Kyriel Iskandar membaca laporan di atas mejanya sambil telinganya tekun mendengar jadual kerja yang diterangkan oleh setiausahanya, Maisarah. Dahinya berkerut bila membaca perenggan-perenggan yang tidak memuaskan hatinya. Fail laporan bulanan dari wakil cawangan hotelnya di Sabah itu diletak dan ditutup kasar. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan prestasi cawangan Hotel Prestige di Sabah itu.
“Batalkan appointment saya dengan Tan Sri Kamarul petang nanti. Tell him if he doesn’t agree with our condition, then there’s no point of having a meeting together.” Perintah Kyriel.
Maisarah hanya menurut walaupun dalam hatinya sedikit ralat memikirkan reaksi Tan Sri Kamarul bila diberitahu bosnya tidak mahu bertemu dengan pemilik rangkaian Hotel Inn Villa itu.
“You telefon Encik Pairin di Sabah. Saya nak adakan meeting dengan dia lusa.” Kyriel memberikan arahan seterusnya.
“Errr...tapi tuan, lusa jadual tuan dah penuh. Sebelah pagi tuan kena ke mesyuarat MAHO. Lepas itu tuan ada dialog dengan pihak TNB. Sebelah petang ibu tuan minta tuan temankan dia ke Majlis Perasmian Butik Datin Afinie di Pavillion.” Jelas Maisarah. Dia cuba menahan senyum bila wajah kacak bosnya itu mencuka tatkala mendengar tentang permintaan ibunya, Datuk Zarith Sofea.
“Jadi? Bila saya free?” soal Kyriel. Maisarah menyelak organizer di tangannya. Dia mencari-cari masa yang sesuai untuk mengaturkan pertemuan antara bosnya dengan pengurus Hotel Prestige di Sabah itu.
“Hari Jumaat di sebelah pagi tuan tak ada apa-apa rancangan. Saya boleh set kan waktu tu untuk meeting dengan Encik Pairin.” Ujar Maisarah.
“Okay. You hantar email pada Pairin dan suruh dia ke KL Jumaat ni. Beritahu Encik Halim saya nak dia turut sama dalam meeting tu.” Kata Kyriel. Maisarah terus mencatat arahan bosnya itu di dalam organizer di tangannya. Usai segala urusannya pagi itu dengan Kyriel, Maisarah meminta diri untuk keluar. Dalam perjalanan keluar dia terserempak dengan pengurus baru bahagian perhubungan awam di hadapan pintu bilik Kyriel.
“Selamat pagi, Cik Ira.” Tegur Maisarah.
“Selamat pagi, Mai.” Balas Ilham Nazira mesra. “Okay ke kalau I nak jumpa bos you sekejap?”tanya Ilham Nazira.
"Okay, Cik Ira. Tuan Kyriel tak ada apa-apa appointment pagi ni. Saya minta diri dulu ya.” Ujar Maisarah lalu keluar meninggalkan bilik Kyriel.
Kyriel memandang Ilham Nazira yang melangkah perlahan ke arah mejanya. Di bibirnya terukir senyuman nipis bila terpandangkan pakaian Ilham Nazira pagi itu. Jarang sekali gadis itu mengenakan baju kurung. Seingat Kyriel, sejak dia berkenalan dengan Ilham Nazira hanya sekali dua sahaja dia pernah melihat gadis itu berbaju kurung. Itupun ketika hari raya.
“Mimpi apa you pakai macam ni hari ni?” usik Kyriel.
“I mimpi semalam hari raya, itu lah sebab I pakai baju kurung hari ni.” Selamba Ilham Nazira menjawab sebelum dia melabuhkan punggungnya di kerusi di hadapan Kyriel. Kyriel ketawa mendengar jawapan Ilham Nazira. Macam tahu-tahu je aku fikir macam tu!
“So, what brings you here Cik Ira?” Tanya Kyriel bila tawanya reda. Ilham Nazira menjegilkan matanya mendengar soalan Kyriel.
“Eh, nak jumpa my own fiancĂ©e pun kena ada sebab ke, Tuan Kyriel?” soal Ilham Nazira pula. Dalam hatinya ada sedikit rasa kecewa bila mendengar Kyriel bertanya begitu padanya. Takkan nak jumpa tunang sendiri pun nak kena ada sebab?
