PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Wednesday, September 12, 2012

Bab 18



Kyriel mendongak memandang langit yang tiba-tiba mendung. Langit yang tadinya cerah kini sudah bertukar gelap. Dia menanti dengan seribu macam rasa di sisi kereta Ilham di hadapan sebuah balai polis. Walaupun hatinya sedikit bengkeng dengan langkah Johan menggunakan khidmat polis tetapi demi janjinya pada Ilham dia cuba menahan dirinya dari marah. Apa yang dia boleh lakukan kini hanya berharap tiada di antara anggota polis itu mempunyai ‛hubungan’ dengan mamanya atau rancangannya akan gagal.
            “Aku cuma nak jumpa Sarjan Ali. Dia tu bukan orang lain dengan aku. Bapa saudara aku tu. Jangan risau, dia boleh dipercayai.” Kata-kata Johan sebentar tadi terngiang-ngiang di telinganya.
            “Betul ke Sarjan Ali tu boleh dipercayai?” Tanya Kyriel pada Ilham yang duduk di dalam kereta.
            “Jangan risau. Saya kenal Pakcik Ali tu dari kecil. Dia tu boleh dipercayai. Lagipun dia tu orang gelar ensiklopedia Langkawi. Serba serbi pasal tempat ni dia tahu. Daripada orang ternama, sampailah orang yang biasa-biasa, semuanya dia kenal. Jadi dialah orang yang paling layak tolong kita. ”
            Kryriel menarik nafas dalam-dalam. “Tapi hati aku rasa tak sedaplah.” Dia bukan sengaja membuat cerita tetapi bagai ada sesuatu dalam hatinya yang kurang menyenangi tindakan mereka ke situ.
            “Mungkin perasaan was-was awak je tu. Lagipun awak dah set dalam hati awak yang semua pihak berkuasa di sini ada hubungan dengan mama awak. Sebab tu awak rasa macam tu. Cuba awak singkirkan perasaan tu dari dalam hati awak. Mesti rasa tak tenang tu akan hilang,” ujar Ilham.
            Kyriel sedikit tersentak mendengar kata-kata Ilham. Dia menjeling sejenak ke arah Ilham. Kalau orang lain yang bercakap begitu dengan dia, pasti sudah lama tangannya naik ke muka orang itu. Dia bukannya boleh terima sindiran begitu. Tetapi bila melihat wajah Ilham yang polos, rasa geramnya hilang begitu sahaja. Entah mengapa, gadis bernama Ilham Insyirah ini boleh membuat dia berasa marah, geram dan tenang dalam masa yang sama.
Wajah gadis yang sedang memandang ke arah pintu pagar balai polis itu direnung dalam-dalam. Pada pandangan matanya, Ilham biasa-biasa sahaja paras rupanya. Tidaklah secantik mana namun masih sedap mata memandang. Kalaupun ada yang menarik tentang wajah gadis itu mungkin senyumannya. Dia perasan, setiap kali gadis itu tersenyum pasti akan muncul lesung pipit di pipi kirinya. Selain daripada itu, tiada apa yang istimewa pada wajahnya. Habis tu, kenapa kau tak berkelip-kelip pandang wajah dia? Tanya hati kecil Kyriel.
            Bagai menyedari yang dirinya sedang diperhatikan, Ilham menoleh ke arahnya. Buat seketika sepasang mata milik mereka bertaut. Namun Kyriel cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Mukanya terasa hangat menahan malu kerana ditangkap begitu.
            “Apa yang lama sangat kawan kau buat di dalam tu?” Garau suaranya bertanya sambil berjalan sedikit menjauhi kereta Ilham.
            “Err...entahlah. Biar saya pergi tengok.” Balas Ilham gugup. Cepat-cepat dia meluru keluar dari kereta. Baru beberapa langkah dia bergerak, kelibat Johan kelihatan keluar dari pintu balai polis. Lelaki itu kelihatan tersenyum simpul sebaik sahaja dia tiba di hadapan mereka berdua.
            “Macamana Abang Jo? Ada apa-apa berita?” Tanya Ilham.
            Johan memandang wajah Ilham dan Kyriel silih berganti. “Ada berita baik dan berita buruk. Yang mana engkau orang nak dengar dulu?”
            “Mestilah berita baik, Abang Jo!” Jawab Ilham geram.
            Johan ketawa kecil. “Ok. Berita baiknya, Pak Ngah Ali beritahu abang dia pernah kenal dengan seorang lelaki yang ada kawan mat salleh yang tinggal bersama keluarga dia di Langkawi ni.”
