Ilham meletakkan begnya di atas meja. Hujan lebat pada pagi itu menyebabkan pejabat Ilham lenggang walaupun jarum jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Memang semua sedia maklum, jika keadaan cuaca hujan begini jalanraya di sekitar Kuala Lumpur pasti sesak. Memandangkan hampir kelima-lima orang rakan sekerjanya membawa kenderaan sendiri, memang kelewatan begini sudah dijangka. Malah majikan Ilham, Tuan Haji Syukur juga faham dengan situasi itu dan memberi kelonggaran pada perkerja-perkerjanya untuk datang lewat sedikit.
Ilham mengemas mejanya sebelum dia memulakan tugas. Puas hati dengan keadaan mejanya yang nampak kemas, dia kemudian melangkah ke ruang membuat air yang dipisahkan dengan partition biru di hujung bilik.
Layaria Travel & Tours hanya sebuah syarikat kecil yang diusahakan sendiri oleh Tuan Haji Syukur, bekas kakitangan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia bersama isterinya Hajah Maimunah. Sudah hampir enam tahun Ilham bekerja sebagai pemandu pelancong di tempat itu. Syarikat itu hanya punya enam kakitangan termasuk Ilham tapi walaupun tenaga kerjanya kurang, syarikat itu masih kukuh sehingga ke hari ini. Sikap tekun bekerja mereka semualah yang membuatkan syarikat itu menjadi kukuh seperti hari ini.
Ilham mengeluarkan dua biji mug dari dalam kabinet kecil di ruang itu. Botol berisi kopi dan gula dibukanya. Dia membancuh dua mug air kopi. Aroma kopi yang harum itu membuatkan dia terasa lapar. Biasanya dia akan singgah di gerai berhampiran tempat kerjanya untuk membeli sarapan pagi. Setiap pagi dia akan menaiki bas selepas turun dari komuter di Stesen KL Sentral untuk ke pejabatnya. Perhentian bas itu terletak bersebelahan dengan Gerai Nasi Lemak Abang Din. Tapi dek kerana dia mahu segera melepaskan diri dari Ilham Nazira, dia memilih untuk menaiki teksi sahaja ke pejabatnya hari ni.
“Tak fasal-fasal hangus duit aku lapan ringgit pagi ni!” Keluh Ilham.
Dia memeriksa kabinet di hadapannya. Gembira hatinya bila ternampak bungkusan biskut Krim Craker Jacobs yang tersimpan di dalam cabinet itu. Tekaknya sudah mula terasa keenakan biskut itu bila dicelup ke dalam air kopi panas di depannya. Tanpa berlengah lagi, dia segera mengoyakkan bungkusan biskut lemak itu dan segera mencelupnya ke dalam mug. Kepuasan yang tidak terhingga dirasakan saat biskut itu berada di dalam mulutnya. Dia ketawa kecil. Kalau dah lapar, apa pun sedap dekat tekak ni.
Sedang dia menikmati keenakan sarapan paginya, peristiwa sebentar tadi berlegar-legar di kotak fikiran Ilham. Dia terkenangkan soalan Ilham Nazira tadi.
“Saya harap Ilham sudi berkawan dengan saya ya? Tolak ketepi pasal latar belakang saya. Lagipun zaman sekarang ni, hal-hal macam ni dah tak penting lagikan?”
Ilham melepaskan keluhan berat. Dia fikirkan Ilham Nazira akan melupakan persoalan itu bila mereka menaiki tren tapi gadis itu menanyakan soalan itu sekali lagi ketika mereka di dalam tren. Hendak tak hendak Ilham terpaksa menjawab ‘ya’ walaupun jauh disudut hati, dia keberatan menjalinkan persahabatan dengan Ilham Nazira. Melihatkan wajah Ilham Nazira yang gembira tadi membuatkan dia menjadi bersalah pula.
Ilham agak hairan kenapa Ilham Nazira beriya sangat ingin berkawan dengannya. Takkan sebab duit sepuluh sen tu? Tanya Ilham di dalam hati. Kelibat gadis cantik itu berlegar di ruang mata Ilham. Kalau sekali pandang memang ternampak persamaan antara mereka. Sebab itulah bila terpandangkan Ilham Nazira di mesin tiket itu tadi dia terkenangkan dirinya enam tahun dahulu. Cuma bila diperhatikan betul-betul baru ternampak perbezaan mereka.
