Malam sudah semakin larut. Mata Ilham tertancap ke arah jam yang tergantung di dinding bercat warna biru muda itu. Jarum jam sudah beralih ke angka 2 menandakan sudah pukul dua pagi. Selalunya waktu-waktu begini Ilham sudah lama lena dibuai mimpi. Keletihan sehari suntuk berkerja dibayar dengan tidur yang sempurna. Tapi malam ini matanya tak mahu terpejam walaupun dipaksanya berkali-kali. Masuk jam ini entah berapa kali badannya di kalih ke kanan dan ke kiri. Bermacam-macam petua telah dicubanya. Dari solat tahajud hinggalah ke petua orang barat, mengira jumlah kambing melompat pagar tapi kantuknya tetap tidak datang.
Peristiwa yang berlaku petang tadi benar-benar menganggu fikirannya. Sejak meninggalkan Ilham Nazira petang tadi, hatinya tidak pernah tenteram. Hajat untuk kembali semula ke pejabat selepas urusannya dengan Encik Halim selesai dimatikan saja. Dia hanya menelefon Kak Neesa dan mengatakan badanya rasa kurang enak jadi dia mahu terus pulang ke rumah. Memandangkan waktu sudah menginjak ke pukul 5, Neesa tidak banyak soal. Dia cuma berpesan agar Ilham berehat dan berjumpa doktor jika keadaannya serius.
Ilham mengiring semula ke kanan. Tubuhnya kini tepat mengadap sekujur tubuh Mazni, sahabat baiknya dunia akhirat yang sudah lena melayari bahtera mimpinya. Ilham mengeluh kuat. Cemburu dia melihat Mazni yang nyenyak tidur sedangkan dirinya masih terkebil-kebil di dalam gelap.
Kenapalah aku jumpa kau lagi, Isk? Kenapa perlu sekarang. Saat semuanya dah kembali normal dalam hidup aku? Kenapa wajah insan yang paling ingin aku lupakan muncul kembali? Dan kenapa aku perlu mengenali Ilham Nazira? Kenapa aku perlu tolong dia pagi tadi? Kalau lah aku jadi macam lelaki botak yang pentingkan diri sendiri tu tadi mungkin semua ini tak akan terjadi. Ya Allah, apa ujian yang nak Kau turunkan padaku kali ni, Ya Rabbi?
Namun dia sedar semua soalan itu tidak akan dapat dijawabnya. Walau apa pun yang difikirkannya, hakikatnya tetap sama; Kyriel Iskandar sudah muncul kembali dalam hidupnya! Ini ketentuan Allah s.w.t. Sudah tertulis di loh mahfuznya, hari ini Ilham Insyirah Anuar akan bertemu semula dengan kenangan lamanya, Kyriel Iskandar Adam Abdullah. Apa lagi yang mampu aku lakukan kalau memang ini kehendakNya?
Ilham bangun dari katil yang dikongsi bersama Mazni itu. Sudah enam tahun dia dan Mazni menjadi penghuni bilik utama di rumah sewa satu tingkat itu. Rumah yang mempunyai tiga bilik itu disewa bersama dengan empat lagi rakan mereka. Walaupun asalnya rumah sewa itu hanya didiami oleh Ilham dan Mazni tetapi kerana mahu berjimat cermat, Ilham mencadangkan agar bilik yang lain disewakan pada orang lain. Mulanya Mazni agak keberatan kerana takut tidak ada keserasian antara mereka tetapi setelah bertemu Ju’a, Ani, Kak Sal dan Lela, dia akhirnya bersetuju kerana ternyata mereka berenam satu kepala.
Ilham berjalan menuju ke tingkap yang tertutup rapat. Perlahan dia membuka tingkap itu dan melemparkan pandangannya ke luar. Suasana sunyi sepi menyapa gegendang telinganya. Masakan tidak, siapa lah yang mahu berjaga waktu-waktu begini? Lebih baik mereka tidur dan merehatkan diri.
“Ilham? Kau ok ke?” Ilham terjaga dari lamunannya bila terdengar namanya dipanggil. Ilham menoleh ke arah katil. Mazni sudah terjaga dan sedang duduk dengan kaki terjulur ke bawah.
“Kau sakit kepala lagi ke? Dah makan panadol?” soal Mazni lagi, risau kalau-kalau sakit kepala sahabatnya itu belum reda. Dia mengosok-gosok matanya untuk mendapatkan pendangan yang jelas dalam kesamaran bilik itu. Cahaya bulan yang mencuri masuk melalui tingkap yang dibuka Ilham menjadi panduannya untuk menghampiri Ilham.