            “Siapa orangnya?” Soal Ilham.
            “Samad, seorang nelayan di Pulau Tuba. Mereka berjumpa pun secara kebetulan saja. Dah lebih sepuluh tahun peristiwa tu.” Jawab Johan.
            “Peristiwa apa bang?”
            “Sepuluh tahun dulu, bot pak ngah pernah tersadai di Pulau Tuba. Masa tu dia keluar memancing dengan kawan-kawan balai dia. Tapi entah macamana enjin bot rosak pulak. Kebetulan masa tu ada sebuah bot nelayan dari Pulau Tuba lalu jadi mereka tunda bot pak ngah balik ke kampung mereka. Masa di sanalah pak ngah kenal dengan Samad dan mat salleh tu.” Terang Johan.
            “Apa kena mengena semua ni dengan papa aku?” Tanya Kyriel mendatar. Buat pertama kalinya sejak Johan menghampiri mereka dia bersuara. Sejak dari tadi dia hanya menjadi pendengar dengan harapan berita yang disampaikan Johan adalah mengenai papanya. Namun tiada satu pun cerita Johan dapat menunjukkan di mana papanya berada.
            “Sebab nama papa kau tu, sama dengan nama mat salleh tu.” Jawab Johan bersahaja.
            Kyriel tersentak. “Maksud kau?”
            “Nama mat salleh yang tinggal dengan Samad tu ialah Adam.”
       Jantungnya berdegup pantas. Perasaannya bercampur baur. Separuh hatinya berasa gembira mendengar berita itu. Namun yang separuh lagi berasa risau takut-takut orang yang dimaksudkan Sarjan Ali itu bukan papanya.
            “Macamana pakcik kau yakin Adam yang tinggal di Pulau Tuba tu adalah papa aku?”
            Johan menjungkitkan kedua belah bahunya. “Dia tak yakin. Tapi...” Johan mengeluarkan sekeping gambar dari dalam poket seluarnya lalu diserahkan ke arah Kyriel. “Dia beri aku gambar ni. Gambar ni mereka ambil sepluh tahun lalu di Pulau Tuba. Lelaki bermisai tebal tu pakcik aku, Sarjan Ali. Lelaki di sebelah dia tu, Samad. Dan lelaki mat salleh di belakang mereka tulah Adam. Macam mana, itu ke papa kau?”
            Tangan Kyriel menggigil memegang gambar yang agak lama itu. Matanya berkaca-kaca merenung wajah lelaki yang dipanggil Adam itu. Giginya diketap menahan rasa.
            “Kyriel? Awak tak apa-apa?” Tanya Ilham sedikit risau.
            Kyril memandang wajah Ilham dan Johan di hadapannya. Dia sendiri tidak tahu apa yang dirasakan kini. Sukar baginya menerangkan apa yang tersirat di dalam hati. Dengan perasaan yang membuak-buak di dada, dia menghulurkan kembali gambar di tangannya ke arah Johan. Kemudian dia mengeluarkan pula sekeping gambar Adam Abdullah yang sentiasa berada di dalam poket seluarnya lalu dihulurkan ke arah Ilham.
            Ilham dan Johan memandang antara satu sama lain. Riak hairan jelas nampak di wajah keduanya dengan perbuatan Kyriel. Mereka terus membelek gambar di tangan masing-masing. Kemudian Johan memandang pula gambar di tangan Ilham. Matanya membulat sebaik sahaja dia melihat wajah yang terpampang di gambar di dalam tangan Ilham. Riak yang sama juga jelas kelihatan di wajah Ilham sebaik sahaja dia melihat gambar di tangan Johan. Tidak syak lagi, Adam yang dimaksudkan Sarjan Ali adalah Adam Abdullah, papa Kyriel!
            “Kyriel! Ini papa awak... Ini papa awak!” Jerit Ilham teruja. Tanpa sedar, tangannya segera memaut lengan Kyriel. “Awak dah jumpa papa awak, Kyriel. Awak dah jumpa dia!” Ujar Ilham lagi.
            Kyriel mengangguk dan ketawa gembira. Akhirnya dia akan bertemu dengan papanya setelah hampir lima belas tahun mereka berpisah. Tidak sia-sia dia ke mari dan mengingkari kata-kata mamanya. Dan semua ini adalah kerana gadis di hadapannya. Jika bukan kerana kesungguhan gadis ini mahu membantunya, pasti sampai sekarang dia masih lagi dalam pencariannya.
