PENGUMUMAN

Kisah ini masih dalam proses penambahbaikkan...harap maklum... ^_^

Followers

Tuesday, May 5, 2009

Bab 1

Cuaca mendung pagi itu membuatkan Ilham Insyirah mempercepatkan langkahnya ke arah Stesen Komuter Kepong. Dia mendongak memandang ke arah langit yang semakin gelap. Melihatkan awan hitam sudah mula berkumpul di kawasan itu, Ilham memanjangkan lagi langkahnya. Nasib baik hari ini dia memakai cargo pants. Jika dia memakai baju kurung atau skirt, pasti dia tidak dapat bergerak sepantas ini.


Tiba-tiba dia merasakan ada titis-titis air menimpa kulit mukanya. Serentak itu beberapa orang yang juga menuju ke stesen komuter sepertinya mula berlari-lari anak ke stesen itu. Titisan air tadi mula menjadi kasar, menandakan hujan sudah mula turun. Ilham turut berlari ke arah stesen komuter. Sebaik sahaja dia menjejakkan kaki di tangga stesen, hujan mula turun dengan lebatnya.

Alhamdulillah, nasib baik sempat sampai, bisik hati kecil Ilham. Dia mengeluarkan sehelai tisu dari sling bagnya dan mengelap wajahnya yang terkena titisan hujan tadi. Sambil itu matanya memandang ke arah mesin tiket.

“Ramailah pula orang pagi ni,” ngomel Ilham seorang diri. Dia membuat kira-kira di dalam kepalanya. Ada tujuh orang sedang beratur menunggu giliran di mesin itu. Tidak mahu menambah bilangan mereka yang menanti, Ilham berjalan menuju ke kaunter. Ada beberapa orang turut beratur di situ. Ilham mengeluh sendiri. Oleh kerana tiada pilihan lain, dia turut beratur menunggu giliran di kaunter.

Sesekali dia membalas senyuman mereka yang tersenyum ke arahnya. Walaupun jarang bertegur sapa, tapi Ilham kenal wajah-wajah itu. Masakan tidak, dia sudah menjadi pengguna setia perkhidmantan komuter di Stesen Komuter Kepong sejak enam tahun yang lalu. Setiap pagi jam 7.30 pagi dia akan ke situ, menunggu tren yang akan membawanya ke tempat kerjanya, Layaria Travel and Tours. Dan wajah-wajah itulah yang sering dilihatnya.
Ilham memanjangkan lehernya melihat ke depan. Ada tiga orang lagi sebelum sampai gilirannya. Dia sudah bersedia mengeluarkan duit dari dompet kecilnya.

“Lembab betullah perempuan ni!” rungut satu suara di belakangnya. Ilham menoleh memandang empunya suara. Suara itu datang dari seorang lelaki yang sedang beratur di mesin tiket. Dahi Ilham berkerut memandang barisan di mesin tiket yang belum kurang orangnya sejak tadi.

“Apahal pula tu?” kata Ilham seorang diri.

“Ada orang tak reti pakai mesin tu.” Jawab seorang lelaki India di belakang Ilham. Ilham yang terkejut mendengar suara lelaki itu hanya tersenyum sumbing. Kuat sangat ke suara aku? bisik hati Ilham.

“Zaman dah maju ini macam pun ada juga orang tak da reti pakai itu mesin. Apalah!” sambung lelaki itu lagi.

Sakit juga hati Ilham mendengar kata-kata itu. Memanglah zaman dah maju tapi tak semua orang ada kesempatan nak nikmati kemajuan tu. Entahkan orang itu baru datang dari kampung dan ini kali pertama dia nak naik komuter. Salah dia ke kalau dia tak reti pakai? Kat kampung tu mana ada komuter! Kau pun, zaman dah maju macam ni tapi bahasa Melayu pun fail lagi! Ngomel Ilham seorang diri. Dia baru berkira-kira hendak menjawab tapi niatnya terbantut bila sampai gilirannya di kaunter.

“KL Sentral.” Ilham menghulurkan duit kepada petugas di kaunter. Di belakangnya suara-suara orang tak puas hati sudah mula kedengaran. Lelaki India di belakangnya turut sama merungut.
Yang kau pun sibuk kenapa? Bukannya kau kena beratur kat situ pun, kata Ilham di dalam hati.

