PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Tuesday, September 25, 2012

Bab 19




Bunyi barang dilempar jatuh menyentak lamunan Kyriel. Kemudian kedengaran pula suara orang menjerit-jerit marah. Kyriel menoleh ke arah Johan yang duduk di sebelahnya. Belum sempat mulutnya bertanya apa-apa, Johan hanya mengeleng. Tidak lama selepas itu pintu bilik di hadapannya terbuka. Wajah sugul Ilham terpacul di balik pintu diikuti dengan seorang wanita yang agak berusia. Kyriel pantas bangun menghampiri gadis itu.
“Kenapa?”
Ilham mengeluh panjang. Wanita yang bersama Ilham tadi dilihat mengusap lembut bahu gadis itu.
“Sabarlah, Ilham. Azie tu kalau tgh tak sihat, memang dia berangin sikitkan?”
“Terukkah kali ni, Mak Lang?” Tanya Johan yang sejak tadi membisu.
“Biasalah, Jo. Macam selalu juga. Tadi masa rehat kat sekolah dia dah nampak lain. Mak Lang ajak balik, dia tak mahu. Baru saja lima minit masuk kelas, ada kawan dia datang cari Mak Lang dekat kantin. Katanya Azie pengsan. Teruslah kami bawa dia ke mari.” Beritahu Mak Lang Sakinah.
“Eh, ni siapa?” Tanya Mak Lang Sakinah bila ternampak kelibat Kyriel bersama mereka. “Mat Saleh mana pulak ni, Jo? Ilham?”
            Johan ketawa kecil. “Mat Saleh sesat, Mak Lang.”
            Kyriel menjeling tidak puas hati. “Saya, Kyriel.” Dia menghulurkan tangan kanannya pada Sakinah.
            “Laaa...pandai cakap Melayu rupanya.”
            Johan sudah ketawa besar. “Dah memang orang Melayu, Mak Lang. Dia ni Mat Saleh celup.”
            “Iya ka? Padanlah lawa.” Puji Mak Lang Sakinah.
Pipi Kyriel sudah panas menahan rasa. Ada ke patut aku yang kacak bergaya ni dikatanya lawa? Mujurlah orang tua, kalau tidak memang dah lama kena dengan aku makcik ni! Gumam hatinya. Tapi siapa dia ni? Kalau mendengar panggilan yang disebut Johan tadi, mungkin juga wanita ini ibu saudara Ilham. Dan siapa pula Azie yang dsebut-sebut Johan tadi? Adakah Azie orang yang sama berada di dalam wad di hadapannya? Orang yang membuatkan Ilham berlari tidak cukup tanah tadi?
Dia masih ingat lagi wajah pucat lesi Ilham sebaik sahaja dia mendapat panggilan telefon sewaktu mereka dalam perjalanan mahu ke hotelnya tadi. Tak sempat dia hendak bertanya apa-apa, Ilham sudah mengarahkan Johan segera ke hospital. Dan sebaik sahaja sampai ke hospital, terus sahaja gadis itu berlari masuk, meninggalkan dia terpinga-pinga bersama Johan.
“Mak Lang, Ilham nak tunggu Azie kat hospital. Mak Lang baliklah, ya?”
Sakinah mengeleng laju. “Tidak! Biar Mak Lang yang tunggu dia. Ilham pergi balik.”
“Tapi Mak Lang...”
“Tak ada tapi-tapi. Ilham ni nak bagi elok adik, ke nak bagi sakit lagi? Tadi pun dia dah mengamuk bila Ilham paksa dia makan. Ni, kalau tinggal dengan Azie semalaman, mahu runtuh bumbung hospital ni disebabkan engkau orang dua beradik.”
Ilham menunduk. Kyriel makin keliru walaupun persoalan tentang siapa Azie sudah terjawab. Tapi mengapa pula adik Ilham hendak mengamuk tidak tentu pasal?
