Seekor burung helang yang terbang tinggi di udara menarik perhatian seorang budak lelaki berusia 9 tahun yang sedang bermain di tepi laut. Dia seronok melihat burung yang begitu sinonim dengan tanah tumpah darahnya itu terbang bebas di udara. Menurut neneknya, nama pulau kelahirannya ini datang dari burung yang terbang megah di udara itu. Kombinasi nama Langkawi datang dari nama spesis burung yang satu ketika dulu pernah menghuni pulau ini.‘Lang’ adalah singkatan dari perkataan helang dan ‘kawi’ bermaksud merah. Kata nenek lagi, burung helang kawi banyak terdapat di pulau ini dahulu. Kepalanya berwarna putih dan bulunya berwarna merah jambu. Jadi, nama keduanya digabungkan. Bila dicantumkan keduanya, maka muncullah nama Langkawi yang kini menjadi nama pulau Lagenda ini.
Sebenarnya banyak cerita yang pernah didengarnya tentang asal usul nama daerah ini. Tapi hati budak lelaki sepertinya lebih sukakan versi yang satu ini. Dia lebih senang menerima nama pulau itu datangnya dari burung helang itu.
Tiba-tiba telinganya mendengar bunyi berdecit-decit di atas pokok tempatnya bermain. Matanya meliar mencari punca bunyi itu. Di dahan pokok dia nampak seekor burung pipit hinggap di atasnya. Hatinya tersenyum riang melihat burung pipit yang rancak berbunyi itu. Burung itu seolah-olah sedang menyanyikan sebuah lagu untuk dirinya.
Tak lama selepas itu burung pipit itu terbang meninggalkan dahan pokok itu. Mata anak kecil tadi mengikut arah burung itu menghala. Burung itu kini terbang bebas di angkasa seperti mana helang tadi. Hati kecilnya hairan melihat perkara itu. Di sekolah diajar burung pipit lazimnya terbang sekawan. Ianya juga tak mumpu terbang tinggi seperti burung lain. Tapi apa yang dilihatnya kini benar-benar berbeza. Burung yang kecil itu kini terbang di langit yang sama dengan burung helang itu. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik dan hairan dengan apa yang dilihatnya.
“Anak ibu buat apa dekat sini?” tegur satu suara. Budak itu berpaling dan tersenyum gembira bila ternampak wajah insan yang amat disayanginya.
“Ibu!” jeritnya lalu berlari mendapatkan wanita yang sudah sedia mendepangkan tangannya. Dalam pelukan ibunya dia bersuara.
“Adam ada soalan lah ibu.”
“Soalan apa, sayang?” tanya si ibu. Anak itu kini menghalakan jari telunjuknya ke langit. Wanita itu memandang ke arah yang ditunjukkan anaknya sebentar tadi. Dia terperanjat seketika. Kemudian dia tersenyum. Di langit biru itu kini terbang dua ekor burung yang berlainan spesis. Helang dan pipit. Satu memang dikenali sebagai pemangsa tapi hanya akan bertindak jika diganggu. Yang satu lagi memang terkenal kerana saiznya yang kecil. Memang menakjubkan jika ternampak fenomena seperti itu berlaku di hadapan mata.
“Sayang nak tanya apa?” tanya si ibu lagi. Namun hatinya bagai mengerti apa yang bersarang di kotak fikiran anaknya itu.
“Hmmm…kenapa mereka terbang sama? Cikgu cakap pipit terbang dengan spesisnya saja. Tapi kenapa yang itu boleh” soal Adam. Si ibu tersenyum mengerti. Diraih tangan anaknya itu lalu diajak duduk di atas pangkin yang berhampiran. Baru saja dia ingin membuka mulut mereka berdua disapa oleh seseorang.
“Apa anak isteri kesayangan papa ni bualkan tu?” Kedua mereka tersenyum riang bila lelaki itu datang menghampiri mereka. Si anak memandang dengan perasaan sayang dan kagum. Kagum dengan kehebatan lelaki di hadapannya. Sejak dia mengenali apa itu cita-cita, dia sudah berazam mahu menjadi seperti papanya. Si ibu pula memandang dengan rasa cinta dan kasih yang teramat sangat. Sejak dia menikahi lelaki itu, dia sudah berazam akan menjadi insan terbaik dalam hidup lelaki itu.