Selesai transaksi Ilham segera bergerak ke lorong kecil untuk ke tempat menunggu tren. Sambil itu matanya sempat memandang ke arah mesin tiket. Matanya menangkap tubuh seorang gadis yang memakai sepasang baju kurung berwarna hijau muda. Kepala gadis itu sedang menunduk sambil tangannya meraba-raba mencari sesuatu di dalam beg tangan yang disandang di bahunya. Hati Ilham menjadi belas. Terbayang di kotak fikirannya kelibat seorang gadis berbaju kurung dengan sebuah beg sandang lusuh di tempat yang sama enam tahun dahulu. Cuma bezanya, ketika itu nasib gadis itu agak baik kerana ada insan yang sudi menghulurkan bantuan ketika gadis itu kekurangan syiling untuk membeli tiket. Simpati dengan nasib gadis berbaju kurung hijau muda itu membuatkan Ilham melangkah ke arahnya.

“Cik perlukan apa-apa ke” Tanya Ilham pada gadis itu. Gadis itu mendongak memandang ke arah Ilham. Riak kelegaan jelas terpancar di wajah putih melepak itu.

“Saya tak cukup syiling.” Jawab gadis itu perlahan. Jarinya ditunjukkan ke arah mesin tiket di depannya. Dia kekurangan sepuluh sen saja lagi untuk mendapatkan tiket. Ilham tersenyum. Terkenang saat dia di situasi yang sama enam tahun dahulu.

“Apa hal yang lambat sangat tu?” marah seseorang di belakang mereka. Ilham menoleh sejenak.

Dijelingnya lelaki botak di belakangnya. Dia segera mengeluarkan kantung syilingnya dan menghulurkan syiling sepuluh sen kepada gadis disebelahnya. Gadis itu menyambut huluran Ilham dengan hati berbunga. Nasib baik dia nak tolong aku, katanya dalam hati. Dia segera memasukkan syiling tersebut ke dalam mesin tiket.

“Lain kali kalau dah tau nak naik benda ni, sediakan lah duit cukup-cukup. Menyusahkan orang je.” Tempelak lelaki botak itu lagi. Ilham yang sejak tadi memang sakit hati dengan sikap mereka yang berada di situ segera berpaling mengadap lelaki itu. Dia mencekak pinggang mengadap lelaki itu. Dia terpaksa mendongakkan kepalanya kerana lelaki itu jauh lebih tinggi darinya.

“Encik…daripada encik bising-bising kat sini, kan ke lagi baik encik tolong cik ni tadi? Cepat sikit urusan tu selesai kan? Ini tidak, semua orang tau nak bising je. Apa encik ingat, encik bising-bising, boleh keluar ke tiket tu?” sindir Ilham. Merah padam muka lelaki di depannya menahan malu bila ditegur gadis semudanya.

“Apahal pulak aku nak tolong? Lain kali sendiri kena ingatlah. Dah tahu kau nak naik public transport, kenapa tak sediakan duit kecik awal-awal?” kata lelaki itu lagi, tak mahu mengalah.
Ilham mendengus geram mendengar ayat itu.

“Inilah dia masalah orang bandar ni. Selfish! Kita hidup dalam dunia ni kena saling tolong menolong. Tak boleh nak buat hal sendiri aje. Lagipun bukannya encik boleh jatuh miskin pun kalau tolong cik ni.” Ujar Ilham lagi.

Melihat lelaki botak mula marah, gadis berbaju kurung hijau tadi cepat-cepat memohon maaf.

“Maafkan saya, encik. Maafkan saya.” Kata gadis itu sambil menarik tangan Ilham. Dia takut kalau lagi lama mereka di situ mereka akan mula bergaduh. Ilham yang masih belum berpuas hati cuba untuk berpatah balik tapi gadis itu memegang kemas lengannya.

“Err…dah lah tu awak. Saya tak nak nanti bergaduh pula” Ujar gadis itu. Melihat wajah gadis itu yang agak ketakutan Ilham mematikan niatnya untuk berpatah balik. Dia hanya menurut bila gadis itu menariknya ke arah lorong yang menempatkan mesin scanner tiket.

“Terima kasih sebab tolong saya tadi. Nanti saya bayar semula duit awak tadi, ye?” Ujar gadis itu ketika mereka duduk dibangku sambil menunggu ketibaan tren.

“Eh, tak payah lah. Seposen aje. Bukan banyak pun.” Jawab Ilham. Sememangnya dia ikhlas membantu gadis itu. Dia tidak mengharapkan apa-apa balasan atas pertolongannya itu.

“Betul ke?” Tanya gadis itu meminta kepastian. Jarang dia bertemu dengan orang yang benar-benar ikhlas mahu membantu orang lain lebih-lebih lagi di tengah-tengah bandar ini. Selalunya orang yang membantunya pasti mengharapkan balasan walaupun bantuan yangdihulurkan tidak sebesar mana.

“Isyy…betul. Saya tak kisah lah. Macam saya cakap tadi, tak miskin pun saya kalau saya tolong awak. Lagipun saya faham perasaan orang yang baru datang dari kampung ni. Saya dulu pun asal dari kampung juga.” Ujar Ilham sambil ketawa. Gadis itu turut ketawa mendengar kata-kata Ilham.

Tiba-tiba dia menekup mulutnya, cuba menahan tawa. Matanya mengisyaratkan Ilham pada sesuatu di belakangnya. Ilham menoleh. Serentak itu dia juga menekup mulutnya bila ternampak lelaki botak tadi berdiri berhampiran mereka. Lelaki itu menjeling tajam ke arah Ilham.

“Nampak gaya macam dia tak puas hati dengan awak tu.” Ujar gadis itu. Dia agak risau jika lelaki itu akan mengapa-apakan mereka. Ilham hanya menjungkitkan bahunya tanda tidak kisah dengan sikap lelaki itu.


“Biarlah. Orang ramai kat sini. Apa yang dia berani nak buat pun.” Ilham cuba berlagak berani walaupun jauh disudut hatinya ada sedikit kerisauan. Dia tidak begitu risaukan dirinya kerana dia sudah biasa berhadapan dengan perkara-perkara begini. Dia cuma risaukan gadis disebelahnya itu. Melihatkan gaya gadis itu yang bersopan santun dan sedikit penakut itu Ilham yakin gadis itu tidak akan dapat melawan jika lelaki itu bertindak gila.



Ilham memandang dengan ekor matanya. Dia menarik nafas lega bila lelaki itu akhirnya duduk di bangku yang agak jauh dari mereka.

“Cik jangan risau, dia takkan ganggu kita.” Kata Ilham.

Gadis itu mencuri pandang ke arah lelaki itu. Dia menghela nafas lega bila melihat lelaki botak itu berada jauh dari mereka. Keadaan menjadi sunyi seketika antara mereka. Ilham memecahkan kesunyian dengan menghulurkan tangan kanannya ke arah gadis itu.

“Saya Ilham. Nama cik?” Tanya Ilham, ramah. Gadis itu kelihatan terkejut seketika. Kemudia dia ketawa kecil. Ilham hairan melihat tingkah laku gadis itu. Dia memandang gadis itu dengan pandangan pelik. Apa yang kelakarnya? Soal Ilham dalam hati.

“Sorry. Sebenarnya saya terkejut dengar nama awak tu.” Jelas gadis itu. Melihat Ilham terpinga-pinga, gadis itu cepat-cepat menyambut salam Ilham dan menerangkan hal sebenarnya.

“Saya terkejut sebab kebetulan nama saya pun Ilham juga.” Ujar gadis itu dalam tawanya.

Ilham turut ketawa sama. Dia tidak sangka akan menemui orang yang mempunyai nama yang sama sepertinya.

“Hmm…macamana nak buat ni ya? Nama kita berdua sama. Nampak pelik pula bila kena panggil nama sendiri. Nama penuh awak apa?” soal gadis itu bila tawanya reda.

“Ilham Insyirah. Nama penuh cik?” soal Ilham pula.

“Sedap nama tu. Nama penuh saya Ilham Nazira.”

“Orang panggil cik apa?” soal Ilham lagi.

“Parents saya panggil saya Ilham. Tapi most of friends panggil saya Ira.” Terang Ilham Nazira.