Ilham Nazira memang jelita orangnya. Kulitnya putih mulus. Wajahnya walaupun hanya disapu dengan make-up nipis tapi kejelitaannya tetap terserlah. Jauh berbeza dengan dirinya. Walaupun teman-teman Ilham sering mengatakan dia cantik tapi jika dibandingkan dengan Ilham Nazira, wajahnya sebenarnya hanya biasa-biasa sahaja.
Jika diletakkan bersebelahan, pasti tiada siapa yang ingin memandangnya. Ketinggian mereka berdua agak sama. Seperti Ilham, Ilham Nazira juga mempunyai sepasang lesung pipit yang menambahkan lagi seri wajahnya bila dia tersenyum. Cuma yang berbeza antara mereka adalah rambut mereka. Rambut Ilham Nazira yang tersisir rapi itu hanya separas bahu tetapi rambut Ilham yang sering diikat style ekor kuda itu panjang melepasi bahunya. Bila terkenangkan semua itu soalan mengapa Ilham Nazira ingin sekali berkawan dengannya bermain semula di fikiran Ilham. Dia melepaskan keluhan lagi.
“Anak dara tak baik mengeluh pagi-pagi. Nanti rezeki tak masuk.” Tegur satu suara dibelakang Ilham membuatkan Ilham tersedar dari lamunannya. Dia berpusing ke belakang. Sebuah senyuman terukir di wajahnya bila ternampak Tuan Haji Syukur berdiri di depannya. Ilham segera mencapai mug kopi yang satu lagi dan dihulurkan pada majikannya itu.
“Terima kasih.” Ujar Tuan Haji Syukur sebelum dia meneguk air kopi yang sudah sedikit suam itu. Memang itu cara dia meminum kopinya. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Dalam keenam-enam staffnya, hanya Ilham yang pandai membancuh air kopi seperti yang dikehendakinya.
“Apa yang Ilham keluhkan tadi tu?” tanya Tuan Haji Syukur lembut. Dia memandang wajah anak gadis berusia 26 tahun di depannya itu. Gadis itu tersipu-sipu malu.
“Tak ada apa-apa lah Tuan Haji. Saya cuma teringatkan keluarga di kampung.” Jawab Ilham.
Dalam hati ada sedikit rasa bersalah kerana membohongi majikannya yang baik hati itu. Bukan dia berniat untuk berbohong tapi dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu dengan hal-hal remeh seperti itu.
“Ilham ni, bukan ada orang pun kat sini. Tak payah lah nak formal sangat dengan abah.” Ujar Tuan Haji Syukur. Dia lebih gemar bila gadis itu memanggilnya abah, sesuai dengan statusnya sebagai ayah angkat gadis itu.
“Isyy..mana boleh. Ini pejabat. Dekat pejabat, ada orang atau tidak saya tetap kena hormatkan Tuan Haji sebagai majikan saya.” Jawab Ilham sedikit tegas.
Sejak Tuan Haji Syukur dan Hajah Maimunah mengambilnya menjadi anak angkat mereka, Tuan Haji Syukur beriya-iya menyuruh Ilham memanggilnya ‘abah’. Walaupun pada mulanya agak janggal untuk Ilham memanggil lelaki lain ‘abah’, tapi mengenangkan kesungguhan dan keikhlasan pasangan itu menerimanya, Ilham berusaha memanggilnya abah. Tapi syarat Ilham pada mereka, hanya di luar waktu pejabat sahaja dia akan memanggil lelaki itu abah. Selagi dia masih di dalam pejabat, Tuan Haji Syukur adalah majikannya. Bukan apa, Ilham tidak mahu teman-temannya yang lain mempunyai tanggapan yang bukan-bukan.
Tuan Haji Syukur menganggukkan kepala tanda faham dengan kata-kata Ilham. Dia tidak mahu memaksa Ilham sedangkan dia sendiri telah bersetuju dengan syarat Ilham sejak awal lagi. Mereka berdua berbual-bual kosong selepas itu. Sekali-sekala kedengaran tawa mesra dari kedua mereka. Keduanya nampak gembira. Bersama Tuan Haji Syukur membuatkan rindu Ilham pada arwah ayah dan mamanya terubat. Bagi Tuan Haji Syukur pula kehadiran Ilham dalam hidup dia dan isterinya mengisi kekosongan dalam hidup mereka yang tidak dikurniakan zuriat sejak meraka berkahwin.
“Oh ya, Ilham. Macamana dengan rombongan dari Korea tu?” tanya Tuan Haji Syukur. Tiba-tiba dia teringatkan pelancong-pelancong dari Korea yang menggunakan khidmat Layaria.