"I ingat you ada apa-apa hal penting nak jumpa I.” Ujar Kyriel mendatar. Dia kemudian mencapai fail di atas mejanya lalu terus membaca isi kandungannya. Ilham Nazira melepaskan keluhan kesal. Seperti biasa Kyriel tidak pernah mahu memujuknya walaupun dia tahu Ilham Nazira terasa hati.
Sejak berkenalan dengan Kyriel sehinggalah mereka mengikat tali pertunangan bulan lepas, sikap dingin lelaki itu tidak pernah berubah. Kadang-kadang Ilham Nazira tertanya-tanya adakah lelaki ini benar-benar rela bersamanya. Cintakah dia pada aku? Pernah dia bertanya pada Kyriel soalan itu tapi jawapan lelaki itu bukan seperti yang dia harapkan.
Cinta itu permainan budak-budak. Dan kita bukan budak-budak lagi. Cukup kalau I cakap yang I hormatkan you dan sayangkan you. Perasaan itu lebih bermakna dari segalanya.
Sayang dan hormatkan dia! Itulah perasaan Kyriel padanya. Tapi perasaan itu boleh muncul dalam hidup sesiapa sahaja. Ia boleh wujud dalam hubungan dia dan Maisarah, mama dan dan papanya malah dengan bell boy di hotel itu pun boleh wujud perasaan hormat dan sayang itu. Ia bukan sesuatu yang istimewa. Ilham Nazira mahukan sesuatu yang lebih bermakna dalam hubungan mereka berdua. Bukan setakat rasa sayang dan hormat sahaja. Dia mahukan cinta dari Kyriel!
Hatinya sebak bila melihat Kyriel tidak mengendahkan dirinya. Cepat-cepat dia menolak rasa itu ketepi. Tiada gunannya dia merajuk atau berjauh hati kerana dia pasti Kyriel tidak akan memujuknya.
“Sebenarnya I nak minta tolong you nanti.” Ilham Nazira memecahkan kesunyian di bilik itu.
“Apa dia?” Tanya Kyriel tanpa memandang ke arah Ilham Nazira. Dia tetap meneruskan bacaannya.
“Petang nanti hantarkan I balik?” pinta Ilham Nazira. Mendengar permintaan itu Kyriel memandang ke arah Ilham Nazira.
“Kereta you mana?” Tanya Kyriel pelik. Setahunya Ilham Nazira memandu sendiri ke pejabat.
“Kereta I meragam tak mahu start pagi tadi. I datang tadi pun naik komuter.” Jelas Ilham Nazira.
“Naik komuter? Kenapa you tak call I? You tu kan baru balik dari London, mana you biasa dengan public transport di sini.” Ujar Kyriel kesal. Walaupun di London Ilham Nazira biasa menaiki kenderaan awam tapi situasi di Malaysia berbeza. Sikap orang di sini agak kurang bertimbang rasa.
Terubat sikit hati Ilham Nazira bila mendengar nada suara Kyriel. Sekurang-kurangnya dia tahu Kyriel masih mengambil berat tentang dirinya.
"I malas nak susahkan you. Lagipun kalau I tak belajar dari sekarang, bila lagi I nak biasakan diri?" Ilham Nazira tersenyum manis.
“Lain kali call I kalau hal macam ni jadi. Kalau jadi apa-apa pada you apa I nak jawab pada Uncle Safuan?” tegas Kyriel.
“You ni bercakap macamlah I ni ada di Madagascar. This is Malaysia lah, sayang. Orang-orang yang I jumpa tu orang kita juga. Apa yang nak dirisaukan. Lagipun, untung juga I naik komuter tu hari ni. I dapat seorang kawan baru.” Tukas Ilham Nazira.
“Kawan baru?” Soal Kyriel. Ilham Nazira menceritakan peristiwa yang menemukan dia dengan Ilham Insyirah. Dengan nada ceria dia menceritakan apa yang dialaminya di stesen komuter hinggalah ke saat Ilham menerima salam persahabatannya.
“Baik betul Ilham tu. Jarang nak jumpa orang macam tu sekarang. Berani pula tu.” Ilham Nazira terkenangkan saat Ilham Insyirah menegur lelaki botak dibelakangnya tadi.
“You terlalu mudah percayakan orang, Ira.” Kata Kyriel dingin. Dia mengambil semula fail yang diletakkanya di atas meja sewaktu dia mendengar cerita Ilham Nazira tadi. Tapi tidak satu pun perkataan yang tertulis di atas kertas putih itu dapat dibacanya. Fikirannya tiba-tiba bercelaru bila mendengar tentang gadis yang membantu tunangnya tadi. Ada sesuatu yang wujud di hatinya tatkala mendengar nama Ilham Insyirah yang disebut Ilham Nazira tadi. Kenapa nama itu perlu muncul lagi dalam hidup aku?
Ilham Nazira hanya mampu mengeluh. Ini satu lagi sikap Kyriel Iskandar yang kurang digemarinya. Suka berprasangka buruk pada orang lain. Sukar sekali lelaki itu mempercayai orang lain. Hanya kerana satu pengalaman buruk, terus lelaki itu mengecap orang di sekelilingnya tidak patut dipercayai.
“Ilham Insyirah tu bukan orang tak baik, Kyriel. I percaya dia ikhlas tolong I. Sebenarnya dia sendiri keberatan nak kawan dengan I pada mulanya. Dia rasa sebab latarbelakang kami yang berbeza, kami tak boleh jadi kawan. Sikap dia yang begitu dah cukup buat I tahu yang dia orang yang boleh dipercayai.” Ujar Ilham Nazira seraya bangun dari kerusi empuk di bilik pejabat Kyriel. Malas dia berlamaan di situ jika Kyriel Iskandar hanya akan terus bersikap begitu. Dia tak mahu tercetus pula pergaduhan antara mereka nanti. Dia mengatur langkah ke pintu.
“Berhati-hati bila you nak berikan kepercayaan pada orang, Ira. Sekali you berikan rasa percaya you tu, sebenarnya you dah dedahkan kelemahan you pada mereka. Jangan sampai mereka gunakan kepercayaan yang you beri tu untuk ambil kesempatan atas you.” Kyriel sempat berpesan pada Ilham Nazira. Sebelum Ilham Nazira membuka pintu dia berpaling ke arah Kyriel.
“Kyriel, you tahu tak sejak kita berkenalan apa hasrat utama I?” soal Ilham Nazira.
Kyriel Iskandar memandang Ilham Nazira, menantikan jawapan muncul dari mulut gadis itu.
“Dia.” Ujar Ilham Nazira ringkas.
“Dia?” Tanya Kyriel Iskandar pelik. Siapa dia yang dimaksudkan?
“Dia. Hasrat I nak berjumpa dia. Orang yang membuat you Kyriel Iskandar Adam Abdullah menjadi manusia yang paling dingin dalam dunia ni. Orang yang bunuh hati you sampai ia jadi mati tak berperasaan macam hari ni. Orang yang buat I tak mampu nak merasakan cinta dari you. I nak sangat jumpa dia. I nak tengok apa istimewanya dia sampai dia berjaya buat you jadi sampai macam ni.”
Ilham Nazira segera keluar dari bilik itu selepas mengutarakan kata-kata itu. Dia tidak peduli jika Kyriel tersinggung dengan kata-katanya. Bertahun lamanya dia pendamkan perkara itu dalam hatinya tapi hari ini baru dia punya keberanian menyatakannya.
Di dalam bilik Kyriel mengetap bibir menahan geram. Geram pada kata-kata Ilham Nazira. Geram dengan dirinya. Kisah lamanya itu telah lama dikuburkan tapi hanya dengan mendengar nama Ilham Insyirah, terus fragmen-fragmen lama itu muncul di kotak fikirannya.
“Arghh…takkan sebab nama perempuan serupa kau nak jadi macam ni? Entahkan itu satu kebetulan aja.”
Dia memarahi dirinya sendiri. Dia bersandar pada kerusinya sambil memejamkan mata. Wajah seorang gadis terbayang di matanya. Sampai mati pun dia tidak akan melupakan wajah itu. Wajah insan yang berjaya memporak-perandakan hidupnya. Kata-kata Ilham Nazira terngiang-ngiang di telinganya.
“I nak sangat jumpa dia. I nak tengok apa istimewanya dia sampai dia berjaya buat you jadi sampai macam ni.”
Istimewa? Ya, memang dia istimewa. Dia terlalu istimewa sehinggakan aku sanggup bodohkan diri aku untuk dia. Kyriel menghentak meja dengan tapak tangannya. Cuba menghalau keluar kenangan-kenangan lalu yang sedang cuba mencuri ruang untuk muncul di fikirannya.
Ilham Insyirah, jangan kau muncul lagi dalam hidup aku atau aku tak akan lepaskan kau sampai bila-bila! Ikrar Kyriel dalam hati.
No comments:
Post a Comment