Ilham mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Dalam pada itu dia turut perasan sesuatu. Ilham Nazira dipandangnya. Bila mendengar cara Ilham Nazira bertutur baru dia perasaan baju kurung yang dipakai Ilham Nazira bukan dari kain yang biasa dipakainya. Baju itu dibuat dari kain yang hanya mampu disentuh oleh Ilham di kedai tapi tidak mampu untuk dibelinya. Dia mencuri pandang ke arah beg tangan Ilham Nazira. Jelas terpampang jenama Todds di atas permukaan beg itu. Berbeza sungguh dengan sling bag jenama tak terkenal miliknya. Tiba-tiba Ilham terasa malu dan segan.

“Errr...Cik Ira ni bukan asal dari kampung kan?” Tanya Ilham. Dia tidak perlu mendengar jawapan dari Ilham Nazira untuk mengetahui sangkaannya itu benar. Masakan gadis seperti Ilham Nazira datang dari kampung.

“Ilham janganlah ber ‘cik’ – ‘cik’ dengan saya. Panggil saya Ira aja.” Tegur Ilham Nazira. Dia tidak begitu selesa bila Ilham menggunakan perkataan cik itu. Cukuplah dia mendengar panggilan itu di pejabat.

“Ira ni orang KL kan?” soal Ilham lagi. Ilham Nazira mengiyakan kata-kata Ilham.

“Maaflah tadi saya cakap Ira asal dari kampung.” Ujar Ilham perlahan. Dia malu bila mengenangkan keterlanjurannya menganggap Ilham Nazira datang dari kampung.

“Eh, janganlah macam tu. Kalau nak ikutkan, apa yang cakap tu ada betulnya juga. Saya ni kiranya baru datang dari kampung juga. Cuma kampung saya bukanlah yang macam Ilham sangkakan tu.” Kata Ilham Nazira.

“Habis tu, kampung Ira di mana?”

“Err…kampung saya di London.” Jawab Ilham Nazira perlahan. Melopong mulut Ilham mendengar jawapan Ilham Nazira. Bertambah lagi rasa segannya pada gadis itu. Rupanya orang berada! Jauh beza dengan aku! Tapi kenapa orang kaya macam dia nak naik komuter.

“Kereta saya meragam pagi tadi. Hari ni saya ada meeting penting, jadi sebab nak cepat saya naiklah komuter,” terang Ilham Nazira. “Yang kaya papa dan mama saya Ilham. Saya ni menumpang kemewahan mereka aja. Jadi tak ada bezanya kita berdua.” Sambung Ilham Nazira lagi.


Sebenarnya tanpa Ilham sedari soalan yang bermain difikirannya tadi telah keluar dari bibir mulusnya. Merah mukanya menahan malu. Memang perangainya yang satu itu susah nak diubah. Dari dulu dia begitu. Tanpa dia sedari dia akan mengatakan apa yang terlintas difikirannya.
Melihat muka Ilham merah merona, Ilham Nazira memegang tangan gadis manis itu. Entah kenapa dia senang sekali dengan Ilham Insyirah. Dia ingin sekali menjalinkan persahabatan dengan Ilham Insyirah.



“Saya harap Ilham sudi berkawan dengan saya ya? Tolak ke tepi pasal latar belakang saya. Lagipun zaman sekarang ni, hal-hal macam ni dah tak penting lagikan?” Dia benar-benar berharap statusnya sebagai anak orang kaya tidak akan menghalang mereka menjalinkan persahabatan.

Ilham hanya mampu tersenyum. Dia serba salah untuk menjawab. Bukan dia tidak sudi berkawan dengan Ilham Nazira tapi pengalaman lalu mengajaranya bahawa status dan latar belakang seseorang itu akan tetap dipandang orang walau semaju mana pun zaman beredar. Helang dengan pipit takkan dapat terbang sama, Ilham. Masih terngiang-ngiang lagi ayat itu ditelinganya. Kerana ayat itulah Ilham sedar bahawa orang sepertinya tidak punya ruang dalam hidup orang seperti Ilham Nazura.

“Tren dah sampai. Jom.” Ujar Ilham. Dia segera bangun dari bangku dan berjalan menuju ke arah tren yang berhenti di depannya, meninggalkan soalan Ilham Nazira tidak berjawab.

No comments: