Tujuh Tahun Sebelumnya…
Ilham menghirup kuah laksa pekat di dalam pinggan di depannya dengan penuh nikmat. Ini sudah pinggan kedua laksa yang menjadi habuan tekaknya. Memang sejak dia dikenalkan dengan Laksa Kak Su di Pekan Kuala Perlis ini, dia sudah menjadikan makanan ini salah satu makanan wajib baginya bila sahaja dia turun ke pekan ini.
Ilham menyudu lagi kuah yang sudah tinggal separuh itu. Sebelah tangannya memegang sehelai tisu untuk mengesat bibirnya yang terkena lebihan kuah. Laksa Kak Su ini memang sedap. Kuahnya yang pekat memang enak dan dipadankan pula dengan laksa yang dibuat sendiri dari tepung beras, pasti akan membuatkan sesiapa yang pertama kali merasai akan berhajat untuk merasainya sekali lagi.
“Kak, bungkus dua” jerit Ilham pada pelayan kedai. Kak Ina mengangkat ibu jari tangan kanannya menunjukkan tanda okay pada Ilham. Ilham tersengih. Dia meneruskan kembali menjamu selera tanpa memperdulikan keadaan sekelilingnya.
“Hoi! Kau ni, kalau dah jumpa laksa tu, dunia ni pun kau boleh lupa,kan?” jerkah Mazni di hadapannya. Ilham tersedak bila disergah begitu. Dia mencapai gelas teh ‘o’ ais limau di depannya. Dia menyedut rakus air yang tinggal separuh itu.
“Kau jangan buat macam tu boleh tak? Terkejut aku tau!” ujar Ilham separuh marah. Dia mengosok-gosok dadanya yang sedikit sakit kerana tersedak tadi. Mazni yang sedar keterlanjurannya mengangkat kedua belah tapak tangannya lalu dicantumkan gaya orang zaman purbakala datang mengadap sultan.
“Minta ampun la Cik Ilham Insyirah oii. Hamba janji tak buat lagi.”
Ilham mencebik mendengar kata-kata Mazni. Hari ni memang lah kau tak buat lagi,esok lusa? Mesti kau ulang balik!
Tapi sejurus kemudian dia tersenyum. Walaupun geram disergah Mazni tapi apa yang dikatakan temannya itu ada kebenarannya. Dia, kalau sudah mengadap laksa Kak Su, memang akan lupa segalanya. Tapi siapa yang harus dipersalahkan? Kalau bukan Mazni yang memperkenalkan hidangan istimewa itu, mana mungkin dia boleh jadi ketagih begini?
“Ala, aku jadi lagu ni pun sebab hang juga. Kalau bukan hang yang introduced aku kat kedai ni, mana aku nak kenai kan?” tukas Ilham dalam loghat utaranya yang kedengaran pelik di telinga anak jati utara seperti Mazni. Orang KL baru belajaq cakap utara, pelik sungguh bunyi!
“Amboi, sedap rasa nak salahkan orang ya. Kau tu yang memang hantu laksa, nak salahkan orang pulak!” Mazni yang geram menghadiahkan cubitan berapinya ke lengan Ilham.
“Auuww...sakitlah!” Ilham merengek. Dia mengosok-gosok lengannya sekejap sahaja sudah merah bertanda denga kesan cubitan Mazni tadi.
“Eleh, sikit aja pun dah sakit. Aku punya cubitan tak power manapun kalau nak banding dengan cubitan ala scorpion Mak Lang kau!” Balas Mazni.
Ilham tersengeh mengiyakan kata-kata Mazni. Cubitan anak Pak Idris itu sebenarnya biasa-biasa sahaja jika hendak dibandingkan dengan cubitan ala-ala kala jengking Mak Lang Sakinah. Ilham berniat untuk menyambung makan tapi bila terkenangkan adik arwah ayahnya itu, selera makannya mati. Dia bangun serta merta. Wajahnya yang ceria tadi bertukar panik. Mampus aku! Mesti Mak Lang bising! Dia memandang sekilas jam ditangan. 4.20 petang. Aduh! Macamana aku boleh tak sedar ni?!