            “Terima kasih, Ilham. Semua ini kerana kau. Kalau kau tak tolong aku, pasti sampai sekarang aku tak temui papa aku,” ucap Kyriel. Tangan kanannya mengenggam kuat tangan Ilham di lengan kirinya. Dia merenung tepat ke dalam anak mata gadis itu. Dia mahu Ilham tahu, dia benar-benar ikhlas menghargai pertolongan gadis itu. Mata mereka saling bertentangan. Aku percayakan kau. Kata-kata yang dilafazkannya tadi tiba-tiba melintas di fikirannya. Serentak itu Kyriel merasakan hatinya tiba-tiba menjadi tenang. Kali ini maksud sebenar kata-kata itu dapat dirasakan ke segenap ruang hatinya. Dan untuk pertama kalinya setelah sekian lama, dia membenarkan perasaan itu bertamu di hati.
            “Ehem...” Johan berdehem kuat.
Deheman yang kuat itu mengejutkan Kyriel dan Ilham yang sedang dibuai perasaan. Secepat kilat Ilham menarik tangannya yang berada di dalam genggaman Kyriel. Wajah kedua-duanya nampak merah merona menahan malu.
“Ilham je ke dapat terima kasih? Aku ni?” Perli Johan. “Mentang-mentanglah aku tak molek macam budak ni, tak ada siapa pun sudi nak berterima kasih ya?” Sambungnya lagi.
Kyriel dan Ilham tersipu malu. Masing-masing sedar mereka sudah terlepas pandang akan sesuatu.
“Err...terima kasih pada kau juga sebab tolong aku.” Ucap Kyriel sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Johan.
Johan mencebik namun huluran tangan Kyriel tetap disambutnya. “Sama-sama. Tapi kau jangan gembira dulu.” Pesan Johan.
Dahi Kyriel berkerut. “Apa maksud kau?”
“Ini part berita buruknya.” Ujar Johan.
Dada Kyriel kembali berdebar mendengar kata-kata Johan. Dia memandang lelaki itu dengan wajah penuh tanda tanya.
“Pakcik aku tu jumpa mereka dah lebih sepuluh tahun. Dia sendiri tak pasti sama ada Adam tu ada di situ lagi atau tidak sebab dulu Samad pernah bercerita Adam tu menumpang sementara di rumah dia. Kita kena ke Pulau Tuba cari Samad kalau nak tahu keadaan sebenarnya.”
Jantung Kyriel bagai direngut mendengar perkhabaran itu. Baru tadi dia sudah membayangkan kegembiraan bertemu Adam tapi kini bayangan kegembiraan itu tiba-tiba menjauh kembali. Kalau Adam tiada lagi di situ bagaimana?
“Kita ke Pulau Tuba sekarang, cari Samad!” Saran Ilham. Di wajahnya timbul rasa simpati pada Kyriel.
“Ya, kita akan ke sana. Tapi bukan hari ini.” Balas Johan.
“Kenapa pula, Abang Jo? Nak tunggu apa lagi?” Tanya Ilham geram.
Mata Johan mencerlung ke arah Ilham. “Kamu patut tahu kenapa Ilham. Cuba tengok langit di atas tu. Sekejap lagi hujan lebat. Angin pun dah bertiup kencang ni. Laut tu mesti bergelora nanti. Siapa nak bawa kita naik bot ke sana?” Tanya Johan tegas.
Ilham terdiam. Dia menjeling sekilas ke arah Kyriel.
“Esok kalau cuaca dah elok, kita pergi. Hari ni, kita tak boleh nak buat apa-apa lagi. Kita balik dulu. Jangan risau, kita dah semakin hampir nak jumpa papa kau. Kalau dia tiada di sana sekalipun, Samad pasti tahu di mana dia sekarang.” Ujar Johan sambil menepuk bahu Kyriel, cuba menenangkan pemuda itu.
Kyriel hanya mendengar kata-kata mereka tanpa memberi apa-apa jawapan. Dia tidak peduli tentang apa-apa lagi. Kalau disuruh tunggu, dia akan tunggu. Lagipun sudah lima belas tahun dia menunggu, apa bezanya jika dia perlu menunggu sehari lagi? Apa yang penting dia mahu menemui papanya. Harapannya kini cuma satu. Semoga Adam Abdullah masih lagi berada di Pulau Tuba. Papa, tunggu Isk papa!

No comments: