, Mak Lang. Baik mereka bagi biasiswa tu pada budak-budak tu daripada Ilham.”

“Kalau tak dapat, aku ada. Aku boleh tanggung kamu belajar.” ujar Sakinah.

“Guna apa Mak Lang? Duit pencen arwah Pak Lang? Ilham tak nak. Duit tu hak Mak Lang dangan Kak Ain. Ilham tak nak.” Tegas Ilham.

“Tapi Ilham...”

“Sudahlah, Mak Lang. Ilham tak nak cakap lagi hal ni.” Ilham bangun dan berjalan ke arah peti sejuk. Dia membuka pintu peti ais. Dia ingin mengeluarkan botol air tetapi ada sesuatu yang tersorok di belakang pasu di atas peti ais menarik perhatianya. Dia mengalihkan pasu itu. Sekeping sampul surat berwarna coklat yang tersorok dibelakang pasu itu dicapainya. Muka hadapan sampul surat yang kosong menarik minat Ilham. Ilham membuka penutup sampul surat itu lalu mengeluarkan isinya. Bulat mata Ilham memandang apa yang tertulis di atas dokumen itu.

“Ini apa, Mak Lang?” soal Ilham perlahan. Dokumen di dalam sampul itu diletakkan dihadapan Mak Langnya. Sakinah terkejut bila terpadang salinan dokumen jual beli rumah yang ditandatanganinya di bank pagi tadi berada di tangan Ilham. Seingatnya dia menyimpan dokumen itu di dalam biliknya. Siapa pula yang keluarkan dan letakkanya di atas peti ais? Azieqah kah?

“Ini apa, Mak Lang?” ulang Ilham. Bagai hendak luruh jantungnya bila ternampak dokumen itu tadi.

Sakinah tahu dia sudah tiada alasan untuk diberikan kepada Ilham. Lebih baik dia berterus-terang daripada dia berterusan merahsiakan hal ini.

“Mak Lang dah cadang nak jual rumah ni untuk dapatkan duit untuk kamu dan Azie.” jelas Sakinah.

Ilham terduduk mendengar kata-kata Sakinah. “Kenapa Mak Lang? Kenapa Mak Lang buat macam ni?” Ilham bertanya pada Sakinah perlahan.

“Aku tak sanggup tengok kamu macam ni Ilham. Siang malam bekerja cari duit untuk beli ubat Azie. Kamu buat macam-macam kerja nak kumpul duit untuk pembedahan Azie sampai hal diri sendiri kamu abaikan. Kamu sanggup tak nak sambung belajar sebab nak jaga adik kamu tu. Mak Lang dah tak sanggup tengok kamu susah macam ni Ilham. Kalau ibu dan ayah kamu hidup lagi, mesti diaorang menangis tengok kamu jadi macam ni.” Balas Sakinah. Air matanya sudah mula bergenang di kelopak mata.

“Ini memang dah tanggungjawab Ilham, Mak Lang. Ilham dan janji pada arwah ibu yang Ilham akan jaga Azie walau apa pun terjadi. Ilham yakin, Ibu dan ayah mesti faham dengan tindakan Ilham ni.”

“Tapi ibu dan ayah kamu tak suruh kamu buat semua ni. Kalau nak diikutkan, ini bukan tangunggjawab kamu pun. kamu dengan Azie....”

“Mak Lang, Ilham dah janji pada ibu dan ayah dan Ilham akan tunaikan janji itu. Itu saja caranya Ilham dapat balas budi baik mereka.” Pantas Ilham memotong kata-kata Sakinah.

“Tapi Ilham...”


“Sudahlah Mak Lang. Ilham tak nak dengar lagi. Esok, Ilham minta Mak Lang pergi semula ke bank dan batalkan urusan ini. Ilham tak nak Mak Lang jual rumah peninggalan arwah Pak Lang ini untuk kami adik beradik. Pak Lang buat rumah ni dulu untuk Mak Lang dan Kak Ain. Mesti Pak Lang kecewa kalau dia tahu Mak Lang buat macam ni. Ibu dan ayah pun tak akan gembira dengan tindakan Mak Lang ni. Dan Mak Lang kena fikirkan Kak Ain juga. Ini harta Kak Ain, Mak Lang. Kalaulah dia tahu Mak Lang buat macam ni, mesti dia sedih.”

Dia menyeka air mata yang mengalir di pipi. Nafasnya ditarik dalam sebelum dia menyambung kata-katanya. “Soal kami adik beradik, Mak Lang janganlah risau. Selagi kudrat Ilham masih ada, Ilham akan terus jaga Azie. Ilham akan cari jalan untuk dapatkan duit bagi pembedahan Azie. Mak Lang jangan buat macam ni lagi. Kalau betul Mak Lang sayangkan kami, tolonglah biarkan Ilham usaha sendiri. Mak Lang sudi jaga kami ni pun dah cukup bermakna bagi kami. Mak Lang tak perlu buat semua ni. Kalau...kalau Ilham dapat tahu Mak Lang buat macam ni lagi, Ilham akan bawa Azie pergi dari sini...”

Sakinah terkedu. Dia tidak menyangka Ilham akan berkata begitu. Dia menanggis sendirian bila mengenangkan pengorbanan yang dibuat Ilham buat Azie. Salmi, Anuar, bertuah kalian berdua dapat anak macam Ilham ni. Tapi patutkah dia tanggung semua ini? Kenapalah kau bebankan Ilham dengan semua ni Salmi? Kenapalah kau suruh dia berjanji dulu? Kerana janji pada arwah adiknya, Ilham sanggup mengorbankan kebahagiannya sendiri. Sampai bila kamu nak menderita macam ni Ilham?