“Kak Ina, kira cepat!” jerit Ilham. Kak Ina terkocoh-kocoh datang dengan dua laksa bungkus yang dipesannya tadi dan diletakkannya di atas meja.
“Awatnya hang ni Ilham? Kalut semacam je akak tengok?”
“Haah. Kau ni kenapa? Tiba-tiba pulak kalut macam ni?” tegur Mazni pula.
“Aku dah lambat ni. Engkau orang dua orang janganlah banyak soal!” Balas Ilham. Dia mengeluarkan not 10 ringgit dua keping dan diletakkan di atas meja. Helmet yang diletakkan di kerusi segera dicapainya.
“Cepatlah Maz. Hantar aku ke jeti cepat!” gesa Ilham. Dia berlari menuju ke motosikal Mazni di luar kedai. Mazni dan Kak Ina hanya bertukar pandang. Hairan dengan sikap Ilham.
“Baik hang cepat Maz. Kalut betui dia tu. Memang nak cepat sangat lah tu sampai laksa ni pun dia boleh lupa.” Kak Ina menghulurkan bungkusan di atas meja ke tangan Mazni. Tanpa berlengah Mazni segera mendapatkan Ilham.
***
Ilham cepat-cepat menanggalkan helmet di kepala dan dihulurkan pada Mazni. Laksa di dalam bakul motor segera dicapainya. Belum sempat Mazni berkata apa-apa, dia sudah berlari menuju ke kaunter tiket.
“Oii…Ilham, kau jadi tak turun sini Khamis depan?” jerit Mazni, mengingatkan Ilham janji mereka untuk bertemu minggu hadapan. Ilham yang sudah sampai di kaunter dua terpaksa menoleh untuk menjawab pertanyaan Mazni.
“Nanti aku call hang!” Jawab Ilham ringkas. Dia berpusing semula mengadap kaunter. Kertas yang tertera jadual perjalanan feri di bacanya.
“Uncle Cheng, bagi saya tiket pukul 4.30.” Ilham menghulurkan duit kepada lelaki berbangsa Cina di kaunter. Jarum jam sudah menunjukkan jam 4.35 petang tapi Ilham tahu feri itu belum berlepas lagi.
“Tak boleh la Ilham. Dah lambat dah ni. Feri nak jalan. Hang ambil tiket pukul 5.30 lah na?” Ujar Uncle Cheng.
“Ala... Uncle. Tolonglah, Ilham dah lambat ni…”
“Tak boleh. Tak sempat dah ni…” balas Cheng. Feri sudah bersedia untuk berlepas. Memang Ilham tidak sempat mengejarnya.
“Ala… tolonglah Uncle. Ilham betul-betul dah terdesak ni. Nanti kalau Ilham ambil feri pukui 5.30, lagi lambat sampai Langkawi. Mak Lang bising nanti!” Rayu Ilham. Dia menunjukkan muka kasihannya pada Uncle Cheng. Melihat wajah putih mulus itu begitu, Uncle Cheng menjadi kasihan. Dengan hati yang bercampur baur, Cheng menghulurkan tiket kepada Ilham.
“Terima kasih Uncle Cheng! I love youuu!!!!” jerit Ilham kegirangan. Dia berlari menuju ke pintu yang menghala ke ruangan menunggu feri.
“Ilham, kalau Pak Mud hang dah jalan, hang tunggu feri pukul 5.30 nanti. Hang jangan nak buat kerja gila lompat naik atas feri macam dulu lagi!” pesan Cheng. Namun dia tidak pasti samada gadis itu mendengarnya atau tidak.
“Janganlah hang buat kerja gila tu lagi Ilham. Kalau tak naya aku!” Doa Cheng dalam hati.
Dari jauh Ilham dapat melihat Mat Din, pembantu Pak Mud sudah pun menarik tali pengikat feri menandakan feri akan mula bergerak. Alamak dah nak jalan! Ilham segera berlari. Dia menjerit meminta Mat Din menunggunya.
“Abang Mat! Abang Mat! Tunggu sat.” Tapi Mat Din yang kini membelakangkan Ilham tidak mendengar jeritan gadis itu. Ilham berlari lebih laju lagi sambil tangannya melambai-lambai ke arah feri itu.
Sebaik sahaja Ilham sampai di depan feri, feri itu mula bergerak meninggalkan jeti. Ilham mula cemas. Dia tidak boleh menunggu untuk satu jam lagi. Apa pun yang terjadi feri yang tertera nama Ekspress Labuan itu perlu dinaikinya.
“Sorry, Uncle Cheng. Ilham terpaksa.’ Dia terpaksa mengingkari pesanan Cheng tadi. Ilham berundur sedikit ke belakang. Dia sudah nekad. Dalam hati dia berdoa agar dia selamat mendarat di atas feri dan bukannya ke dalam laut. Dia menarik nafas dalam dan mengira di dalam hati. Satu...dua...tiga...lompat! Dengan mata terpejam rapat, Ilham melompat ke atas feri. Merasakan benda pejal di bawahnya, Ilham yakin dia selamat mendarat di atas dek feri dan bukannya ke dalam laut. Tetapi ada sesuatu yang ganjil di situ.
“Kenapa pula deck feri ni lembut semacam?”. Deck yang sepatutnya keras dan sejuk itu kini terasa lembut dan sedikit hangat. Dengan perlahan Ilham membuka matanya. Dia tersentak. Di hadapannya kini ada sepasang mata berwarna coklat millik seorang lelaki sedang merenungnya tajam. Pandangan keduanya bertaut. Dada Ilham berdegup kencang. Entah kenapa mata yang tajam merenungnya itu kelihatan sangat indah dan menawan di mata Ilham.
Tanpa disedari pandangannya kini beralih ke hidung lelaki itu. Hidung mancung itu terletak sempurna diwajah yang cerah kemerahan itu. Pandangannya kini jatuh ke bibir merah lelaki itu yang kelihatan terkumat-kamit menyatakan sesuatu. Tetapi Ilham tidak mendengar sepatah pun kata-kata lelaki itu. Dia benar-benar terpesona dengan kekacakan lelaki itu. Siapakah dia? Pelancongkah? Mungkin juga kerana wajah lelaki itu tidak kelihatan seperti orang tempatan.
“Ilham!” Ilham tersentak bila mendengar namanya dipanggil Mat Din dan tubuhnya ditarik bangun. Baru Ilham perasan yang dia terjatuh di atas lelaki yang asyik direnungnya tadi. Mukanya kini panas menahan malu yang teramat.
“Awat la hang buat kerja gila ni lagi?” Marah Mat Din. Ilham hanya menundukkan kepalanya. Dia betul-betul merasa malu. Sudahlah dia jatuh di atas lelaki itu, kini dia dimarahi pula oleh Mat Din. Nasib baiklah kau orang putih, tak faham apa kami cakap. Kalau tak, isyhh..malu aku!
“Dulu hang buat lagu ni, tak pasai-pasai Uncle Cheng kena marah dengan tokei. La ni hang buat lagi. Hang memang saja nak susahkan kami semua, kah?” tempelak Mat Din lagi. Dia benar-benar geram dengan perbuatan Ilham.
“Maaf Abang Mat, Ilham terdesak sangat ni.” Ujar Ilham perlahan. Dia mencuri memandang ke arah lelaki disebelahnya. Tatkala pandangan mereka bertaut, Ilham cepat-cepat mengalihkan pandangannya. Renungan tajam lelaki itu membuatkan dia lemas.
“Sorry Abang Mat. Ilham janji tak akan buat lagi.” Ilham berjanji pada Mat Din yang belum berhenti memarahinya. Tiba-tiba hidung Ilham menangkap bau yang baru dihidunya beberapa ketika yang lalu di Kedai Laksa Kak Su. Matanya membulat apabila terpandangkan plastik kuah laksa yang dibawanya tadi sudah pecah dan kuahnya telah melimpah keluar ke atas dek feri. Ilham menekup mulutnya bila melihat kaki lelaki disebelahnya itu turut menjadi mangsa kuah laksa itu. Aduh! Kenapalah aku asyik memalukan diri depan mat salih ni?!
“I’m so sorry, sir. I didn’t mean to land on you and I’m sorry about this mess too...’
“Kau ni ada otak ke tidak?” soal lelaki itu tiba-tiba. Ilham terpempam. Alamak, boleh cakap Melayu lah pula.
“Kau tahu tak apa yang buat tadi merbahaya? Bukan hanya pada diri kau tapi semua orang atas feri ni.” Mata lelaki itu mencerun memandangnya. Ilham tunduk, gerun dengan pandangan tajam lelaki itu.
“Engkau tahu tak kadang-kadang kita tak sedar apa yang kita buat sebenarnya boleh menyusahkan orang lain. Tindakan bodoh kau tadi boleh susahkan banyak pihak, tahu?!” Ilham yang sedar dia dia pihak yang salah hanya diam membatukan diri.
“Mak dengan ayah kau tak pernah ajar kau ke?” sindir lelaki itu. Darah Ilham menyirap.
Memang pantang dirinya kalau nama ibu dan ayahnya disebut-sebut. Main kasar pula Mat Saleh celup ni!
“Saya tahu saya salah dan saya mengaku apa yang saya buat tadi bodoh tapi yang encik nak libatkan ibu dan ayah saya apahal pulak?” marah Ilham.
“Kalau betul didikan ibu dan ayah kau tu, kau tak akan jadi macam ni, kan?”
“Kurang ajar!” Pang! Pantas tangan Ilham hinggap ke muka lelaki itu. Harapkan muka aja handsome, tapi mulut jahat!
Melihatkan muka lelaki itu mula menyinga, Mat Din cepat-cepat masuk campur.
“Encik, saya minta maaf bagi pihak cik ni. Saya minta maaf sangat-sangat, ya encik?” Pinta Mat Din. Kalau boleh, dia tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan. Cukuplah dengan aksi gila Ilham tadi, dia tidak mahu perbuatan Ilham menampar penumpang ferinya itu pula mendatangkan masalah.
“Engkau pun sama! Macamana kau jaga keselamatan penumpang ni? Kalau terjadi apa-apa tadi macamana?” Geramnya pada Ilham dilempiaskan kepada Mat Din.
“Eh, saudara. Yang salah saya, bukan abang Mat. Yang awak nak marah dia tu kenapa?” Ujar Ilham yang tidak berpuas hati dengan lelaki itu.
“Dahlah tu Ilham. Memang salah abang Mat pun. Maaf ya, encik. Saya jamin hal ni tak akan berlaku lagi. Nanti saya ambilkan kain untuk bersihkan kaki encik ni, ya.” Mat Din menarik tangan Ilham masuk ke dalam feri. Dia tahu, kalau ditinggalkan Ilham bersama lelaki itu, anak jirannya itu akan mula mencari pasal. Dia tidak mahu hal ini berlarutan lebih lama.
“Next time use that brain of yours in the right way. Sia-sia saja Tuhan kurniakan otak kalau tak pandai nak guna.” Sempat lagi lelaki itu menyindir Ilham.
Ilham berniat membalas tapi Mat Din segera menariknya ke dalam.
“Eeee...janganlah bagi aku jumpa kau lagi. Kalau aku jumpa, siaplah mulut kau tu aku ganyang-ganyang dengan cabai!” sumpah Ilham.