PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Tuesday, July 24, 2012

Bab 12



Kereta yang dipandu Ilham berhenti di hadapan sebuah gerai menjual air. Sangkanya gadis itu mahu berhenti membeli air tetapi bila Ilham mematikan enjin dan Kyriel mula hairan. Dia memerhatikan keadaan luar dari dalam kereta. Beberapa orang dilihatnya berjalan memasuki sebuah pintu kecil di sebelah gerai menjual air itu. Keadaan sekelilinginya hanya dilitupi pokok-pokok yang menghijau. Tempat apa ni?
“Okay, kita dah sampai destinasi pertama kita,” ujar Ilham ceria. Dengan senyuman terukir di bibir, dia berpusing mengadap Kyriel. Senyuman di bibirnya mati bila melihat wajah Kyriel yang berkerut.-kerut memandangnya. Aduh, salah apa pula yang aku dah buat ni?
“Kita di mana ni?” tanya Kyriel.
“Err...Makam Mahsuri.”
“Apa? What the hell are we doing here?” Bulat mata Kyriel memandang Ilham. Makam? Buat apa pergi makam? Aku bukan nak cari orang mati!
“Nak berjalan-jalan lah. Bukan ke awak kata nak pusing-pusing pulau ni? Tempat pertama yang orang akan lawati kalau melawat Langkawi ialah Makam Mahsuri ni. Salah satu tempat paling penting dalam sejarah Langkawi . Jadi saya bawalah awak ke sini.”
“Apa yang kau nak aku buat dekat sini?”
“Melawatlah. Tengok sediri dengan mata kepala awak sejarah tentang wanita lagenda pulau ni. Tengok rumah tempat dia membesar, perigi yang dia gunakan semasa hayat dia. Awak tahu tak, air perigi ni sejuk sepanjang masa tau. Orang kata air tu boleh jadi azimat. Dan tengok sendiri makam tempat dia bersemadi,” terang Ilham satu persatu.
Walaupun suara dia kedengaran tenang, tetapi hanya Tuhan saja yang tahu hatinya kini sedang berdebar kencang. Lebih-lebih lagi bila dia melihat wajah Kyriel yang merah menahan marah.
Awatlah, cepat sangat nak marah dia ni. Mengalahkan perempuan datang bulan. Asyik nak naik angin aje.
“Kalau aku nak belajar pasal sejarah Mahsuri, tak payah aku terbang berbatu-batu jauhnya sampai ke sini. Dalam buku sejarah pun aku boleh belajar. Dan apa yang aku boleh dapat kalau aku tengok tempat dia membesar atau perigi yang dia gunakan? Aku bukan orang yang pendek akal nak percayakan benda-benda macam azimat tu. Come on, azimat apa yang air tu boleh bagi? Boleh sembuhkan penyakit orang? Boleh buat orang jadi kaya? Kalau hebat sangat air perigi tu, pergilah bawa ke hospital supaya orang-orang sakit tu boleh sihat. Atau kau bagi aje pada peminta-peminta sedekah tepi jalan tu supaya diaorang boleh jadi kaya!”
Ilham mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Ke situ pulak mamat ni. Dia kehilangan kata-kata. Belum pernah lagi dia berhadapan dengan situasi macam ini. Sepanjang dia menjadi guide tidak bertauliah di pulau ini, ini baru pertama kali dia bertemu dengan orang yang berperangai macam Kyriel. Selalunya orang ramai memang tidak sabar-sabar untuk melawat makam Mahsuri, wanita lagenda Pulau Langkawi. Semua oranng ingin melihat sendiri dengan lebih dekat lagi sejarah wanita ini. Tapi Kyriel Iskandar pula sebaliknya. Ilham buntu. Apa yang lelaki ni nak sebenarnya?
Kyriel menarik nafas dalam-dalam. Cuba menahan rasa marah yang sedang membuak-buak dalam dadanya. Bertenang Kyriel, bertenang. Perlahan dia berpusing mengadap wajah gadis di sebelahnya.
“Apa yang Noni beritahu kau?”
“Maksud awak?”
“Tentang tujuan sebenar aku upah kau?!”
“Err...dia cakap awak nak pakai guide untuk bawa awak pusing-pusing pulau ni.”
“Lagi?”