“Saya dah uruskan semuanya. Saya dah faxkan itinerary kita pada wakil kita di Seoul. Tiket balik mereka pun dah okay. Kalau tak hari ni mungkin esok Dino akan ke KLIA untuk collect tiket-tiket tu.” Terang Ilham.
“Tempat penginapan?” tanya Tuan Haji Syukur lagi.
"Saya dah booked mereka menginap di Hotel Prestige.
“Hotel lima bintang?” soal Tuan Haji Syukur terperanjat. Jarang sekali pelancong-pelancong yang datang dari luar ingin menginap di hotel yang mahal. Sudah memadai bagi mereka untuk tinggal di hotel bertaraf tiga bintang sahaja.
“Haah. Seoung Hun beritahu ahli rombongan kali ni golongan orang berada di Korea. Mereka yang demand untuk hotel lima bintang tu. Soal bayaran, memang mereka tak kisah.” Ilham menjelaskan pada majikannya.
“Jadi Ilham dah uruskan booking tu? Kita tak pernah deal dengan Hotel Prestige. Takut ada masalah pula nanti.” Tuan Haji Syukur sedikit risau.
Hotel Prestige merupakan hotel baru di KL. Tapi walaupun baru setahun beroperasi, nama hotel itu sudah cukup gah dikalangan mereka yang bekerja dalam sektor pelancongan dan perhotelan. Tetapi memandangkan mereka tidak pernah berurusan dengan hotel itu, Tuan Haji Syukur agak khuatir kalau-kalau akan timbul masalah kelak.
“Kenapa Ilham tak booking dengan hotel yang biasa aja?” Tanyanya lagi.
"Saya dah buat booking semalam. Tengahari nanti saya akan ke sana jumpa dengan manager mereka untuk buat final deal. Insya-allah, semuanya akan okay. Hotel yang biasa kita gunakan tu hampir semuanya dah penuh. Tak cukup nak accommodate lima belas orang ahli rombongan kita tu. Lagipun saya nak cuba hotel baru ni. Mana tahu kalau serasi, kita boleh banyakkan lagi option kita.” Ujar Ilham yakin.
Tuan Haji Syukur tersenyum mendengar nada keyakinan dalam suara Ilham. Dia memang yakin anak-anak buahnya itu mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.
Perbualan mereka berdua terhenti apabila terdengar pintu pejabat dibuka dari luar. Teman-temannya yang lain sudah sampai.
“Aisyhh!!! Aku memang cukup tak gemar kalau hujan pagi-pagi macam ni!” rungut Neesa, eksekutif jualan Layaria.
“Jalan tu tak pernahlah kalau tak sesak time-time hujan macam ni!” kata Azlan pula yang turut sampai bersama Neesa. Kedua-duanya sibuk merungut tentang kesesakan jalanraya pagi itu.
“Kalau tak nak tempuh jem tu, jadi macam Ilham. Naik public transport! Cepat dan selamat.” Kata Nashikah yang tiba-tiba muncul di muka pintu.
“Kau ni kan Shikah, macam hantu tau tak! Tiba-tiba je muncul! Terkejut aku tau tak!” marah Neesa sambil mengurut dadanya. Nashikah ketawa berdekah-dekah. Bahunya menjadi mangsa pukulan Neesa pula yang ternyata terkejut dengan kehadirannya.
“Eh, kot ye pun jangan lah pukul-pukul macam ni. Sakit la!” jerit Nashikah. Dia menepis tangan Neesa ke tepi. Khuatir kalau-kalau kedua-duanya akan mula bergaduh, Ilham cepat-cepat meluru ke arah mereka.
“Ala, dah lah tu. Kak Neesa tu pukul-pukul sayang tu kan, Kak?” kata Ilham sambil memeluk mesra bahu Neesa.
“Kak Neesa kan sayang kat kita semua, kan ?” pujuk Ilham lagi. Hati Neesa menjadi sejuk sedikit mendengar pujukan Ilham. Memang Ilham pandai mengambil hatinya. Dia akhirnya tersenyum. Pipi Ilham dicubit lembut.
“Kau, kalau nak ambil hati akak memang pandai kan?” Ilham tersengih. Lega melihat Neesa mula tersenyum.
Dari depan pintu biliknya, Tuan Haji Syukur tersenyum bahagia melihat keletah mereka semua. Matanya jatuh ke wajah Ilham. Mujur kau ada menceriakan keadaan Ilham!
No comments:
Post a Comment