Bunyi barang dilempar jatuh
menyentak lamunan Kyriel. Kemudian kedengaran pula suara orang menjerit-jerit
marah. Kyriel menoleh ke arah Johan yang duduk di sebelahnya. Belum sempat
mulutnya bertanya apa-apa, Johan hanya mengeleng. Tidak lama selepas itu pintu
bilik di hadapannya terbuka. Wajah sugul Ilham terpacul di balik pintu diikuti
dengan seorang wanita yang agak berusia. Kyriel pantas bangun menghampiri gadis
itu.
“Kenapa?”
Ilham mengeluh panjang. Wanita
yang bersama Ilham tadi dilihat mengusap lembut bahu gadis itu.
“Sabarlah, Ilham. Azie tu
kalau tgh tak sihat, memang dia berangin sikitkan?”
“Terukkah kali ni, Mak Lang?”
Tanya Johan yang sejak tadi membisu.
“Biasalah, Jo. Macam selalu
juga. Tadi masa rehat kat sekolah dia dah nampak lain. Mak Lang ajak balik, dia
tak mahu. Baru saja lima minit masuk kelas, ada kawan dia datang cari Mak Lang
dekat kantin. Katanya Azie pengsan. Teruslah kami bawa dia ke mari.” Beritahu
Mak Lang Sakinah.
“Eh, ni siapa?” Tanya Mak Lang
Sakinah bila ternampak kelibat Kyriel bersama mereka. “Mat Saleh mana pulak ni,
Jo? Ilham?”
Johan
ketawa kecil. “Mat Saleh sesat, Mak Lang.”
Kyriel
menjeling tidak puas hati. “Saya, Kyriel.” Dia menghulurkan tangan kanannya pada
Sakinah.
“Laaa...pandai
cakap Melayu rupanya.”
Johan
sudah ketawa besar. “Dah memang orang Melayu, Mak Lang. Dia ni Mat Saleh celup.”
“Iya
ka? Padanlah lawa.” Puji Mak Lang Sakinah.
Pipi Kyriel sudah panas
menahan rasa. Ada ke patut aku yang kacak bergaya ni dikatanya lawa? Mujurlah
orang tua, kalau tidak memang dah lama kena dengan aku makcik ni! Gumam
hatinya. Tapi siapa dia ni? Kalau mendengar panggilan yang disebut Johan tadi,
mungkin juga wanita ini ibu saudara Ilham. Dan siapa pula Azie yang
dsebut-sebut Johan tadi? Adakah Azie orang yang sama berada di dalam wad di
hadapannya? Orang yang membuatkan Ilham berlari tidak cukup tanah tadi?
Dia masih ingat lagi wajah
pucat lesi Ilham sebaik sahaja dia mendapat panggilan telefon sewaktu mereka
dalam perjalanan mahu ke hotelnya tadi. Tak sempat dia hendak bertanya apa-apa,
Ilham sudah mengarahkan Johan segera ke hospital. Dan sebaik sahaja sampai ke
hospital, terus sahaja gadis itu berlari masuk, meninggalkan dia terpinga-pinga
bersama Johan.
“Mak Lang, Ilham nak tunggu
Azie kat hospital. Mak Lang baliklah, ya?”
Sakinah mengeleng laju. “Tidak!
Biar Mak Lang yang tunggu dia. Ilham pergi balik.”
“Tapi Mak Lang...”
“Tak ada tapi-tapi. Ilham ni
nak bagi elok adik, ke nak bagi sakit lagi? Tadi pun dia dah mengamuk bila
Ilham paksa dia makan. Ni, kalau tinggal dengan Azie semalaman, mahu runtuh
bumbung hospital ni disebabkan engkau orang dua beradik.”
Ilham menunduk. Kyriel makin
keliru walaupun persoalan tentang siapa Azie sudah terjawab. Tapi mengapa pula
adik Ilham hendak mengamuk tidak tentu pasal?