Kini ketiga beranak itu duduk bersama di atas pangkin kayu itu. Si anak memberitahu kepada papanya apa yang dibualkan dia dan ibunya tadi.
“Is that possible papa? Can they fly together?” soal Adam. Papanya terkedu seketika. Dia tidak pernah menyangka akan dapat melihat perkara itu. Kemudian dia teringatkan tentang pulau itu yang dikenali sebagai pulau lagenda. Mungkinkah ini salah satu dari lagendanya? Matanya menyapa wajah isterinya di sebelah. Perasaan hangat yang dirasai setiap kali dia memandang wajah itu muncul kembali. Setelah hampir 10 tahun mereka bersama tapi perasaan itu tidak pernah hilang. Malah makin bertambah rasa cintanya dari hari ke sehari.
“So papa is it possible?” usik isterinya.
Dia tersenyum. Kedua belah tangannya kini masing-masing memengang tangan anak dan isterinya.
”Adam nak tahu kan, samada benda itu boleh terjadi atau tidak? Kalau Adam nak tahu, anak papa kena dengar cerita ni dulu” Ujarnya.
“Cerita apa papa?” soal anak ingin tahu. Dia menoleh seketika ke arah ibunya yang sedang menahan tawa. Melihat pandangan ibu dan papanya yang penuh rahsia, perasaan ingin tahunya melonjak-lonjak.
“Cerita apa papa? Cepatlah cerita.” Adam mendesak.
“Okay...okay…papa cerita. Ceritanya bermula macam ni. Pada satu masa dulu ada seekor burung helang yang jahat terjumpa dengan seekor burung pipit yang baik hati. Helang ni sangat kejam. Dia selalu susahkan hidup burung pipit ni. Tapi burung pipit sabar melayan karenah helang tu. Apa pun yang helang tu buat pada dia, dia terima dengan sabar. Burung pipit tu harap satu hari nanti helang yang jahat tu akan jadi kawan dia. Satu hari muncul seekor lagi helang yang baik hati. Helang yang baik hati selalu tolong burung pipit tu bila helang jahat kacau dia. Helang jahat jadi marah. Dia tak suka burung pipit tu berbaik dengan helang baik tu. Jadi dia marah pada pipit tu. Dia hina burung pipit tu macam-macam. Sampaikan burung pipit tu menyerah kalah pada helang jahat tu. Burung pipit tu pergi tinggalkan helang jahat. Bila burung pipit dah tak ada, helang jahat tu rasa sunyi sangat. Dia dah tak ada teman nak bergaduh. Masa tu dia sedar, dia rindu pada burung pipit tu.”
Lelaki itu berhenti seketika. Kerongkongnya bagai disekat. Itulah yang sering dirasakan bila dia teringatkan cerita helang dan pipit itu. Matanya memandang sekali lagi ke arah wajah isterinya.
“Lepas tu apa jadi papa? Apa yang helang jahat tu buat?” soal anak itu tidak sabar.
“Helang jahat cari burung pipit tu untuk minta maaf. Burung pipit tu sebenarnya sayang sangat pada helang jahat tu walaupun helang tu selalu buat dia menangis. Dia maafkan helang tu dan mereka pun terbang sama di atas langit.” Sambung si ibu sambil ketawa. Tapi tawanya tidak disambut baik si suami atau si anak.
“La…itu aje ke ceritanya? Tak best pun.” Ujar si anak. Dia sedikit hampa mendengar kisah yang diceritakan papa dan ibunya itu.
“No. That’s not it, Adam. There’s another story behind that story.” Ujar papanya perlahan. Sambil merenung mata isterinya, papa Adam memulakan cerita disebalik ceritanya.
“Helang dan pipit tak boleh terbang sama, Adam….”
1 comment:
ade mksud tersirat je ni..emmm
Post a Comment