“Maaf. Aku ganggu kau tidur ke?” soal Ilham pada temannya itu.
“Tak adalah. Aku cuma risau tengok kau aje. Kenapa ni? Kau tak sihat lagi ke?” Mazni meletakkan tapak tangan kanannya ke atas dahi Ilham dan tangan kirinya di letakkan ke atas dahinya. Sama aja aku rasa. Gumam Mazni seorang diri.
Melihat sikap Mazni yang selalu mengambil berat tentang dirinya membuatkan Ilham terharu. Sahabatnya yang satu itu memang terlalu baik dengannya. Sejak mula dia bersahabat dengan Mazni, kawannya itu tidak pernah jemu menjaganya. Susah payah mereka berkongsi bersama. Kadangkala Ilham sendiri naik segan dengan kebaikan yang Mazni berikan. Matanya terasa hangat. Air mata yang ditahan sejak melarikan diri dari Ilham Nazira tadi akhirnya tumpah. Ilham memeluk Mazni sekuatnya. Di bahu kawannya itu dia menghamburkan segala kesedihan yang dirasainya kini.
Mazni terkejut dengan sikap Ilham. Apa hal pulak budak ni? Sudah lama dia tidak melihat Ilham begini. Kali terakhir Ilham menangis dibahunya adalah tujuh tahun lalu. Dia ingat lagi Ilham tiba di rumah neneknya malam itu dalam keadaan yang tidak terurus. Seperti malam ini, waktu itu Ilham juga menangis semahu-mahunya. Puas dia memujuk Ilham malam itu. Esoknya Ilham terus menyatakan hasratnya untuk tinggal bersama Mazni beberapa hari di rumah mak dan bapaknya di Kuala Perlis. Selepas beberapa hari dipujuk baru Ilham sudi bercerita. Takkan ini pun aku kena tunggu tiga hari kot? Ujar Mazni dalam hati.
“Ilham? Kau ni kenapa? Jangan la menanggis macam ni. Nanti aku pun sedih jugak.” Pujuk Mazni. Belakang temannya itu digosok lembut, cuba menenangkan hati kawannya itu.
Ilham terus menanggis. Dia sudah tidak mampu menahan rasa lagi. Malam ini dia mahu meluahkan segalanya agar beban di hatinya hilang. Dia menangis sekuat hatinya. Dia mahu airmatanya yang mengalir keluar membawa sekali luka dan kepedihan di hati.
“A..a..a..aku jumpa dia Maz. Aku jumpa dia.” Ujar Ilham dalam esak tanggisnya. Mazni hairan. Siapa yang dijumpai Ilham sampai dia menjadi begini?
“Kau jumpa siapa, Ilham?” soal Mazni. Perlahan Ilham merungkaikan pelukannya. Matanya yang bergenang air mata merenung tepat mata Mazni yang kehairanan. Perlahan tangan kanannya dimasukkan ke dalam leher baju tidurnya. Seutas rantai yang setia tergantung dilehernya selama ini di keluarkan dan ditunjukkan kepada Mazni.
Mazni merenung rantai yang berbuahkan tiga buah cengkerang kulit siput yang sudah diawet itu. Dia sudah dapat menangkap maksud Ilham. Dia kenal benar dengan rantai itu. Dia kenal siapa pemberinya. Dia tahu sangat siapa yang mengalungkan rantai itu ke leher Ilham. Matanya kembali menyapa wajah sahabatnya yang basah dengan air mata itu.
“Kau jumpa Iskandar?” tanya Mazni perlahan. Dia tidak perlu mendengar jawapan dari mulut Ilham. Mata dan sendu gadis itu sudah cukup untuk menjawab soalannya.
“Kau jumpa dia kat mana?” tanya Mazni lagi. Perlahan Ilham menceritakan peristiwa yang terjadi padanya tadi bermula dari saat dia bertemu Ilham Nazira.
Ilham ketawa kecil. “Kelakarkan? Aku tak sangka dunia ni kecil betul. Aku asyik ingat selama ni cerita-cerita macam ni jadi kat dalam t.v aje.”
Mazni memegang tangan Ilham. Mujur mereka kini berada semula di atas katil kalau tidak pasti dia terduduk di atas lantai selepas mendengar cerita Ilham. Memang benar kata Ilham, selalunya kisah begini hanya berlaku dalam sinetron atau telenovela yang sering ditonton di kaca televisyen. Sungguh dia tak menyangka dalam realiti, kisah begini boleh terjadi.
Ilham dilihatnya mula tenang. Dia tidak lagi menangis seperti tadi. Yang kedengaran kini hanya esakan kecil dari gadis itu. Mazni serba salah. Separuh hatinya, dia mahu Ilham menceritakan apa sebenarnya yang berlaku antara Ilham dan Kyriel Iskandar tujuh tahun lalu di Pulau Langkawi. Tapi yang separuh lagi takut kalau-kalau dengan menceritakan hal itu akan membuatkan sahabatnya itu bertambah sedih.
Mazni sebenarnya samar-samar tentang kisah antara Ilham dan Kyriel Iskandar. Apa yang Ilham ceritakan cuma dia dan Iskandar berkenalan di Pulau Langkawi. Dan dalam masa dua minggu mereka bersama, wujud satu perasaan antara mereka. Tapi atas sebab-sebab tertentu mereka terpaksa berpisah dan perpisahan itu hampir membuatkan sahabatnya itu menjadi separuh nanar! Mazni sendiri tidak tahu apa sebabnya mereka terpisah.
Walaupun Mazni tidak pernah bertemu Kyriel Iskandar tapi dari cara Ilham bercerita dia yakin lelaki itu baik orangnya. Jadi kenapa mereka berpisah? Apa puncanya? Soalan-soalan itu hanya berlegar di dalam hati Mazni sahaja. Pernah dia bertanya pada Ilham tapi jawapan gadis itu hanya menjawab “Helang dan pipit tak boleh terbang sama, Mazni.” Adakah kerana status keluarga mereka berbeza jadi mereka berpisah? Cerita yang diberitahu Ilham dan yang tertulis dalam akhbar tidak memberinya jawapan yang sebenar.
“Kau tahu Maz, dia dah banyak berubah. Dulu rambut dia panjang, sekarang ni dah pendek. Muka pun dah ada tumbuh misai dan jambang sikit-sikit macam hero kau Brad Pitt tu. Tapi senyuman dia tak berubah langsung Maz. Macam dulu jugak. Manis.” Ujar Ilham tiba-tiba.
Seraut wajah Kyriel Iskandar muncul dimatanya. Walaupun kini lelaki itu kemas berambut pendek, namun dia masih kacak macam dulu. Malahan kekacakannya itu makin terserlah dalam kedewasaannya itu. Senyuman lelaki itu ketika bersama si kecil yang menangis tadi masih tetap macam dulu. Manis dan menawan. Tubuhnya lebih sasa berbanding dulu.
Ilham mencongak di dalam kepalanya. Tujuh tahun dulu Kyriel Iskandar berusia 23 tahun. Bermakna kini umur lelaki itu sudah mencapai 30 tahun. Patutlah dia kelihatan lebih matang sekarang. Bertuah siapa yang dapat memiliki lelaki itu, bisik hati kecil Ilham.
Tiba-tiba dia terkenangkan Ilham Nazira. Siapa Ilham Nazira di sisi Kyriel? Mulanya Ilham menyangkakan Ilham Nazira hanya pekerja Kyriel tapi melihatkan cara Kyriel meraih tangan gadis itu tadi, Ilham yakin hubungan mereka lebih dari itu. Masakan seorang bos akan memegang tangan pekerjanya begitu? Hati Ilham terasa sakit bila memikirkan yang Kyriel Iskandar punya hubungan istimewa dengan Ilham Nazira. Pedihnya sama seperti yang dirasai ketika dia ternampak Kyriel memegang tangan Ilham Nazira tadi. Bagai ada belati tajam yang menusuk hatinya.
Sudah Ilham! Kenapa perlu kau rasa macam tu? Kau tak layak untuk rasa begitu Ilham. Bukan selepas apa yang kau dah buat pada Isk!
“Ilham? Kalau aku tanya kau jangan marah ya?” Mazni bertanya tiba-tiba. Ilham memandang ke arah Mazni, menantikan butir bicaranya.
“Sebenarnya apa yang jadi pada kau dengan Iskandar tu? Kau tak pernah cerita pun dekat aku. Kenapa kau berdua berpisah? Kalau ikut cerita kau, engkau dua orang kan suka sama suka. Tapi kenapa korang tak bersama?”
Ilham menarik nafas panjang. Dia tahu, dia perlu menceritakan kepada Mazni apa yang berlaku. Dia tidak boleh selamanya membiarkan sahabatnya itu terus berteka-teki. Tapi tegarkah dia membuka pekung di dada? Apakah Mazni akan menganggap dia sahabat lagi selepas ini? Mampukan dia menanggung kepedihan itu lagi? Mata Mazni direnung. Tanggan Mazni dipegang, cuba mencari kekuatan di situ. Dia membuka mulut, memulakan bicara.
“Helang dan pipit tak boleh terbang sama, Maz….”
No comments:
Post a Comment