“Betul cakap Mak Lang tu,
Ilham. Biarlah dia je yang tunggu Azie. Kita balik dulu. Kalau ada apa-apa, Mak
Lang call lah nanti. Jangan risau, hmmm?” Lembut Johan memujuk Ilham. Sebelah
tangannya sudah merangkul bahu gadis itu lalu diusap perlahan.
Kyriel yang sejak tadi hanya
menjadi pemerhati tiba-tiba rasa kurang senang dengan apa yang dilihat. Cepat
dia menarik lengan Johan lalu pantas berdiri di antara Johan dan Ilham.
“Ehem...aku laparlah!” Ujarnya
tiba-tiba. Matanya meliar memandang ke tepi, ke bawah dan ke atas. Dia tahu
dirinya sedang menjadi perhatian tiga pasang mata. Wajahnya terasa hangat
menahan malu. Pedulilah. Janji hati aku tak sakit!
***
Dari satu meja ke satu meja
dia pergi. Selesai mengambil pesanan, dia akan bergerak pantas ke kaunter
bahagian dapur. Bila sudah tiada pelanggan yang mahu membuat pesanan, dia akan mengumpul
gelas dan pinggan kotor dari atas meja pelanggan yang sudah selesai makan. Selesai
tugas yang itu, dia akan mengelap meja
pula. Bila sudah habis meja dilap, dia menyusun pula kedudukan bekas tisu di
atas meja yang tiada pelanggan. Pendek kata, sejak dia sampai ke cafe tadi,
tidak sekali pun dia duduk diam. Ada sahaja kerja yang dia lakukan sampaikan
pekerja lain dah tak ada kerja yang boleh dibuat.
Segelas teh o limau sejuk
diletakkan di hadapannya. Kyriel mendongak. Wajah seorang wanita yang sedang
tersenyum manis menjamah pandangan matanya.
“Saya tak order.”
“On the house. Dan tunang saya pesan, tak elok tengok anak dara
orang macam nak tembus!” Ujar wanita itu sambil ketawa.
“Tunang?”
Wanita itu menunding jari
telunjuknya ke arah kaunter. Kelibat Johan yang sedang melayan pelanggan yang
ingin membuat bayaran kelihatan.
“Johan?” Tanya Kyriel meminta
kepastian.
“Iya. Johan tu tunang saya,
Laila. Jadi tak perlulah nak cemburu kalau dia mesra dengan Ilham. Kami dah
anggap budak tu macam adik kami sendiri.” Balas Laila selamba sebelum
melabuhkan pungguh ke kerusi berhadapan dengan Kyriel.
Kyriel terbatuk kecil. Entah
kenapa, hatinya menjadi lega mendengar Johan sudah bertunang. Tapi dalam masa
yang sama, rasa segan menerpa. Dia menjeling sekilas ke arah Johan. Mesti Johan
bercerita dengan wanita ini tentang perbuatannya di hospital tadi. Cemburu?
Tolonglah. Dia bukan cemburu. Dia cuma rasa kurang senang sahaja melihat tangan
Johan di atas bahu Ilham. Kalau ya pun nak memujuk, tak perlulah sampai nak
pegang-pegang macam itu!
“Kasihan dia.” Keluh Laila.
Kyriel memandang wajah manis
di hadapannya yang tiba-tiba mendung. Pandangan mata Laila menghala ke arah
Ilham yang sedang melipat tisu di sebuah meja.
“Siapa Azie?” Tanya Kyriel.
Inilah peluang dia untuk mendapat jawapan kepada soalan-soalannya tadi. Nak
harapkan Ilham, sejak dari tadi gadis itu seolah-olah cuba mengelak darinya.
“Adik dia. Tapi tak macam adik
pun!”
“Maksud Laila?”
Laila mengeluh. “Kalau awak
tengok macam mana Azie layan Ilham, awak pun tertanya-tanya, betul ke mereka ni
adik-beradik. Azie tu asyik nak mencari hal sahaja dengan Ilham. Entah apa yang
dibencinya sangat dengan Ilham tu pun kami tak tahu. Tak padan dengan sakit! Tak
sedar selama ni duit ubat-ubatan dia tu, kakak dia yang dia benci tu yang
sediakan. Kalau tak sebab Ilham yang susah payah bekerja, agaknya dah lama mati
budak tu! Memang tak senang diuntung. Yang Ilham tu pun satu. Beri muka sangat
pada budak tu. Ikutkan sahaja karenah adik dia tu. Tak reti langsung nak
bertegas.” Cerita Laila geram.
“Azie tu sakit apa? Dia tak
ada adik beradik lainkah?” Tanya Kyriel.
“Jantung dia masalah. Mereka
berdua beradik sahaja, tak ada adik beradik lain. Mak dengan ayah dah meninggal
tiga tahun lepa. Sekarang ni duduk menumpang kasih dengan mak saudara mereka,
Mak Lang Sakinah. Makan minum, sakit pening si Azie tu, semuanya Ilham yang
tanggung. Sampaikan budak tu sangguplah
lepaskan impian nak sambung belajar sebab nak jaga adik dia. Sebab itu saya
cakap Azie tu tak sedar diuntung!”
“Laila!” Tiba-tiba terdengar
suara Johan memanggil Laila. “Abang suruh hantar air je, yang. Bukan suruh
duduk borak.” Sindir Johan.
Laila tersipu malu. “Sorry,
terlebih sudah.” Dia memandang ke arah Kyriel. “Maaf ya Encik Kyriel, terpaksa
dengar saya membebel. Tapi saya kalau hal melibatkan Ilham dengan adik dia yang
tak guna tu, memang saya over sikit.”
“Laila...” Tegur Johan dengan
nada berbaur amaran. Nampak jelas yang dia tidak suka Laila menjaja cerita
Ilham dan Azie. Laila yang dapat menangkap maksud nada suara tunangnya itu
segera meminta diri ke dapur meninggalkan Johan dan Kyriel.
“Kau tak nak balik hotel ke? Kalau
nak balik, aku boleh minta tolong budak aku hantarkan.” Soal Johan.
Kyriel memandang Johan sekilas
sebelum pandangannya dihala ke arah Ilham.
“Dia tak akan berhenti buat
kerja, tak payahlah kau tunggu. Kau baliklah dulu. Berehat. Esok kita nak ke
Pulau Tuba.”
Kyriel teragak-agak. Berat
hatinya mahu meninggalkan Ilham. Dia ingin sangat berbual walaupun sebentar
dengan gadis itu. Teringin pula rasanya berada di sisi Ilham dan cuba
menenangkan hati gadis yang sedang kacau itu.
“Hati dia tengah tak tenang.
Kau tengokkan dari tadi dia tak berhenti buat kerja? Itu tandanya dia nak
elakkan diri dia dari berfikir hal yang tak menyenangkan. Dan kalau dia tengah berkeadaan
macam itu, dia tak mahu diganggu. Kau baliklah. Tunggu sahaja esok.”
“Dia akan ok, kan?” Tanya
Kyriel.
“Itu Ilham Insyirah. Marahnya
sekejap. Kecewanya tak lama. Sedihnya tak panjang. Cuma...” Johan ketawa kecil
“Cuma apa?”
“Kalau merajuk, bagilah emas
permata pun, belum tentu terpujuk.”
Kyriel senyum segaris. Wajah
Ilham dipandang dalam-dalam. Emas permata segunung memang tak akan mampu
memujuk gadis itu kerana saat itu, jauh di sudut hati kecilnya satu hakikat
cuba diakui. Ilham Insyirah bukan sebarangan gadis. Nilainya jauh lebih besar
dari emas dan permata.