“Betul cakap Mak Lang tu, Ilham. Biarlah dia je yang tunggu Azie. Kita balik dulu. Kalau ada apa-apa, Mak Lang call lah nanti. Jangan risau, hmmm?” Lembut Johan memujuk Ilham. Sebelah tangannya sudah merangkul bahu gadis itu lalu diusap perlahan.
Kyriel yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati tiba-tiba rasa kurang senang dengan apa yang dilihat. Cepat dia menarik lengan Johan lalu pantas berdiri di antara Johan dan Ilham.
“Ehem...aku laparlah!” Ujarnya tiba-tiba. Matanya meliar memandang ke tepi, ke bawah dan ke atas. Dia tahu dirinya sedang menjadi perhatian tiga pasang mata. Wajahnya terasa hangat menahan malu. Pedulilah. Janji hati aku tak sakit!
***
Dari satu meja ke satu meja dia pergi. Selesai mengambil pesanan, dia akan bergerak pantas ke kaunter bahagian dapur. Bila sudah tiada pelanggan yang mahu membuat pesanan, dia akan mengumpul gelas dan pinggan kotor dari atas meja pelanggan yang sudah selesai makan. Selesai tugas yang itu,  dia akan mengelap meja pula. Bila sudah habis meja dilap, dia menyusun pula kedudukan bekas tisu di atas meja yang tiada pelanggan. Pendek kata, sejak dia sampai ke cafe tadi, tidak sekali pun dia duduk diam. Ada sahaja kerja yang dia lakukan sampaikan pekerja lain dah tak ada kerja yang boleh dibuat.
Segelas teh o limau sejuk diletakkan di hadapannya. Kyriel mendongak. Wajah seorang wanita yang sedang tersenyum manis menjamah pandangan matanya.
“Saya tak order.”
On the house. Dan tunang saya pesan, tak elok tengok anak dara orang macam nak tembus!” Ujar wanita itu sambil ketawa.
“Tunang?”
Wanita itu menunding jari telunjuknya ke arah kaunter. Kelibat Johan yang sedang melayan pelanggan yang ingin membuat bayaran kelihatan.
“Johan?” Tanya Kyriel meminta kepastian.
“Iya. Johan tu tunang saya, Laila. Jadi tak perlulah nak cemburu kalau dia mesra dengan Ilham. Kami dah anggap budak tu macam adik kami sendiri.” Balas Laila selamba sebelum melabuhkan pungguh ke kerusi berhadapan dengan Kyriel.
Kyriel terbatuk kecil. Entah kenapa, hatinya menjadi lega mendengar Johan sudah bertunang. Tapi dalam masa yang sama, rasa segan menerpa. Dia menjeling sekilas ke arah Johan. Mesti Johan bercerita dengan wanita ini tentang perbuatannya di hospital tadi. Cemburu? Tolonglah. Dia bukan cemburu. Dia cuma rasa kurang senang sahaja melihat tangan Johan di atas bahu Ilham. Kalau ya pun nak memujuk, tak perlulah sampai nak pegang-pegang macam itu!
“Kasihan dia.” Keluh Laila.
Kyriel memandang wajah manis di hadapannya yang tiba-tiba mendung. Pandangan mata Laila menghala ke arah Ilham yang sedang melipat tisu di sebuah meja.
“Siapa Azie?” Tanya Kyriel. Inilah peluang dia untuk mendapat jawapan kepada soalan-soalannya tadi. Nak harapkan Ilham, sejak dari tadi gadis itu seolah-olah cuba mengelak darinya.
“Adik dia. Tapi tak macam adik pun!”
“Maksud Laila?”