“Awak nak anak jati pulau ni untuk jadi guide awak. Dia cakap awak nak ke tempat yang banyak pelancong asing,” tambah Ilham.
Kyriel terus memandang Ilham, menanti ayat yang seterusnya. Tetapi bila dilihatnya Ilham juga memandangnya dengan wajah penuh tanda tanya, dia mengeluh kasar. Melihat dari air muka Ilham yang terkulat-kulat itu, dia pasti Noni tidak memberitahu gadis itu tujuan sebenarnya mengupah guide untuk mengelilingi pulau ini.
“Noni tak beritahu kau yang aku bukan nak melawat tempat-tempat mengarut ni?”
Ilham mengeleng kepala. Dia mula rasa tidak sedap hati. Entah kenapa dia dapat merasakan apa yang bakal keluar dari mulut Kyriel sebentar lagi akan mendatangkan masalah padanya.
“Aku perlukan guide untuk bawa aku ke seluruh Langkawi ni. Dan bila aku kata seluruh Langkawi, aku maksudkan seluruh pulau ni termasuk mana-mana pulau sekelilingnya yang di duduki manusia. Dari utara ke selatan, barat ke timur. Aku nak kau bawa aku ke kawasan kampung, pekan atau mana-mana tempat yang jadi tumpuan warga asing terutamanya orang Eropah. Bukan tempat-tempat yang selalunya orang lawati tu, tapi kawasan mereka berkumpul. Kawasan yang ada di duduki mereka terutamanya kawasan berhampiran pantai. Faham?”
Ilham menelan liur. Tekaknya terasa kelat. Dari utara ke selatan, barat ke timur? Maknanya dia harus membawa lelaki itu ke seluruh kawasan pulau! Di kepalanya mula terbayangkan kawasan pulau yang lebih kurang 47,000 hektar dan dikelilingi pulau-pulau kecil yang lebih daripada 90 buah itu. Patutlah lumayan bayaran dia. Aduh! Macamana ni? Aku mana pernah pusing satu pulau. Setakat tempat-tempat orang datang melawat tu aku tahulah. Tempat lain aku mana tahu. Kawasan timur pulau ni pun aku tak habis jelajah lagi. Ilham, apa yang kau nak buat ni?
“Kau faham tak apa yang aku cakap ni?” soal Kyriel bila melihat Ilham hanya mendiamkan diri.
“Awak nak saya bawa awak ke seluruh pulau ni?” tanya Ilham sambil tangannya menunjukkan tanda bulatan.
Kyriel memeluk tubuhnya sambil merenung Ilham. Malas mahu mengulang ayat yang sama. Ilham menelan liur sekali lagi.
“Awak nak saya bawa awak pergi ke semua pulau disekeliling main island ni?”
“Setiap inci.”
Ilham mula panik. Kepalanya ligat memikirkan apa yang harus dibuatnya. Bawa keliling setiap inci Pulau Langkawi? Kalau setakat Pekan Kuah tu kira okaylah. Yang lain-lain tu macamana? Mana aku tahu kat mana ramai orang putih melepak. Kalau aku mengaku dekat dia, nanti terbocorlah rahsia aku menipu dia tadi. Tak pasal-pasal Kak Noni pun kena sama. Aduh! Kat mana aku nak mula dulu ni?
“Kita mulakan di Pekan Kuah,” ujar Kyriel tiba-tiba.
Ilham tersentak mendengar jawapan Kyriel. Macam tahu-tahu aje apa yang tengah fikir. Melihat senyuman sinis di bibir Kyriel baru Ilham tersedar rupanya soalan yang bermain dihatinya tadi telah terkeluar dari bibirnya. Isyhh..mulut ni. Berhati-hatilah sikit bila nak bercakap tu! Dengan hati yang berat Ilham menghidupkan enjin keretanya.
Saat itu dia teringat satu pepatah lama yang dipelajarinya di sekolah dahulu. Jangan sekali-kali memulakan penipuan kerana sekali kau menipu kau terpaksa menipu lagi untuk menutup penipuan kau yang lepas dan perkara itu akan berterusan tanpa berhenti. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa janganlah timbul apa-apa hal yang tidak diingini.

1 comment:

pena tumpoi said...

Auw. Romantik juga Cik Farah kita ni.
Cek suka :) Lagu tu menaikkan lagi suasana antara Ilham dan Kyriel. *rolling eyes*