Laila mengeluh. “Kalau awak tengok macam mana Azie layan Ilham, awak pun tertanya-tanya, betul ke mereka ni adik-beradik. Azie tu asyik nak mencari hal sahaja dengan Ilham. Entah apa yang dibencinya sangat dengan Ilham tu pun kami tak tahu. Tak padan dengan sakit! Tak sedar selama ni duit ubat-ubatan dia tu, kakak dia yang dia benci tu yang sediakan. Kalau tak sebab Ilham yang susah payah bekerja, agaknya dah lama mati budak tu! Memang tak senang diuntung. Yang Ilham tu pun satu. Beri muka sangat pada budak tu. Ikutkan sahaja karenah adik dia tu. Tak reti langsung nak bertegas.” Cerita Laila geram.
“Azie tu sakit apa? Dia tak ada adik beradik lainkah?” Tanya Kyriel.
“Jantung dia masalah. Mereka berdua beradik sahaja, tak ada adik beradik lain. Mak dengan ayah dah meninggal tiga tahun lepa. Sekarang ni duduk menumpang kasih dengan mak saudara mereka, Mak Lang Sakinah. Makan minum, sakit pening si Azie tu, semuanya Ilham yang tanggung.  Sampaikan budak tu sangguplah lepaskan impian nak sambung belajar sebab nak jaga adik dia. Sebab itu saya cakap Azie tu tak sedar diuntung!”
“Laila!” Tiba-tiba terdengar suara Johan memanggil Laila. “Abang suruh hantar air je, yang. Bukan suruh duduk borak.” Sindir Johan.
Laila tersipu malu. “Sorry, terlebih sudah.” Dia memandang ke arah Kyriel. “Maaf ya Encik Kyriel, terpaksa dengar saya membebel. Tapi saya kalau hal melibatkan Ilham dengan adik dia yang tak guna tu, memang saya over sikit.”
“Laila...” Tegur Johan dengan nada berbaur amaran. Nampak jelas yang dia tidak suka Laila menjaja cerita Ilham dan Azie. Laila yang dapat menangkap maksud nada suara tunangnya itu segera meminta diri ke dapur meninggalkan Johan dan Kyriel.
“Kau tak nak balik hotel ke? Kalau nak balik, aku boleh minta tolong budak aku hantarkan.” Soal Johan.
Kyriel memandang Johan sekilas sebelum pandangannya dihala ke arah Ilham.
“Dia tak akan berhenti buat kerja, tak payahlah kau tunggu. Kau baliklah dulu. Berehat. Esok kita nak ke Pulau Tuba.”
Kyriel teragak-agak. Berat hatinya mahu meninggalkan Ilham. Dia ingin sangat berbual walaupun sebentar dengan gadis itu. Teringin pula rasanya berada di sisi Ilham dan cuba menenangkan hati gadis yang sedang kacau itu.
“Hati dia tengah tak tenang. Kau tengokkan dari tadi dia tak berhenti buat kerja? Itu tandanya dia nak elakkan diri dia dari berfikir hal yang tak menyenangkan. Dan kalau dia tengah berkeadaan macam itu, dia tak mahu diganggu. Kau baliklah. Tunggu sahaja esok.”
“Dia akan ok, kan?” Tanya Kyriel.
“Itu Ilham Insyirah. Marahnya sekejap. Kecewanya tak lama. Sedihnya tak panjang. Cuma...” Johan ketawa kecil
“Cuma apa?”
“Kalau merajuk, bagilah emas permata pun, belum tentu terpujuk.”
Kyriel senyum segaris. Wajah Ilham dipandang dalam-dalam. Emas permata segunung memang tak akan mampu memujuk gadis itu kerana saat itu, jauh di sudut hati kecilnya satu hakikat cuba diakui. Ilham Insyirah bukan sebarangan gadis. Nilainya jauh lebih besar dari emas dan permata.


1 comment:

pena tumpoi said...

Hehehe. Mmg org belah-belah sana suka sebut mcm tu. Lawa tu tak kira baik laki/pompuan. Semuanya lawa. Kadang pompuan pun disebut segak. Lawa tu mcm cukup pakej gitu lah. Hahaha, kenapa ku rasa mcm kelakar pula bila Farah mention secara tulisan. Padahal kita pun selalu guna, Contoh : Anak laki Mak jah tu lawa betui. Perangai pun elok.